Inovasi hasilkan tempe tinggi kalsium - Utusan Malaysia

Inovasi hasilkan tempe tinggi kalsium

Hasnah Haron membangunkan inovasi tempeCal yang merupakan versi tempe yang dipertingkatkan khasiatnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tempe antara makanan suku kaum Jawa yang popular di negara ini. Sambal tempe ikan bilis, kuah lodeh dan tempe goreng kunyit antara menu yang mudah dan ringkas untuk disediakan.

Bukan sahaja enak, makanan yang dikatakan berasal dari daerah Ponorogo, Pulau Jawa, Indonesia itu juga mempunyai kalsium, yang baik pada tubuh badan.

Menyedari kebaikan itu, Ketua Program Sains Pemakanan, Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Hasnah Haron membangunkan inovasi tempeCal yang merupakan versi tempe yang dipertingkatkan khasiatnya.

Menurut Hasnah, tempeCal dibangunkan berikutan kajian dilakukan pada tahun 2010 mendapati penyerapan kalsium daripada empat hidangan tempe biasa adalah bersamaan dengan secawan susu.
“Hal ini kerana kandungan kalsium dalam tempe secara semula jadi adalah sederhana tinggi.

“Oleh itu, TempeCal dihasilkan mengandungi kalsium tiga kali lebih tinggi berbanding dengan tempe biasa. Maka, satu hidangan TempeCal sahaja mengandungi kandungan kalsium yang bersamaan dengan secawan susu berbanding empat hidangan tempe biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Proses fortifikasi
Penghasilan inovasi itu melibatkan tempe yang telah ditambah kandungan kalsium atau disebut secara saintifik sebagai fortifikasi.

Ia merupakan salah satu proses bagi meningkatkan nilai pemakanan dan meningkatkan nutrisi dengan menambah satu atau lebih vitamin atau mineral ke dalam produk makanan tersebut.

“Selain dari kalsium yang tinggi, TempeCal juga mengandungi nutrien seperti vitamin B12, isoflavon serta gentian diet seperti mana dalam tempe biasa.

“Penambahan vitamin dan mineral ke dalam makanan membantu mengimbangi dan meningkatkan kualiti bekalan makanan serta mencegah masalah pemakanan dalam populasi,” katanya.

Alternatif kalsium
Inovasi dibangunkan itu juga boleh dijadikan sebagai sumber kalsium alternatif bagi golongan yang menghadapi masalah tidak boleh mengambil susu disebabkan intoleransi terhadap laktosa.
Ia boleh meningkatkan pengambilan kalsium yang agak rendah dalam kalangan penduduk Malaysia.

“TempeCal boleh diperkenalkan dalam bentuk selain bentuk segar yang biasa dimakan.

“Snek berasaskan TempeCal diperbuat daripada bahan-bahan yang mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat dan mudah di bawa dan dimakan bila-bila masa sahaja,” jelasnya lagi.

Tempe itu juga rendah kalori dan lemak selain mengandungi serat, kalsium dan kalium yang boleh dijadikan bahan asas snek sihat.

Ia juga boleh menjadi ganti kepada snek yang kebanyakannya tinggi lemak, garam, gula dan kalori.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×