Musim banjir yang sedang melanda negara khususnya di Pantai Timur mendedahkan risiko kepada ibu hamil secara fizikal dan mental.
Rumah dimasuki air dan selut bukan saja boleh menjejaskan kesihatan bakal ibu tetapi juga menjejaskan kesihatan mental mereka sekiranya berdepan bencana lebih serius seperti kehilangan rumah atau orang disayangi.
Pakar Sakit Puan, Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr. Patricia Lim Su-Lyn berkata, tekanan mental seperti stres boleh meningkatkan tekanan darah ibu sekaligus mengakibatkan komplikasi eklampsia iaitu sawan dan abruptio placenta atau lekang uri.
“Eklampsia adalah sawan yang berlaku pada ibu hamil. Gejalanya seperti tekanan darah tinggi, sakit kepala, penglihatan kabur dan sawan. Walaupun ia adalah keadaan yang jarang berlaku, tetapi kesannya sangat serius seperti menyebabkan strok dan kematian.
“Tekanan darah tinggi juga boleh menyebabkan lekang uri iaitu plasenta terpisah dari rahim. Ibu berisiko mengalami pendarahan, sakit perut dan melahirkan bayi pra matang, kelahiran tidak cukup berat atau kematian bayi,” katanya.
Penyakit bawaan air
“Minuman dan makanan yang tidak bersih boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi seperti menyebabkan penyakit demam tifoid, jangkitan kencing tikus, hepatitis A dan kolera.
“Demam tinggi menunjukkan ibu sedang berhadapan dengan jangkitan dan perlu mendapat rawatan segera kerana boleh menjejaskan kesihatan bayi,” katanya.
Cirit-birit sering berlaku ketika banjir akibat tahap kebersihan air yang kurang memuaskan.
Kekurangan air bersih juga boleh menghalang ibu untuk minum air secukupnya.
“Ibu hamil yang mengalami cirit-birit, terdedah kepada masalah dehidrasi atau kekurangan air dalam tubuh dan seterusnya meningkatkan risiko darah beku pada ibu mengandung.
“Dehidrasi boleh menyebabkan salur darah menjadi sempit dan darah menjadi pekat seterusnya menyebabkan darah beku. Dehidrasi semasa mengandung boleh membawa kepada komplikasi kehamilan yang serius, seperti kecacatan tiub saraf, air ketuban yang rendah, pengeluaran susu ibu yang tidak mencukupi dan menyebabkan kelahiran pramatang,” katanya.
Dehirdrasi dirasai apabila tekak terasa kering dan selalu terasa dahaga.
Sekiranya dibiarkan ia boleh menyebabkan kecacatan kelahiran akibat kekurangan air dan sokongan nutrisi untuk bayi.
Sebaiknya pastikan ibu mempunyai bekalan air bersih mencukupi untuk diminum.
Melahirkan bayi
Ibu yang berkemungkinan melahirkan pada bila-bila masa sebaiknya ke hospital atau berpindah segera ke pusat pemindahan bagi mengelakkan risiko tidak diingini.
Dapatkan pertolongan daripada paramedik jika berada di pusat pemindahan dan dapatkan kenderaan untuk berpindah ke hospital secepat mungkin.
Kebersihan diri juga perlu diutamakan selepas bersalin terutama bagi ibu menyusu badan bagi mengelak dari penyakit berjangkit.
Beliau turut menasihatkan ibu yang ditempatkan di pusat pemindahan untuk mendapatkan vaksin bagi mencegah penyakit berjangkit seperti Covid, batuk kokol dan influenza.
“Ibu mengandung harus mendapatkan vaksin covid atau booster, vaksin tetanus, difteria dan batuk kokol (TDAP) dan Influenza.
“Ia selamat dan dapat memberi perlindungan pada kandungan. Pastikan ibu hamil ada bekalan air yang bersih, cepat ke pusat pemindahan dan menyimpan buku merah pemeriksaan antenatal untuk rujukan pada waktu kecemasan. Bawa pakaian yang cukup terutamanya untuk memastikan tidak sejuk dan basah,” katanya.
Difteria dan batuk koko merebak dari seorang individu kepada individu lain. Ia boleh menyebabkan kesukaran bernafas, kegagalan jantung, lumpuh atau kematian.
Tetanus masuk ke dalam badan melalui luka atau luka. Ia menyebabkan otot kaku yang menyakitkan. Ia boleh membawa kepada masalah kesihatan serius termasuk tidak dapat membuka mulut, mengalami masalah menelan dan bernafas dan kematian.
Pertusis atau batuk kokol menyebabkan batuk yang tidak terkawal dan ganas. Ia menyebabkan kesukaran bernafas, makan atau minum. Ia boleh menjadi sangat serius terutamanya pada bayi dan kanak-kanak kecil. Ia menyebabkan radang paru-paru, sawan, kerosakan otak atau kematian.










