Kongsi buah pinggang, tak sanggup lihat insan tersayang menderita - Utusan Malaysia

Kongsi buah pinggang, tak sanggup lihat insan tersayang menderita

WANITA ini berkongsi pengalaman mendermakan buah pinggang kepada lelaki bergelar abang, suami dan anak masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hati mana tidak luluh bila melihat insan yang disayangi tidak lagi ceria dan bermaya kerana mengalami kegagalan buah pinggang iaitu organ penting dalam fungsi tubuh.

Demi kasih tidak berbelah bagi, tiga wanita bergelar isteri, ibu dan kakak, tidak teragak-agak mengorbankan salah satu buah pinggang masing-masing untuk didermakan kepada insan yang mereka sayangi.

Mereka juga sanggup berkorban kerjaya dan masa demi melihat suami, anak dan adik masing-masing kembali ceria dan sihat seperti sebelum ini dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
Pesara guru, Roslini Che Min,58, rela mendermakan buah pinggang sebelah kirinya kepada anak bongsunya, Hazmi Salihudin,25 yang mengalami kegagalan buah pinggang secara tiba-tiba.

“Bagi saya apa erti Allah ciptakan dua buah pinggang kalau tidak dikongsikan dengan orang lain terutama darah daging sendiri? Jadi, mengapa tidak saya dermakan pada anak kandung saya sendiri yang amat memerlukannya demi masa depannya yang masih jauh.

“Saya sanggup bersara awal sebagai guru demi untuk menjaga Hazmi yang perlu menghabiskan tahun akhirnya dalam bidang perakaunan di Universiti Auckland, New Zealand. Saya jaga dia kerana dia perlu menjalani dialisis empat kali sehari,” katanya.

Hazmi disahkan mengalami kegagalan buah pinggang selepas tiga hari pulang ke tanahair pada November 2018.

Dia mengalami kesukaran bernafas dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Petaling Jaya.

Apa yang menyayat hati Roslini apabila doktor meminta anaknya itu mengucapkan selamat tinggal kepadanya dan suami.

Namun, berkat doa ibubapa, Hazmi berjaya melepasi saat cemas itu walaupun terpaksa menjalani dialisis empat kali seminggu.

Roslini adalah salah seorang daripada tiga penderma iaitu Siti Fatimah Lop dan Wardah yang berkongsi pengalaman masing-masing menderma buah pinggang pada Forum Pemindahan Buah Pinggang Semasa Hidup anjuran National Kidney Foundation (NKF) di Shah Alam, baru-baru ini.

Program itu dijalankan oleh Komuniti Pemacu Pendermaan Organ (CODE). Sebuah platform untuk pesakit buah pinggang baharu serta penjaga, belajar dan memahami lebih lanjut mengenai pemindahan buah pinggang serta berkongsi pengalaman antara satu sama lain.

TAK DERMA SEBAB MASALAH KESIHATAN
Roslini berkata pada awalnya, suaminya mahu mendermakan buah pinggang kepada Hazmi tetapi pada saat akhir, hasil pemeriksaan kesihatan mendapati dia mempunyai masalah kesihatan sekali gus tidak boleh meneruskan hajatnya itu.

“Tanpa ragu-ragu, saya rela menggantikan suami untuk mendermakan salah satu buah pinggang saya kepada Hazmi. Saya bersyukur kerana sihat dan pada awal tahun lalu, saya berjaya mendermakan salah satu buah pinggang kepada anak saya.

“Biarpun hidup dengan sebelah buah pinggang saja tetapi setakat ini, tetapi saya bersyukur kerana tiada berdepan sebarang masalah. Saya rasa sihat saja dan menjalani hidup seperti biasa. Lebih menggembirakan bila dapat melihat Hazmi kembali sihat tanpa perlu menjalani dialisis. Malah beliau juga baru saja mendirikan rumahtangga sebulan lepas,” katanya.

Suka makan mi segera dan air bergas
Sementara itu Hazmi berkata, dia tidak sangka demam yang sering dialami selama ini petanda buah pinggangnya bermasalah.

Malah dia aktif bersukan dan bangun seawal 6.00 pagi untuk bersenam di gimnasium.

“Setiap kali demam, saya hanya makan ubat paracetamol dan kalau terasa letih, saya hanya tidur. Mungkin gaya pemakanan saya yang gemar makan mi segera dan minuman bergas sejak di bangku sekolah menjadi antara punca penyakit ini.

“Boleh dikatakan hari-hari saya makan dua benda ini apatah lagi bila belajar di luar negara. Kini saya sedar perlu menjalani gaya hidup lebih sihat dengan menjaga diet seimbang,” katanya.
Hazmi bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga terutama ibubapa dan isteri yang baru dinikahi.

Buah pinggang yang didermakan ibunya memberi nyawa baharu kepadanya dan jasa yang tidak terbalas olehnya.

Bukti kasih pada suami
Cinta tidak berbelah bahagi mendorong Siti Fatimah Lop,45, mendermakan buah pinggang sebelah kirinya kepada suaminya, Roslan Yahya,53 pada Februari 2021.

Roslan yang ketika itu baru berusia 47 tahun, disahkan mengalami kegagalan kedua buah pinggangnya pada November 2018 dan dia perlu menjalani dialisis sebanyak tiga kali seminggu. Keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan peranannya sebagai ketua keluarga.

“Rasa sayang bukan sekadar untuk dituturkan atau dipamerkan pada orang. Apa yang saya buat bagi menzahirkan rasa itu dengan berkongsi buah pinggang dengan suami. Mulanya suami enggan terima tetapi selepas tiga kali dipujuk, akhirnya dia bersetuju.

“Hampir separuh jalan membuat persiapan untuk pembedahan, baru saya bercerita kepada mak, mentua dan adik ipar. Walaupun mereka tidak berapa faham tapi mereka tetap bagi sokongan. Mak tanya satu saja, kalau buat Lan (Roslan) sihat macam dulu balik, buatlah,” katanya.

Katanya pada hari mereka dimasukkan ke wad iaitu pada Februari 2021, ibu dan mentua beri semangat.

Ibunya berpesan supaya membulatkan tekad, kuatkan semangat dan jangan pandang belakang. Doa ibu mengiringi pembedahan yang dijalankan.

Tambah Siti Fatimah, sebelum pembedahan, doktor mengesan jahitan pada lapisan otot perut masa bersalin anak ke enam, terbuka menyebabkan lemak keluar dan masuk ke kawasan yang tidak sepatutnya.

“Jadi, pada hari pembedahan pemindahan, doktor turut membetulkan semula keadaan itu menjadikan tempoh pembedahan memakan masa sehingga lima jam. Kalau tidak kerana pembedahan transplan ini, saya sendiri tidak tahu punca yang menyebabkan rasa tidak selesa selama sembilan tahun yang saya tanggung,” katanya.

Selepas dua tahun menjalani pembedahan transplan, pasangan yang sudah berkahwin selama 25 tahun dengan enam cahayamata itu sihat seperti biasa. Adakalanya Siti Fatimah mengakui terlupa dirinya kini ada satu saja buah pinggang.

Sementara itu, Roslan Yahya, 52, berkata ketika mula-mula sakit, dia sering rasa pening kepala dan badan cepat penat dan lemah.

“Apabila menjalani pemeriksaan kesihatan, didapati kedua-dua buah pinggang saya rosak. Saya terpaksa menjalani dialisis tiga kali seminggu sehingga menganggu kerja di pejabat swasta.

“Bila isteri menyatakan hasrat untuk mendermakan salah satu buah pinggangnya, saya rasa terharu dan sedih. Kalau boleh saya tidak mahu dia juga sakit. Saya seorang sakit cukuplah tetapi isteri sudah nekad dengan keputusannya,” katanya.

Dia gembira selepas menerima satu buah pinggang daripada isterinya itu kerana tidak perlu lagi menjalani dialisis setiap minggu.

Roslan juga merasa lebih bebas ke mana saja tanpa perlu risau dengan jadual dialisis lagi.

‘Organ rosak akibat demam panas’
Walaupun usianya ketika itu baru mencecah 26 tahun, Wardahanisah Razali sanggup mendermakan salah satu buah pinggangnya kepada adiknya, Shah Zahid Razali pada Oktober 2020.

Shah Zahid yang baru berusia 20 tahun ketika itu mengalami demam panas sehingga pengsan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Seluruh keluarga terkejut apabila Shah Zahid yang selama ini sihat dan aktif disahkan mengalami kegagalan kedua buah pinggang.

“Ketika itu seluruh muka dan badannya menjadi bengkak dan selepas itu kehidupannya mula berubah apabila perlu menjalani dialisis. Saya kerap menemaninya ke pusat dialisis dan rajin bertanya pada doktor dan jururawat berkenaan transplan.

“Dari situ, saya dapat pendedahan mengenai pemindahan buah pinggang dan terbuka hati untuk mendermakan salah satu buah pinggang kepada adik saya. Apabila saya luahkan hasrat pada ibu bapa, Alhamdulillah mereka terima dengan hati yang terbuka. Saya juga membawa mereka pergi kaunseling di klinik transplant Hospital Kuala Lumpur (HKL) supaya mereka faham mengenai pendermaan organ,” katanya.

Pelajar Sarjana Seni dan Rekaan UiTM Shah Alam itu berkata, dia bersyukur kerana segala proses pendermaan dan pemindahan berjalan lancar.

Lebih membuatkan dirinya teruja kerana dapat mengenalpasti kondisi kesihatannya setelah menjalani pelbagai pemeriksaan kesihatan sebelum pemindahan dijalankan.

“Selepas dua tahun hidup dengan satu buah pinggang, saya sihat seperti biasa. Setakat ini, tiada kesan sampingan yang menjejaskan aktiviti harian saya sehinggakan saya sendiri kadangkala lupa kini ada sebelah buah pinggang.

“Saya kini hamil anak sulung dan sekarang sudah mencecah enam bulan.

“Segalanya dalam keadaan baik. Adik juga baru mendirikan rumahtangga dan saya gembira melihatnya sihat seperti sebelum sakit dahulu,” kata anak ke tiga daripada lima beradik ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN