Jawatankuasa khas UEC sedia bentang hasil kajian

Jawatankuasa khas UEC sedia bentang hasil kajian

EDDIN KHOO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) sedia membentangkan laporan berhubung pengiktirafan peperiksaan yang dikelolakan Sekolah Menengah Cina bebas di Malaysia itu kepada kerajaan sekiranya diminta.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusinya, Eddin Khoo berkata, laporan tersebut sudah lengkap, namun tidak dibentangkan disebabkan terlalu banyak pergolakan politik pada masa lepas.

Sehubungan itu, beliau berharap pihaknya dapat kembali menampilkan pandangan hasil pencarian jawatankuasa itu, namun rumusannya tetap perlu dilihat semula selepas hampir dua tahun diketepikan.

PAKAR

“Jawatankuasa PPDUEC sebelum ini sudah banyak mengadakan perbincangan secara mendalam dengan pemegang taruh (merangkumi) hampir 93 kumpulan individu dan pakar.

“Sebahagian bahan (laporan jawatankuasa) itu ada di Kementerian Pendidikan, laporan itu sudah siap tetapi perlu dirumus kembali dan tidak boleh dibentang terus sebab sudah hampir dua tahun diketepikan.

“Laporan itu sudah dikete­pikan sebab tidak ada orang yang mengambil tahu tentang laporan ini dan usaha jawatankuasa. Sejak Dr. Maszlee Malik tidak lagi menjadi Menteri Pendidikan, tidak ada tumpuan yang khusus kepada UEC,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada 21 Mac 2019, Dr. Mas­z­lee mengumumkan, Kementerian Pendidikan membuat keputusan menubuhkan PPDUEC bagi mengumpul maklumat dan mengemukakan syor berhubung isu pengiktirafan UEC.

Selain Eddin, PPDUEC dianggotai bekas Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC), Datuk Tan Yew Sing dan bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim.

Isnin lepas, akhbar ini mela­porkan, Persatuan Pengarah Sekolah Cina di Malaysia (Dong Zong) mahu bertemu dengan Menteri Pendidikan baharu untuk memberi cadangan supaya mengiktiraf sijil peperiksaan berkenaan.

Semalam, Felo Majlis Profesor Negara, Prof. Emeritus Dr. Teo Kok Seong menggesa, kerajaan perlu menoktahkan segera isu pengiktirafan sijil itu kerana ia tidak mematuhi Akta Pendidikan 1996.

Mengulas lanjut, Eddin yang juga anak kepada pakar sejarah, Tan Sri Khoo Kay Kim, berkata, isu berkaitan UEC perlu dilaksanakan de­ngan pendekatan agak waras dan bukannya kelam kabut, dipolitikkan dan dijadikan isu perkauman.

“Sekarang ini sudah timbul banyak perbahasan tentang UEC, tetapi tidak ada orang pun ingat ada jawatankuasa kaji isu ini. Sekali lagi UEC dipolitikkan oleh pihak tertentu. Kebanyakan orang beri pandangan juga tidak faham langsung isu ini,” ujarnya.

Eddin bagaimanapun tidak dapat mendedahkan rumusan laporan jawatankuasa berkenaan kerana tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Kita tunggu sampai Kabinet diumumkan dan selepas itu saya harap kita dapat serahkan laporan ini dan berbincang dengan pihak bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN