HUJUNG tahun adalah sesi cuti persekolahan yang menjadi pilihan ibu bapa untuk membawa anak-anak bercuti seisi keluarga. Sudah pastilah banyak berhabis duit sepanjang bulan ini.
Namun dalam keseronokan bercuti, ibu bapa perlu memastikan perbelanjaan untuk sesi persekolahan tahun depan mencukupi.
Selain sesi persekolahan, Mac juga adalah Ramadan. Pelbagai perkara berlangsung dalam satu bulan. Inilah yang dikatakan tahun depan belanja besar, maka ibu bapa perlu bijak menguruskan kewangan.
Perunding Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad berkata, ibu bapa perlu merancang perbelanjaan keluarga dengan bijak.
Ada tiga perkara utama setiap keluarga perlu merancang dengan baik iaitu membabitkan perbelanjaan persekolahan, perayaan dan percutian.
“Tahun baharu perbelanjaan sudah pasti meningkat. Buat anggaran perbelanjaan yang perlu dibelanjakan kemudian dibahagikan dengan 12 bulan.
“Perbelanjaan lain seperti insurans kereta, zakat, sambutan hari-hari istimewa dan lain-lain juga perlu dikira. Lebih-lebih lagi hujung tahun adalah masa untuk menyediakan segala-galanya daripada percutian, persekolahan, balik kampung dan perayaan.
“Jika ada ibu bapa yang terlepas atau gagal merancang perbelanjaan pada 2022, bolehlah jadikan azam 2023 ini bermula Januari nanti untuk mula membuat simpanan dan anggaran perbelanjaan.
Terutama Mac nanti ada dua perbelanjaan besar yang perlu ditanggung iaitu sesi persekolahan bermula dan puasa,” katanya kepada Seri.
SEDIA AWAL ELAK BERHUTANG
Tambah Zaid, persediaan awal untuk sesi persekolahan dan rancang percutian serta perayaan amat penting bagi mengelakkan berhutang.
Katanya, tidak dinafikan ada sesetengah ibu bapa terlebih berbelanja ketika bercuti sehingga perbelanjaan persekolahan anak-anak terganggu.
Situasi berkenaan boleh menyebabkan ibu bapa mencari alternatif lain dengan berhutang.
“Ia tidak berlaku sedemikian, kerana seolah-olah bergembira dahulu biarpun ada tugas atau tanggungjawab yang belum selesai. Kemudian pada Mac nanti akan merana disebabkan duit tidak mencukupi untuk membayar yuran, membeli beg dan kasut sekolah baharu anak-anak, sambut puasa dan raya pula,” katanya.
Ujar Zaid, biarpun 2023 semua berdepan dengan perbelanjaan besar, namun tidak salah untuk bercuti hujung tahun tetapi biarlah ikut kemampuan.
“Tidak semestinya perlu bercuti di luar negara, tempat mewah, mahal dan sebagainya. Bercuti tidak perlu kos tinggi tetapi cukup buat anak-anak gembira. Berbasikal ke taman, berkelah dan sebagainya pun boleh. Ini dapat menjimatkan perbelanjaan yang akan dibelanjakan lebih besar pada Mac nanti serta tahun depan. Selain itu, jika ada peluang, boleh review semula perbelanjaan 2022, apa yang dibeli dan hadkan kepada yang perlu sahaja,” katanya.
Beliau menambah, salah satu agenda utama ibu bapa apabila mendapat anak adalah menyediakan tabung pendidikan.
“Ibu bapa perlu bersedia seawal umur bayi sebulan untuk buka akaun mereka. Tidak perlu banyak dan ikut kemampuan anggaran dalam RM50 hingga RM100 sebulan tetapi perlu konsisten menyimpan.
“Jangan melihat pada kuantiti tetapi konsistensi itu penting. Sikit-sikit menyimpan sudah memadai asalkan berdisiplin. Simpanan ini perlu sejak anak masih kecil biarpun mereka tidak sekolah lagi. Kita perlu menyimpan sebab perjalanan pendidikan anak-anak sangat panjang dari sekolah tadika kepada sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti,” katanya.
BELANJA IKUT KEMAMPUAN
Dunia hari ini bukanlah seperti dahulu. Anak-anak mudah terjebak dengan jenama beg, baju, kasut dan peralatan sekolah yang dilihatnya di media sosial.
Sebagai ibu bapa, perlu memainkan peranan besar dalam mendidik anak-anak erti kemampuan dan tidak memberi harapan kepada mereka untuk memiliki sesuatu di luar kemampuan.
Menurut Pensyarah Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Pembangunan Sosial di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Raba’Aton Adawiah @ Robiah Mohd. Yusof, elak menjadikan orang lain sebagai ukuran dan sedarkan kepada anak-anak tentang kemampuan ibu bapa.
“Salah satu cara kita boleh buat adalah terangkan kepada anak-anak apabila tiada bajet atau tidak dapat sediakan untuk mereka terutama pada awal sesi persekolahan.
“Perlu fahamkan mereka. Kalau kita tidak mampu, beritahu tidak mampu dan boleh beli sesuatu yang lebih kurang, kadang-kadang anak-anak ini bukanlah mahu yang sama pun tetapi lebih kurang sudah memadai.
“Terangkan kepada mereka, beg ini mahal ibu tidak mampu. Lagipun nanti buka sekolah, kita nak sambut puasa, raya, cuti sekolah dan sebagainya semuanya perlukan belanja besar. Jadi, nak yang mana satu. Beri pilihan dan mereka akan faham.
“Tetapi kalau ibu bapa sendiri cakap, nanti ayah atau ibu belikan. Ia seolah-olah kita memberi harapan kepada anak-anak sedangkan kita tiada keupayaan untuk memenuhi,” katanya.
TREND PERCUTIAN SIHAT
Bagaimanapun, beliau melihat percutian bersama anak-anak dan pada hujung tahun merupakan trend sihat dan bagus apabila ibu bapa sudah melihat kepentingan masa seisi keluarga.
“Sekarang trend staycation, tidak perlu bajet tinggi asalkan dapat luangkan masa bersama. Ibu bapa boleh menjadikan percutian ini sebagai motivasi kepada anak-anak. Tetapi dalam keasyikan bercuti, perlu ada perancangan perbelanjaan dari awal. Bercuti tahun depan maka tahun ini sudah buat perancangan simpanan.
“Sesetengah ibu bapa banyak membelanjakan duit semasa percutian sehingga terlupa dengan perbelanjaan bagi sesi persekolahan baharu. Maka boleh beritahu anak-anak duit sudah banyak dibelanjakan pada percutian. Jadi, keperluan sekolah boleh dibeli baharu tetapi bukan dibeli pada hari pertama sekolah. Ini dapat mengelakkan bebanan ibu bapa,” katanya.
Namun kata beliau, ibu bapa perlu elakkan berhutang sekiranya terdapat kekangan untuk membayar yuran persekolahan dan sebagainya. Jika berdepan masalah ini, segeralah berkomunikasi dengan pihak sekolah.
“Perlu ada komunikasi jelas antara guru dan ibu bapa mahupun ibu bapa dengan anak-anak supaya tahu perbelanjaan mana perlu diutamakan dan boleh dikemudiankan agar tidak terjebak dengan hutang,” katanya.
Namun begitu, tegas beliau, setiap ibu bapa perlu menyediakan tabung perbelanjaan khusus untuk rumah terutama barangan dapur, persekolahan anak-anak, percutian dan sebagainya bagi mengelakkan kesempitan wang saat akhir.
“Bagi saya, sediakan tabung perbelanjaan amat penting. Jika ingin beli sesuatu yang baharu pastikan awal tahun sudah ada bajet. Tetapi kalau ia tidak perlu, maka berhemah dalam berbelanja,” katanya.
Bila beras kita beli …
TIADA duit tetapi hendak bercuti makan angin? Melihat kawan-kawan membawa keluarga masing-masing ke destinasi percutian dan menayangkan gambar-gambar di media sosial, kita pun mahu berbuat begitu sehinggakan sanggup meminjam atau berhabis?
Memang bagus membawa anak-anak berjalan masa cuti sekolah ini kerana ini dikatakan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga di samping menggembirakan hati anak-anak. Itu yang sangat penting. Iyalah, apa guna kerja keras dan masa terlalu kurang bersama keluarga, jika hasilnya walau sedikit tidak dapat dinikmati bersama mereka. Kerja penat-penat semuanya untuk mereka juga.
Tetapi itulah, mahu atau tidak bagi yang berpendapatan rendah dan pertengahan, percutian perlu dirancang dengan perbelanjaan yang rapi. Ini kerana pada awal tahun banyak wang diperlukan terutamanya pembukaan sesi persekolahan penggal pertama pada Mac nanti.
Itu tidak masuk lagi perbelanjaan anak-anak yang menuntut di institusi pengajian tinggi, pinjaman kenderaan, rumah dan bil-bil bulanan yang perlu diselesaikan. Tambah memeningkan masa itulah juga cukai jalan dan insurans kenderaan pula tamat tempoh.
Sebab itu, ada ibu bapa yang sudah mengetepikan duit bercuti dan keperluan lain awal-awal lagi secara konsisten walaupun sedikit setiap bulan. Ini adalah langkah yang bijak walaupun dapat menyimpan hanya sedikit daripada tiada langsung.
Pun begitu, ramai yang mengatakan macam mana mahu menyimpan, kalau gaji pun tidak mencukupi? Jika simpan duit, semuanya terpaksa bercatu.
Apa pun, tentu kita juga yang perlu memikirkan formula untuk mengatasi beban kewangan diri dan keluarga sendiri. Merungut dan banyak komplen tentang kos sara hidup yang tinggi, ia hanya menyesakkan dada. Tiada jalan penyelesaiannya.
Kalau mahu ikut cara hidup mewah orang lain, tetapi sebenarnya tidak mampu, ia akan menjadikan kedudukan kewangan keluarga sentiasa sesak. Iyalah, tiada orang yang tahu pun, kita bergelut untuk membeli beras. Kita yang tanggung sendiri.
Justeru, perlu ada bajet keluarga sendiri. Mahu atau tidak segalanya perlu diatur mengikut keperluan dan kepentingan. Jangan kerana situasi kewangan yang goyah, membuatkan suami isteri bermasam muka. Ini tentu akan mengheret ke cerita lain pula nanti.
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia











