Kumpulan Halim Mazmin bantu B40 lanjut pelajaran di Universiti Meritus - Utusan Malaysia

Kumpulan Halim Mazmin bantu B40 lanjut pelajaran di Universiti Meritus

(Gambar kanan) Halim Mohamad. Maritim janji peluang pekerjaan lebih cerah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAJAR usaha membantu pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tercicir terutama daripada keluarga B40 daripada memasuki institusi pengajian tinggi (IPT), sebanyak RM2 juta diperuntukkan di bawah Biasiswa Kumpulan Halim Mazmin kepada pelajar mengikuti kursus Asasi Pengurusan Perniagaan di Universiti Meritus.

Di samping ingin meningkatkan jumlah lulusan bidang maritim, dan menawarkan akses pendidikan berkualiti, ia turut terbuka kepada mana-mana belia yang ingin mengikuti kursus asasi Universiti Meritus yang memberikan pendedahan pembelajaran lebih meluas membabitkan aspek teori dan praktikal.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Halim Mazmin, Tan Sri Halim Mohamad berkata, peruntukan berkenaan membabitkan pembiayaan biasiswa kepada pelajar mendapat keputusan lima kredit untuk mengikuti kursus asasi di bawah institusi pengajian itu.

Tawaran tajaan itu katanya, terbuka kepada mana-mana pelajar SPM berkelayakan dan secara tidak langsung mereka berpeluang meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya selepas tamat kursus yang mengambil tempoh selama setahun.

“Fokus kita kepada semua pelajar SPM, tidak kira daripada kumpulan mana, asalkan berkelayakan dan beri biasiswa sehingga tamat pengajian asasi. Walaupun kita beri peruntukkan RM2 juta untuk kira-kira 200 pelajar, namun jumlah tidak sampai ke tahap ini.

“Justeru kita amat mengalu-alukan mana-mana pelajar khususnya di luar bandar untuk memohon dan insya Allah kita beri tajaan biasiswa,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut beliau, ramai tidak menyedari kelebihan sektor maritim sehingga menyebabkan kurangnya graduan dalam bidang itu sedangkan ia menjanjikan peluang pekerjaan lebih cerah di samping mampu meraih pendapatan tinggi.

Kata Halim, pihaknya mengambil pendekatan untuk menawarkan biasiswa itu bagi menaja pelajar SPM yang mahu mengikuti kursus asasi agar mereka diberikan peluang dan seterusnya menceburi bidang kerjaya maritim pada masa depan.

Permohonan boleh dilakukan di www.meritus.edu.my. Ini terbuka kepada pelajar SPM yang mendapat keputusan lima kredit.

Graduan Universiti Meritus, mempunyai potensi begitu luas apabila mendapat tempat pekerjaan seawal menjalani latihan praktikal apabila kursus-kursus ditawarkan memenuhi keperluan dan kehendak pasaran kerja sejak universiti berkenaan ditubuhkan pada 2016.

Sebanyak lapan kursus pengajian ditawarkan selain asasi iaitu Diploma Pengurusan Perniagaan, Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Perniagaan, Ijazah Sarjana Muda Sains Perniagaan Maritim, Ijazah Sarjana Muda Sains Kewangan (Strategi Pelaburan), Ijazah Sains Dalam Perkapalan, Perdagangan dan Kewangan, Ijazah Sains Pengurusan Harta dan Ijazah Doktor Falsafah Perniagaan Maritim.

“Lepas ambil asasi, pelajar boleh sambung ke peringkat ijazah sarjana muda dan seterusnya ijazah dan PhD. Bagi pelajar dapat SPM 3 Kredit, mereka boleh terus ambil diploma yang mengambil masa tempoh dalam dua tahun setengah.

“Kita turut menawarkan kursus pascasiswah seperti ijazah sarjana dan doktor falsafah,” katanya.

Halim menambah, beliau difahamkan Ijazah Sarjana Muda Sains Kewangan (Strategi Pelaburan) tidak terdapat di IPT lain sekali gus menjadikan Universiti Meritus merupakan satu-satunya pusat pengajian menawarkan bidang seumpama itu di negara ini.

“Saya lihat pegawai-pegawai bank yang ada kelulusan akauntan tiada kemahiran dan ilmu pengurusan kewangan. Misalnya bagaimana kita hendak nasihat penyimpan untuk melaburkan wang simpanan. Oleh itu melalui pendedahan di bawah ijazah ini, mereka layak menasihat penyimpan untuk menguruskan harta agar memberi nilai tambah untuk masa depan.

“Malah keunikan kursus pasca siswazah seperti Ijazah Sains Dalam Perkapalan, Perdagangan dan Kewangan, Ijazah Sains Pengurusan Harta dan Ijazah Doktor Falsafah Perniagaan Maritim yang dirangka berdasarkan keperluan dan kehendak pasaran khususnya bidang maritim,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap pelajar cemerlang yang tercicir memasuki IPT, memohon menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di Universiti Meritus supaya masa depan mereka tidak terhenti tanpa mendapat peluang akses pendidikan berkualiti tinggi.

Pihaknya bersedia bekerjasama dengan kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi, menghantar 100 hingga 200 pelajar cemerlang untuk belajar di universiti berkenaan.

“Hal ini kerana mereka tidak tahu apakah kelebihan terdapat pada kursus-kursus ijazah ditawarkan. Malaysia sebuah negara maju dan sebuah negara dagangan, jadi saya syorkan pelajar kita untuk belajar dalam bidang luas ini dengan kita mesti buka minda untuk ambil kursus yang menjanjikan pekerjaan begitu luas.

“Boleh saya katakan prestasi 100 peratus dapat kerja, malah semasa latihan praktikal, majikan sudah ambil dan tawar gaji besar. Hal ini kerana pembelajaran kita bukan sahaja setakat teori, tetapi amalan yang memberi pendedahan di samping memenuhi kehendak pasaran,” katanya.

Penekanan kemahiran turut diberikan dalam penguasaan Bahasa Inggeris bagi membolehkan pelajar menguasai bahasa berkenaan dalam tempoh pengajian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN