fbpx

48,000 menunggu buah pinggang

Mohamad Zaimi Abdul Wahab.

Pernahkah anda berniat atau terfikir untuk menderma organ? Organ boleh didermakan ketika hidup atau sudah meninggal dunia.

Sudah bertahun-tahun panggilan dan permintaan menderma buah pinggang dilakukan pelbagai pihak termasuk pakar perubatan, pertubuhan kerajaan dan sebagainya dalam mendapatkan sokongan orang ramai untuk menderma organ.

Sungguhpun angkanya menunjukkan peningkatan, tetapi jumlah dan kerumitan kes kegagalan buah pinggang peringkat akhir juga, kian meningkat.

Ketika ini, kira-kira 48,000 pesakit yang sedang menjalani dialisis menunggu giliran pemindahan buah pinggang.

Kalau dibandingkan dengan beberapa dekad lalu, ramai pesakit menghidapi kegagalan buah pinggang tiada harapan untuk meneruskan hidup atau pulih melainkan melalui pemindahan organ itu.

Penemuan dan inovasi perubatan terbaharu, turut memberi sinar buat penerima.

Kesedaran dan tindakan

Pakar Nefrologi dan Pemindahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Mohamad Zaimi Abdul Wahab berkata, realitinya, ramai yang menghidap penyakit buah pinggang dan kegagalan buah pinggang.

Katanya statistik semasa bagi pendermaan dan pemindahan organ menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Namun, statistik tersebut mampu mencapai kadar yang lebih tinggi jika lebih ramai orang menyokong dan memperjuangkan perkara ini,” katanya.

Jelasnya, walaupun peningkatan sebanyak dua peratus ditunjukkan sejak tahun 2020 dengan 77 pemindahan berjaya dijalankan daripada 16 penderma meninggal dunia tahun ini, angka tersebut sepatutnya adalah lebih tinggi.

Sementara itu, biarpun kesedaran tentang perkara berkenaan selalu diingatkan di media, namun keperluan kritikal ini kurang ditekankan dalam media arus perdana walaupun sudah berkali-kali diusahakan oleh Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) melalui platform media sosial.

Dr. Mohamad Zaimi yang juga Naib Presiden Persatuan Transplantasi Malaysia, berkata usaha berterusan NTRC dalam meningkatkan pendermaan organ dibuktikan melalui beberapa inisiatifnya sejak empat tahun lalu.

Katanya jumlah pemindahan buah pinggang daripada penderma yang masih hidup meningkat di HKL dan Hospital Selayang disebabkan keutamaan yang diberikan untuk proses penderma dan penerima buah pinggang semasa hidup ditekankan sejak 2019 oleh Kementerian Kesihatan.

“Terdapat juga usaha lain dilakukan seperti penstrukturan semula pasukan Perolehan Transplan Organ (TOP) menjadi Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH), serta memperkukuh pendermaan organ daripada penderma tidak bernyawa sejak tahun 2018,” katanya.

Dengan memperkasakan pendidikan sebagai kunci kesedaran, inisiatif untuk mendidik pakar kesihatan yang terlibat dalam pendermaan organ dilaksanakan melalui program seperti Organ Donation Initiatives in South East Asia (ODiSSEA), sebuah program hasil kerjasama antara Donation and Transplantation Institute, Barcelona, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), serta Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang turut bertepatan dengan pertambahan dalam pendermaan organ daripada penderma tidak bernyawa.

Kerjasama erat antara UiTM dan PPUM memastikan isu kritikal di Malaysia ini tersebar luas dan menanganinya dengan memahami keperluan asas serta menggunakan pendekatan yang betul.

Usaha ini akan berterusan menyeru lebih ramai orang tampil dan berikrar untuk menderma organ.

Dr. Mohamad Zaimi berkata, kerajaan Malaysia memainkan peranan penting dalam menangani isu pemindahan buah pinggang, kebajikan pesakit serta sokongan berterusan terhadap usaha NTRC.

Katanya, usaha kini dilakukan untuk meluluskan undang-undang baharu berkaitan pemindahan organ terutamanya dalam usaha mengawal serta mengelakkan aktiviti pemerdagangan organ yang dilihat sebagai ancaman di peringkat global.

Pada 2019, Persatuan Transplantasi Malaysia turut diberikan geran berjumlah RM150,000 oleh Kementerian Kesihatan untuk membantu pesakit dalam proses pemindahan organ mereka.

Walau bagaimanapun, keperluan bantuan kewangan serta harapan bagi pesakit semakin meningkat tahun demi tahun disebabkan oleh keadaan ini yang membimbangkan.

Sokongan terhadap transplantasi melalui bajet khusus daripada kementerian diharapkan dapat berkembang maju di Malaysia.

“Inisiatif Kementerian Kesihatan dalam memperkenalkan pendaftaran ikrar penderma melalui MySejahtera dilihat mampu memberi impak besar dalam meningkatkan jumlah penderma.

“Setakat ini purata menunjukkan ada 1,000 ikrar setiap hari dan ikrar yang dibuat dalam aplikasi ini akan membantu keluarga menunjukkan bukti untuk pendermaan organ selepas meninggal dunia,” katanya.

Sungguhpun tiada data menunjukkan kategori umur yang paling banyak mahu menderma buah pinggang, namun maklumat menunjukkan kebanyakan penderma bernyawa, bersetuju untuk menderma buah pinggang mereka berbanding hati dan organ lain.

Menangani tanggapan dan mitos

Keizinan untuk pemindahan organ menjadi cabaran dan punca kebimbangan dalam perubahan tanggapan dalam kalangan masyarakat.

Walaupun kebanyakan agama menggalakkannya, sesetengah kepercayaan seperti Jehovah’s Witness dan Shinto tidak membenarkan pendermaan organ.

Faktor menyebabkan mereka tidak mengizinkan pendermaan organ tidak bernyawa adalah mencacatkan anggota si mati dan kurang mengetahui apa yang dimahukan atau dibenarkan oleh si mati.

“Tanggapan bahawa mayat akan dicacatkan adalah salah, kerana si mati juga perlu menjalani pembedahan sama dengan mereka yang menderma dalam keadaan masih hidup untuk pemindahan yang berjaya.

“Organ itu perlu berada dalam keadaan yang baik untuk pemindahan. Pasukan NTRC/UPOH menjamin bahawa prosedur dilaksanakan secara terbaik untuk memelihara anatomi si mati dan tiada kecacatan yang jelas dapat dilihat selepas proses tersebut,” katanya.

Apa manfaat derma organ?

Belum ada lagi manfaat kesihatan daripada pendermaan organ selain kepuasan diri, kerana berani mengambil tindakan altruistik demi yang tersayang atau sesiapa sahaja penerima yang memerlukan.

Walau bagaimanapun, terdapat manfaat lain iaitu penderma dapat mengetahui kecenderungannya terhadap penyakit itu atau sebarang penyakit yang belum didiagnosis semasa proses menjadi penderma berpotensi.

Penderma mempunyai manfaat menerima diagnosis dan pengurusan lebih awal bergantung pada kes mereka jika didapati mempunyai sesuatu yang perlu dibimbangkan.

Untuk pendermaan bagi penderma yang tidak bernyawa, ia merupakan peluang hidup baharu buat pesakit yang menghidapi kegagalan buah pinggang.

Tidak seperti pesakit buah pinggang yang boleh menjalani dialisis sebagai pilihan bagi kelangsungan hidup, pesakit hati, paru-paru dan jantung tidak akan dapat meneruskan hidup jika mereka tidak mendapatkan pemindahan organ.

Pemindahan organ adalah alternatif paling murah dalam jangka masa panjang serta kadar kelangsungan dan kualiti hidup yang lebih tinggi berbanding dialisis.

“Jika kita mendapat lebih banyak penderma maka situasi akan menjadi lebih baik buat negara ini kerana pesakitnya menerima pemindahan organ,” katanya.

Justeru, pernahkah anda tanya diri sendiri jika anda berani untuk berikrar sebagai penderma buah pinggang dalam usaha menyokong dan memberi peluang hidup lebih bermakna buat mereka yang menghadapi kegagalan buah pinggang?

Jika anda sudah berikrar, tahniah diucapkan. Jika belum, tanyalah diri anda apa yang masih menghalang dan tangani keraguan secara saintifik.

Fakta ini memerlukan perhatian orang ramai dan dengan mengetahuinya.

Kita semua dapat memainkan peranan masing-masing dalam mengubah kehidupan orang lain serta keluarga mereka.

Ini adalah tindakan altruistik yang mulia dan memberi kesan yang sungguh besar kepada dunia.

Beranilah berikrar sebagai penderma organ melalui aplikasi MySejahtera. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN