Lagi beberapa minit sebelum berlepas, tiba-tiba dimaklumkan penerbangan anda ditunda atau dibatalkan.
Situasi itu tentunya menimbulkan rasa marah dan kecewa penumpang kerana terpaksa bersidai di lapangan terbang untuk tempoh masa lama.
Lebih menyedihkan, segala perancangan diatur sebelumnya sama ada untuk urusan percutian, kerja dan lain-lain turut terganggu gara-gara kelewatan berkenaan.
Sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina ini, tidak mustahil keadaan sama boleh berulang.
Pengasas Financial Faiz, Faiz Azmi berkongsi mengenai hak-hak penumpang jika berlaku sebarang kejadian tidak diduga sebelum, semasa dan selepas penerbangan.
Ketika menempah tiket
Syarikat penerbangan diwajibkan menyediakan maklumat lengkap seperti harga akhir tambang udara yang akan dibayar pengguna, terma dan syarat di samping insuran perjalanan.
Penerbangan ditunda, batal
Pengguna berhak menerima pampasan termasuk makanan dan penginapan bergantung kepada tempoh waktu penundaan.
Bagi penangguhan lebih dua jam : makanan, panggilan telefon dan akses internet.
Bagi penangguhan lebih lima jam : penginapan hotel dan pengangkutan.
Jika penerbangan dibatalkan: pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif dalam tempoh 30 hari.
Dihalang naik pesawat
Situasi ini mungkin disebabkan tempahan berlebihan bagi penerbangan itu atau isu-isu operasi lain. Jika situasi ini berlaku, syarikat penerbangan hendaklah menawarkan pampasan segera.
Pampasan merangkumi makanan, panggilan telefon dan akses internet, tempat tinggal dan pengangkutan dan pilihan antara pampasan penuh atau penerbangan gantian.
Bagasi hilang, rosak, lewat
Buat segera aduan di lapangan terbang. Bagi yang tidak sempat, anda diberi sekurang-kurangnya tujuh hari selepas sampai ke destinasi untuk berbuat demikian kepada syarikat penerbangan.
Simpan semua resit atau bukti nilai barangan untuk proses tuntutan.
Tuntutan dibuat haruslah munasabah.
Hak OKU
Penumpang orang kurang upaya (OKU) berhak mendapatkan bantuan ketika tiba di lapangan terbang hingga sampai ke destinasi.
Bantuan termasuk perkhidmatan kerusi roda, pemeriksaan masuk bagasi, masuk ke dalam dan keluar daripada pesawat dan tiba ke penerbangan sambungan.
Hubungi syarikat penerbangan sekurang-kurangnya 48 jam sebelum waktu pelepasan untuk memaklumkan keperluan bantuan anda.
Aduan
Kunjungi kaunter syarikat penerbangan bagi menyelesaikan sebarang isu yang timbul, jika kakitangan tidak membantu buat aduan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM). Aduan boleh dibuat menerusi portal FlySmart yang dikendalikan MAVCOM.










