Inspirasi keindahan alam semarak IFF 2022 - Utusan Malaysia

Inspirasi keindahan alam semarak IFF 2022

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mendengar penerangan daripada Tengku Muhaini dan Raja Rezza Shah (dua dari kanan), ketika melawat ruang pameran pada Majlis Malam Amal Bakasa dan Bakat Festival Fesyen Islamik (IFF) 2022 di Wisma Perwira, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTUNJUKAN fesyen Islamik bertemakan alam iaitu, bumi, angin dan api hasil kreativiti pereka fesyen tempatan dan luar negara, menyemarak Festival Fesyen Islamik (IFF 2022).

Pertunjukan malam itu menampilkan pereka fesyen tempatan seperti Rizman Ruzaini, Calvin Thoo dan Nurita Harith, manakala dari Indonesia, Jeny Tjahyawati dan Ghea Panggabean.

Pereka duo Rizman Ruzaini mengetengahkan rekaan Malikha yang membawa maksud The Queen.

Ia mengambil inspirasi daripada elemen air, api dan angin.

Kemegahan The Queen diterjemahkan menerusi batu dan berlian untuk setiap helaian rekaan.

Seleksi pemilihan warna hitam, merah, hijau, biru dan menyerlahkan keanggunan.

Manakala Nurita Harith menyerlahkan konsep glamor untuk wanita muslimah tampil bergaya namun sopan dan ayu.

Pereka Jeny Tjahyawati menekankan rekaan kardigan labuh bercorak bunga sesuai digayakan dengan seluar, skirt mahupun maxi labuh.

Fesyen kasual muslimah menerusi motif pilihannya bersesuaian dengan motif The Wonderful Earth, selesa dipakai ketika bercuti, bersantai dan harian. Rekaan ini disuai padan dengan pemakaian sneakers dan topi untuk tampil lebih menarik.

Pereka Shah Rezza menampilkan koleksi busana lelaki, Panas. Ia menggabungkan pakaian tradisi Malaysia, Pakistan dan India.

Konsep baju Melayu, kurta dan dhoti mencuri tumpuan. Ditambah aksesori pada leher, pergelangan tangan dan selempang pada bahu.

Pilihan rona terang seperti oren dan merah menyerlahkan keberanian dan keperkasaan seorang lelaki.

IFF menjadi pengisian Majlis Malam Amal Badan Amal Kasih Sayang (BAKASA) dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT ATM) berlangsung di Dewan Perkasa Wisma Perwira, baru-baru ini.

IFF diasaskan Pengasas dan Pengerusi IFF, Datuk Seri Shah Rezza.

“Malam ini semua pereka mempamerkan hasil rekaan berunsurkan alam bagi meningkatkan kesedaran untuk menghargai bumi.

“Ini adalah kerjasama julung kali antara BAKASA dan BAKAT dalam majlis pertunjukan fesyen untuk IFF 2022 bagi mengumpulkan dana sumbangan kebajikan,” katanya.

IFF pertama kali diadakan pada November 2006 di Kuala Lumpur sebagai mempromosi keindahan fesyen Islam yang boleh digayakan dan dipakai di khalayak antarabangsa sekali gus menangani Islamofobia, menentang ekstremisme dan menggalakkan kesederhanaan.

Hingga kini IFF telah mengadakan lebih 40 pertunjukan fesyen sekitar Asia hinggalah ke Eropah.

RM1.25 JUTA DANA TERKUMPUL DI IFF 22
Majlis Malam Amal BAKASA dan BAKAT ATM berjaya mengumpul dana sebanyak RM1.25 juta yang akan disumbangkan kepada dua pertubuhan kebajikan iaitu Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Afzan (RUKTAA) dan Centre of Innovation Tengku Ampuan Afzan (CINTAA).

Dana diperolehi juga akan disalurkan kepada BAKAT ATM bagi menjayakan program transformasi kemahiran untuk isteri-isteri anggota tentera daripada golongan B40.

Menerusinya, ia dapat meningkatkan kemahiran dan daya keusahawanan para isteri anggota tentera malah ada di antaranya telah berjaya membuka perniagaan secara kecil-kecilan dan menjana pendapatan.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis itu dan melawat kiosk jualan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) hasil air tangan ahli BAKAT.
Turut berangkat hadir, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda turut menghiburkan tetamu bersama Tengku Permaisuri Norashikin dengan nyanyian lagu Dealova oleh penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menurut Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT dan Penasihat Diraja BAKASA, Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah, Kedua-dua pertubuhan, RUKTAA dan CINTAA memerlukan suntikan dana lebih-lebih lagi ketika pasca Covid-19 untuk meneruskan kelangsungan program di bawah BAKASA dan BAKAT.

“Di pihak BAKASA, kami telah melihat peningkatan 30 peratus dalam gred anak-anak kami menerusi pelaksanaan kelas e-tuisyen pada waktu petang dan melibatkan mereka dalam program CINTAA.

“Untuk BAKAT pula, kami menjalankan program latihan masakan dan fesyen untuk isteri anggota dan pegawai menerusi sumbangan peralatan percuma seperti ketuhar, mesin jahit, set pengukur dan lain-lain yang mampu membantu mereka mendapatkan pendapatan tambahan antara RM50 hingga RM200 sehari,” katanya.

Tengku Muhaini yang juga isteri kepada Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, BAKASA telah mengendalikan RUKTAA di Raub, Pahang yang menempatkan 40 kanak-kanak daripada keluarga miskin dan memerlukan.

“Alhamdulillah, antara mereka telah berjaya ke menyambung pengajian ke kolej dan universiti serta mendapat gred tertinggi hasil kelas tuisyen dan aktiviti kurikulum yang diberikan,” katanya.
Sebelum ini, BAKASA pernah mengadakan IFF 2009 dengan kutipan dana sebanyak RM292,692 pada Malam Amal BAKASA.

BAKASA HULUR SUMBANGAN HAMPIR 2 DEKAD
BAKASA adalah pertubuhan kebajikan yang ditubuhkan pada 2004 cetusan idea daripada Tengku Muhaini.

Ia bertujuan menyediakan persekitaran hidup lebih baik untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik terutamanya anak yatim daripada keluarga miskin.

BAKASA menguruskan RUKTAA yang dibina pada 2008 memuatkan 80 kanak-kanak berumur antara tujuh dan 18 tahun melalui pendidikan, latihan dan kemahiran serta menyediakan peluang kepada masyarakat setempat untuk berdikari.

Segala perbelanjaan adalah hasil daripada sumbangan orang ramai, sumbangan zakat dan aktiviti kebajikan anjuran BAKASA melalui penjualan makanan, barangan berharga dan pakaian serta menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Anak-anak di RUKTA mendapat keistimewaan di CINTAA yang ditubuhkan pada 2017 bagi memupuk kemahiran teknologi dengan pendedahan elektronik asas, robotik dan programming. Mereka dapat meluangkan masa meneroka kemahiran kreativiti dan inovasi. RUKTAA merupakan rumah kebajikan pertama yang menyediakan pusat inovasi kepada anak-anak ini.

BAKASA turut mengumpul wang tunai, makanan dan pakaian kepada mangsa banjir di Pahang.

Menerusi BAKAT pula, ia diamanahkan untuk memberi khidmat kebajikan kepada ahli-ahli keluarga warga ATM dan telah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN