Baru-baru ini heboh wanita bersalin tapi tidak menyedarinya dirinya selama ini mengandung.
Kejadian itu cukup memeranjatkan kerana tidak mungkin wanita hamil tidak dapat merasai pergerakan bayi atau perut yang kian membesar? Bagaimanapun apa yang berlaku itu, bukan mustahil kerana ada penjelasan daripada sudut perubatan.
Ketua Jabatan Obstetriks dan Ginekologi Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Prof. Dr. Nur Azurah Abdul Ghani berkata, memang ada kes wanita tidak sedar mereka hamil, namun ia jarang berlaku.
Katanya, ia mungkin disebabkan kandungan tidak sihat, di mana tiada pembesaran janin serta hilangnya simptom kehamilan.
Atau kemungkinan sebelum kehamilan, wanita tersebut mengalami berat badan berlebihan di mana wanita tersebut perasan pembesaran janin di dalam rahimnya,” katanya kepada Seri.
Dr. Nur Azurah berkata, lazimnya, perut wanita hamil akan kelihatan selepas 14 minggu mengandung di mana pada waktu itu, perut terbonjol kecil yang membabitkan bahagian ari-ari wanita.
Apabila usia kandungan mencapai lima bulan, bonjolan ini akan sampai pada pusat ibu hamil. Bagaimanapun, saiz perut ketika hamil berbeza bagi setiap wanita yang mengandung.
“Setiap wanita mempunyai saiz fizikal berbeza dan ini mungkin memberi gambaran yang saiz perut mereka juga berbeza. Setiap doktor dilatih untuk mengukur tinggi perut bagi menentukan jangka kehamilan wanita terbabit menggunakan tangan mereka serta tali pengukur.
“Sekiranya jangka kehamilan hasil pemeriksaan berkenaan terletak dalam lingkungan dua minggu dari tarikh sebenar kehamilan, kehamilan berkenaan akan dianggap sihat dan tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya.
Namun sekiranya terdapat perbezaan lebih dua minggu dari tarikh sebenar, saiz perut ibu hamil dianggap lebih kecil atau lebih besar dari sepatutnya.
Faktor pengaruhi saiz
Ada sesetengah wanita hamil tapi perutnya langsung tidak kelihatan manakala wanita lain pula perutnya terlalu besar sehingga sukar bergerak.
Dr. Nur Azurah berkata, ada banyak faktor yang boleh mempengaruhi saiz perut ketika hamil. Ia mungkin disebabkan faktor ibu atau bayi. Wanita yang membunyai fibroid atau cista ovari akan mempunyai saiz perut yang lebih besar.
“Mereka yang mempunyai air ketuban sedikit akan mempunyai saiz perut lebih kecil manakala mereka yang mempunyai air ketuban berlebihan akan mempunyai saiz perut yang lebih besar.
“Air ketuban berkurangan boleh disebabkan wanita hamil itu mempunyai masalah kesihatan yang mengganggu fungsi uri seperti masalah darah tinggi dan sistemik lupus nefritis. Mereka yang tumpah air ketuban juga mempunyai saiz perut yang lebih kecil,” katanya.
Saiz perut kecil atau besar sedikit sebanyak memberi gambaran kesihatan kandungan.
Saiz perut & jantina
Orang tua-tua dulu sering berpendapat saiz perut atau bentuk perut menunjukkan jantina bayi dalam kandungan.
Namun Dr. Nur Azurah berkata, jantina dan kedudukan hanya boleh diketahui dengan pemeriksaan ultrasound.
Kedudukan perut di atas atau di bawah, bergantung kepada usia kandungan bayi. Sebelum usia kandungan 36 minggu, perut akan dikatakan berada atas disebabkan bayi masih belum masuk ke dalam tulang pelvis atau masih belum engaged.
Selepas kandungan mencapai usia 36 minggu, kepala bayi mula memasuki tulang pelvis dalam persiapan menghadapi proses kelahiran. Pada waktu ini, perut dikatakan telah turun di mana terdapat ruang di bahagian atas perut yang kelihatan kosong. Ini memudahkan ibu bernafas dengan lebih mudah serta kurang merasa mengah.
Jaga postur
Posisi ibu adalah penting bagi mengurangkan kesakitan atau lenguh badan. Ketika duduk, disarankan ibu menyandar pada bahagian belakang kerusi dan elak dari membongkok kehadapan.
“Digalakkan juga ibu meletakkan kaki ke atas sedikit seperti di atas kusyen kecil untuk mengurangkan air berkumpul di bahagian kaki ibu. Ini boleh mengurangkan pembengkakan kaki ibu.
“Wanita hamil tidak digalakkan berbaring secara melentang kerana rahim yang membesar boleh menekan salur darah yang berada di belakang ibu. Sekiranya ini berlaku, ia boleh menggangu pengaliran darah dari ibu kepada bayi,” katanya.










