Ajal maut, jodoh pertemuan ditentukan Allah Taala.Walaupun ramai yang menyimpan hasrat bertemu jodoh dengan pasangan sebaya dan bujang, tetapi itu bukanlah hak kita untuk menentukannya.
Berbanding lelaki bujang, berumahtangga dengan seseorang yang sebelum ini pernah ‘dimiliki’ oleh orang lain, memang banyak cabaran dan dugaannya.
Jika mendapat pasangan yang memahami, mungkin tiada masalah besar timbul. Begitupun, sulit, jika sebaliknya.
Minggu ini saya kongsikan kisah Niza (bukan nama sebenar) yang telah ditakdirkan bertemu jodoh dengan duda anak dua.
Dia yang sudah tujuh tahun mendirikan rumahtangga dengan Sani (bukan nama sebenar) mengakui ada beberapa cabaran perlu dihadapi apabila seseorang memilih duda sebagai suami.
Antaranya, persediaan mental dan fizikal, tanggungjawab kepada anak-anak hasil perkahwinan lepas, kecurigaan terhadap bekas isteri dan pandangan orang sekeliling.
Dalam pertemuan singkat dengan saya baru-baru ini ini, Niza sempat menasihatkan andai kata mana-mana wanita ditakdirkan berkahwin dengan seorang duda, pandai-pandailah ‘bawa diri’ sepanjang menjalani kehidupan.
Sebelum membuat keputusan untuk berkahwin, mereka perlu berfikir sedalam-dalamnya dan bersedia dalam segala kemungkinan yang bakal berlaku.
Bimbang apabila perkahwinan yang pada awalnya berlandas kasih sayang, bertukar kepada kebencian dan tidak ikhlas.
Memulakan cerita, Niza pernah berdepan kegagalan dalam cinta sebelum ini, dia kembali membuka hatinya untuk berkahwin dengan Sani.
Tambah Niza sebelum berkahwin, dia ada juga membaca dan bertanyakan pandangan kawan-kawan tentang lelaki duda.
Rata-rata memberi pandangan bahawa, situasi memilih status lelaki duda dalam jodoh terdapat beberapa perkara yang perlu dinilai dan bukan membuka jangkaan tidak realistik berdasarkan kepada status sahaja.
Mengakui pada awalnya memang tidak mudah untuk menerima seorang lelaki yang sudah memiliki anak hasil perkahwinan terdahulu.
Namun Niza menganggap ada hikmah di sebalik jodoh yang tertulis.
Dedah Niza, niat baiknya untuk berkahwin dengan duda anak dua bukan sahaja dipersoal oleh kawan-kawan, bahkan kedua ibu bapa dan saudara mara terdekat.
Kurang dalam tempoh tiga bulan perkenalan, Sani menunjukkan dia serius dalam hubungan tersebut apabila tidak lama selepas itu menzahirkan hasrat berjumpa dengan ibu bapa Niza.
Namun begitu, perjalanan tidak semudah itu kerana keluarga Niza ternyata menentang habis-habis hubungannya dengan duda anak dua itu.
Sani tidak mengalah. Disebabkan keluarga nampak kesungguhan lelaki itu, akhirnya mereka merestui dan keduanya disatukan.
Apabila mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Sani, Niza terpaksa bersedia dari segala segi, terutamanya dari segi mental.
Fasa ujian mula melanda rumahtangga pasangan itu selepas tiga bulan berkahwin.
Niza mendapat tahu setiap bulan gaji suami hanya berbaki sebanyak RM750.
Jumlah tersebut ditolak selepas mahkamah memutuskan agar Sani perlu membuat beberapa pembayaran termasuk tuntutan hadanah, mutaah dan nafkah anak lebih kurang RM3,000 sebulan.
Bukan itu sahaja, suami turut menanggung hutang pinjaman bank semasa berkahwin dengan bekas isteri.
Kata Niza, sepanjang tempoh itu kesemua perbelanjaan termasuk makan, minum, bil api dan air dan upah menjaga anak ditanggung sepenuh olehnya.
Habis bab kewangan, timbul pula bab giliran menjaga anak.
Sememangnya mahkamah memutuskan hak penjagaan anak diberikan kepada bekas isteri.
Giliran bermalam di rumah suami pula dua kali sebulan. Maksudnya, dua minggu sekali perlu jemput dan pulangkan semua anak-anak ke pangkuan ibu mereka.
Bukan berkira, tetapi sudah semestinya, kos petrol pergi balik, makan minum ditanggung Niza.
Dalam masa sama, Niza turut diuji apabila keluarga suami tidak menyukainya.
Setiap kali pulang ke rumah kedua ibu bapa suami, mereka sering membanding-bandingkannya dengan bekas menantu.
Selain ibu bapa mentua dan adik beradik ipar, biras juga tidak menyukai kehadiran Niza dalam keluarga mereka.
Walaupun dilayan macam mana sekalipun dibuat endah tak endah, tetap juga dia berusaha mempertahankan rumahtangga.
Niza tidak berputus asa selagi ada kudrat dan hati untuk diperjuangkan.
Walaupun diuji dengan pelbagai ujian, Niza tetap melayan suami dengan baik, dan pada masa sama dia begitu juga.
Sebelum mengakhiri perbualan, Niza sempat menitip pesan, biarpun ramai gadis membayangkan bertemu jodoh dengan pasangan bujang dan seusia, tetapi bukan hak kita untuk menentukannya.
Segala-galanya ditentukan Allah Taala. Biar bujang, teruna jadi pilihan, namun siapa tahu, jodoh dengan duda atau bekas suami orang.
Apapun, jika itu ketentuanNya, terimalah dengan hati terbuka dan belajar bagaimana cara berhadapan dengan lelaki berstatus duda ini.
Mungkin tiada banyak masalah jika suami, duda tanpa anak. Tetapi situasi berbeza jika duda yang jadi pilihan mempunyai anak yang dipelihara sendiri.
Di sinilah kebijaksanaan, kesabaran dan kematangan wanita diperlukan.
Sesungguhnya Allah menciptakan jodoh agar manusia sentiasa bersyukur dan mengingati kebesaran Allah, sebab jodoh merupakan sebuah anugerah. Darinya akan didapatkan teman hidup sebagai pasangan dan penenang hati di dunia hingga di akhirat nanti.
Takdir jodoh menurut Islam sudah ditentukan oleh Allah dengan orang yang tepat dan terbaik bagi setiap hambaNya:
Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah. (QS Az Dzariyat:49)










