Berstatus isteri kedua mengundang pandangan serong ramai orang. Dilemparkan dengan pelbagai tuduhan, tidak cukup dilabel perampas kebahagiaan orang lain, bahkan dituduh mengejar harta semata.
Tetapi, bukan semua isteri kedua begitu. Mereka tidak minta untuk jatuh cinta dengan suami orang, apa lagi menyakiti hati kaum sendiri.
Minggu ini saya kongsikan kisah Saleha, (bukan nama sebenar) yang merupakan isteri kedua dan statusnya disembunyikan hampir lapan tahun.
Menjelaskan bahawa dia dan suami tiada niat menyimpan perkahwinan mereka.
Katanya, mereka hanya menantikan masa yang sesuai untuk mengumumkannya selain mahu menjaga hati banyak pihak terutama keluarga isteri tua.
Tambahnya, mungkin sudah tersurat jodohnya dan satu ujian buatnya yang sebelum ini bergelar ibu tunggal.
Pada pertemuan dengan saya baru-baru ini, Saleha mengakui sebelum ini dia sering mengatakan yang tidak akan berkahwin lagi selepas bercerai.
Namun siapalah dia untuk menidakkan ketentuan Allah.
Menceritakan awal perkenalan dengan suaminya, Nordin (bukan nama sebenar), mereka bertemu dalam satu majlis makan malam.
Dia tertarik dengan lelaki berusia awal 50-an itu kerana boleh menerima ibu tunggal sepertinya untuk dijadikan isteri.
Sambil menafikan tanggapan bahawa dia mengahwini Nordin kerana harta bahkan menegaskan bahawa lelaki itu hanya orang biasa.
Malah dia sendiri mempunyai kerjaya yang baik dan selesa.
Menceritakan, perkahwinan pertamanya musnah gara-gara wujud orang ketiga.
Selepas bercerai, Saleha membesarkan anak hasil perkahwinan pertamanya, Faizal, (bukan nama sebenar) yang ketika itu berusia setahun sendirian.
Secara jujur, Saleha memberitahu dia tidak pernah merancang untuk berumahtangga semula selepas apa yang dilalui pada perkahwinan pertama.
Namun perancangan Allah tiada siapa yang dapat menolaknya.
Hubungan yang pada awalnya hanya sebagai kenalan, lama-lama bertukar serius sehingga Nordin akhirnya melamar Saleha menjadi isterinya.
Lamarannya itu sukar untuk Saleha tolak kerana hatinya sudah jatuh cinta.
Walaupun berat, dia cuba membuka hati untuk menerima kehadiran semula lelaki dalam hidupnya.
Bagaimanapun keputusan itu tidak mudah disangka memandangkan Nordin sudah berkahwin.
Mazlan mempunyai tiga anak hasil perkahwinannya dengan isteri pertama berusia 8, 10 dan 12 tahun.
Pada awalnya bukan Saleha tidak berusaha menjauh dan melupakan Nordin, namun gagal.
Dia melakukan solat tahajud, istikharah dan hajat untuk tiga malam berturut-turut bagi mendapatkan petunjuk.
Malam pertama dan kedua, dia tidak dapat apa-apa petunjuk.
Malam terakhir dia benar-benar memohon agar diberikan petunjuk yang sebenar-benarnya.
Andai Nordin adalah jodohnya, Saleha minta Allah hadirkan lelaki itu dalam mimpinya.
Alhamdulilah, memang Nordin yang wujud dalam mimpi di malam terakhir itu.
Atas persetujuan dan restu kedua ibu bapa, pasangan ini diijabkabulkan dan secara rasminya Saleha sah menjadi isteri kedua Nordin.
Ketika berkahwin pada tahun 1 Februari 2015 sehingga ke hari ini, isteri pertama Nordin langsung tidak tahu menahu tentang Saleha sebagai madunya.
Sepanjang tempoh itu perkahwinan mereka baik-baik sahaja.
Walaupun tidak dikurniakan cahaya mata bersama Mazlan, suami tetap menyayangi diri dan anaknya Faizal.
Sepanjang tempoh lima tahun berkahwin dengan Mazlan pernah terdetik kebimbangan sekiranya isteri pertama Mazlan dapat tahu.
Pelbagai perasaan bermain di benak fikirannya. Adakah isteri pertama akan menerimanya dengan hati terbuka atau sebaliknya.
Apa pula reaksi Mazlan sendiri sekiranya isteri pertamanya tahu berkaitan hal itu.
Akui Saleha, bukan mudah baginya menerima kehilangan kali kedua dalam hidup.
Trauma perpisahan kali pertama pun masih belum sembuh. Andai terjadi lagi sukar untuk dibayangkan.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai cara dilakukan suami bagi memastikan rahsia mereka tidak bocor.
Dalam tempoh itu juga, kadang kala hati Saleha tidak cukup kuat untuk melaluinya.
Sepanjang tempoh berkahwin juga, setiap kali hari raya, suami tiada disisi.
Seperti biasa, dia akan berhari raya bersama anak-anak di kampung.
Keluarga Saleha terutama kedua ibu bapanya sudah faham keadaannya.
Selepas Saleha banyak bergaul dengan wanita senasib dan mendalami ilmu agama, dia berhenti bersangka buruk dan menjaga fikirannya agar tidak meletakkan keterlaluan perkara yang belum berlaku.
Sebaliknya, dia fokus kepada menjaga hubungan dan kehidupan yang sedang dijalani.
Saleha juga belajar menerima hakikat apabila terpaksa berkongsi kasih dengan wanita lain.
Katanya, niat untuk menerima Nordin dalam hidupnya kerana Allah semata-mata.
Dia mahu seorang lelaki yang boleh menjadi imam dan menjadi bapa kepada anak tunggalnya.
Pada 1 Februari depan, genap lapan tahun usia perkahwinan mereka berdua.
Dalam perbualan akhirnya lewat petang itu Saleha memberitahu, sebagai isteri kedua dia hanya menumpang kasih, tidak lebih daripada itu.
Jika kerana harta, mungkin tidak kerana dia sendiri mempunyai kerjaya dan memiliki sumber kewangan kukuh.
Dia memilih berkahwin dengan Nordin kerana itu adalah cara dia menghalalkan hubungan mereka.
Walaupun Nordin berstatus suami orang, bagi Saleha perkahwinan itu lebih mulia dan disukai Allah SWT daripada terjerumus ke dalam lembah kehinaan dari hubungan zina yang terkutuk. Sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra: 32: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan.










