PENANTIAN 11 tahun untuk ditayangkan akhirnya membuahkan kemanisan buat seluruh warga produksi Spilt Gravy apabila diangkat sebagai Filem Terbaik pada kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM32) yang berlangsung penuh gemilang di Encore Theatre, Melaka, Jumaat lalu.
Filem arahan Datuk Zahim Al- Bakri itu menundukkan pesaing lain, termasuk Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan untuk kategori tersebut, sekali gus membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM500,000 serta trofi.
Spilt Gravy turut menguasai enam trofi lain menerusi kemenangan Zahim dalam kategori Pengarah Harapan Terbaik, Juliana Ibrahim (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik), Lakon Layar Terbaik, Penyunting Terbaik, Rekaan Busana Terbaik dan Penataan Seni Terbaik.
Penerbit filem tersebut, Zarul Albakri menyifatkan kemenangan itu sebagai satu kelegaan selepas penantian yang cukup panjang sebelum filem itu berjaya ditayangkan tahun ini.
“Kemenangan ini adalah di luar jangkaan kami. Filem ini sudah lama dihasilkan malah saya juga sudah hampir berputus asa kerana ia tertangguh terlalu lama sebelum ditayangkan tahun ini.
“Susah nak percaya dengan apa yang kami capai pada malam ini. Pada saya, inilah sumbangan kami untuk industri,” katanya.
Zahim turut mendedikasikan kejayaan di FFM32 kepada pelakon, arwah Jit Murad sebagai pemilik asal naskhah tersebut.
“Ketiadaan Jit, lebih-lebih lagi untuk meraikan kejayaan ini adalah perkara yang amat menyedihkan kami.
“Saya bangga kerana berpeluang bekerja dengan seorang yang bijak sepertinya sejak 1993 lagi.
“Dia bukan sahaja sahabat yang baik, malah seorang yang cukup terbuka dalam membenarkan kami menyuntik perubahan terhadap skrip asal sebelum naskhah itu difilemkan. Saya terharu kerana akhirnya juri FFM32 mengiktiraf filem ini,” katanya.
Sementara itu, Ryon Lee Eng Keong pula melakar sejarah tersendiri selepas dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik menerusi filem Small Town Heroes, menumpaskan pencabar terdekat, termasuk Syamsul Yusof yang menyandarkan harapan kepada Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.
Filem tersebut turut unggul dengan enam trofi lain, Cerita Asal Terbaik, selain dua pelakonnya iaitu Layla Sania Khairuzikri dan Phua Chandler, masing-masing memenangi trofi Pelakon Wanita Harapan dan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.
“Saya hadir ke FFM32 tanpa menaruh harapan untuk menang kerana nama yang bertanding, seperti Syamsul Yusof hebat-hebat belaka.
“Justeru, saya langsung tidak bersedia. Tetapi, saya gembira kerana ini merupakan anugerah pertama yang saya terima di negara sendiri,” kata Ryon.
Filem Mat Kilau terbitan Kembara Studio Sdn. Bhd. bagaimanapun, tidak pulang tangan kosong apabila dua pelakonnya, Datuk Adi Putra dan Beto Kusyairy masing-masing diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Trofi Pelakon Wanita Terbaik pula menjadi milik Tan Chui Mui yang menyerlah menerusi filem Barbarian Invasion.
Anugerah Khas Seniman dan Seniwati Sepanjang Zaman masing-masing menjadi milik pelakon ikonik, Mat Sentul dan Datuk Sarimah Ahmad.
FFM32 dihoskan pasangan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim dan Awal Ashaari.
Penganjuran tahun ini turut menyaksikan persembahan bertenaga barisan penyanyi terkenal seperti Siti Nordiana, Azlan And The Typewriter, De Fam, Marsha Milan Londoh dan ramai lagi.
CABARAN MENGARAH PELAKON BAHARU – RYON LEE ENG KEONG
Mengenai cabaran mengarah filem Small Town Heroes, Lee Keong menjelaskan, bekerja dengan pelakon baharu bukan perkara yang mudah dilaksanakan kerana pelakon perlu bersahaja.
Malah mengendalikan sejumlah pelakon yang ramai untuk satu-satu babak dalam filem ini juga sangat mencabar.
Small Town Heroes merupakan filem diadaptasi dari kisah kehidupan kanak-kanak Lee Keong ketika zaman kanak-kanaknya.
Pengarah berusia 49 tahun itu berkata, impian mendokumentasikan kisah kehidupannya tercapai menerusi filem tersebut.
“Ingatan saya merosot seiring peningkatan usia. Justeru, saya perlu merekodkan cerita kanak-kanak saya menerusi filem,” ujarnya.
Lee Keong turut menasihati pengarah muda untuk kuat berusaha dan tekun dalam kerja pengarahan filem untuk mendapatkan hasil berkualiti.
Pengiktirafan bermakna – Tan Chui Mui
Kemenangan trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM32 merupakan yang pertama diraih Tan Chui Mui sepanjang penglibatannya sebagai pelakon.
Malah beliau menyifatkan kemenangan itu sebagai pengiktirafan paling bermakna selepas bekerja keras menggalas tanggungjawab sebagai pengarah dan pelakon untuk Barbarian Invasion.
“Berlakon dan mengarah dalam satu masa bukan perkara mudah kerana tumpuan terpaksa dibahagikan untuk dua peranan.
“Disebabkan itu, saya terkejut apabila nama diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik. Saya bersyukur dengan kemenangan pertama sebagai pelakon,” katanya.
Anak kelahiran Kuantan, Pahang ini pada masa sama turut berkongsi cabaran menghidupkan peranan Lee Yoon Moon.
“Watak ini menuntut ketahanan fizikal. Untuk filem ini, saya terbang ke Filipina untuk belajar seni mempertahankan diri.
“Menjadi pelakon dan pengarah dalam satu masa bukan perkara mudah. Mungkin selepas ini saya tidak akan melakukannya lagi, sebaliknya akan berlakon di bawah arahan orang lain,” ujarnya yang turut memaklumkan akan lebih memberi tumpuan kepada kerja pengarahan selepas ini.
Katanya, banyak perkara berkaitan pengarahan filem yang mahu dilaksanakan selepas ini. Jadi tumpuannya pada tahun hadapan akan lebih diberikan kepada peranan itu.
“Saya akan terus berlakon, bahkan sudah bersetuju untuk bekerja di bawah arahan Suhaimi Baba yang akan bermula sekitar tahun hadapan,” kongsinya.
Perjuangan untuk akhirat – Adi Putra
Ketiadaan penerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Datuk Adi Putra pada acara berprestij itu sedikit sebanyak menghampakan peminat yang ingin melihat aktor tersebut menjulang sendiri trofi kemenangan.
Bagaimanapun, Adi yang berada di Mekah, sempat menitipkan penghargaan atas kemenangan itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagramnya.
“Saya berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), kedua ibu bapa, isteri, anak-anak dan peminat yang menyokong dari awal hingga kini.
“Tidak lupa juga buat pengarah ‘akhir’ saya, Syamsul Yusof yang memberi peluang untuk melakonkan watak Mat Kilau. Alhamdulillah.
“Syukur kepada Allah. Apa yang kita perjuangkan dalam dunia perfileman, mesej yang ingin disampaikan adalah untuk akhirat nanti,” katanya.
Sementara itu, pemenang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Beto Kusyairi yang juga tidak hadir pada acara tersebut sempat menitipkan ucapan terima kasihnya menerusi Instagram.
“Syukur alhamdulillah, gayat juga atas pengiktirafan setinggi ini. Ampun maaf kepada pihak festival kerana tak dapat bersama-sama meraya dan meraikan dek kekangan masa serta tanggungjawab sedia ada.
“Kepada seluruh warga penerbitan Mat Kilau, terutama sang nakhoda, Syamsul yang jerih perihnya tidak boleh dipertikai, ini adalah hasil daripada kerja keras dan hempas pulas anda juga.
“Terima kasih kepada yang menyokong. Terus semarakkan filem kita melalui cara yang betul. Tinggalkan tontonan cetak rompak khususnya filem tempatan melalui Telegram atau mana-mana platform yang tidak sah. Sekecil inisiatif sebegini memberi impak besar kepada kami selaku penggiat untuk memartabatkan filem kita,” tulisnya.










