Inisiatif Mawi perkasakan tulisan jawi - Utusan Malaysia

Inisiatif Mawi perkasakan tulisan jawi

PROGRAM Mawi Jawi bertujuan mendidik masyarakat mengenai tulisan jawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENANGAN menggunting artikel Utusan Melayu yang diterbitkan dalam tulisan jawi membuatkan penyanyi dan pengacara radio, Mawi begitu menghargai khazanah yang mempunyai nilai sentimental tinggi itu.

Apatah lagi, tulisan jawi kini semakin jarang dikomersialkan, malah boleh menyebabkan ia pupus ditelan zaman.

Menyedari tanggungjawab itu, penyampai radio Zayan itu memperkenalkan program Mawi Jawi bagi mendidik masyarakat mengenai tulisan jawi.

Sudah tentu kata Mawi, pelbagai cabaran perlu ditempuh bagi mempertaruhkan program yang disiarkan menerusi saluran Astro Oasis itu.

Apakah ia akan diterima baik penonton atau mampu memberikan jumlah tontonan yang bagus, persoalan itu sering membelenggu dirinya.

“Sebenarnya, hendak yakinkan penonton tentang tulisan jawi adalah cabaran besar yang perlu dihadapi. Begitu juga untuk meyakinkan stesen penyiar kerana Mawi Jawi adalah program baharu dan belum lagi terbukti hasilnya.

“Pihak produksi juga perlu memikirkan bagaimana untuk memastikan program ini kelihatan menarik. Justeru, kami perkenalkan konsep program yang sangat santai dengan pelbagai permainan yang boleh turut disertai penonton di rumah,” katanya.

Menurut Mawi, selain selebriti, pendakwah juga ditampilkan sebagai peserta sebagai tarikan.

Akuinya, meskipun mahir dalam hal berkaitan agama, mereka juga berdepan cabaran dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan.

“Pendakwah selebriti ada memberitahu, ada di antara tugasan yang perlu diselesaikan agak menguji minda. Sepanjang rakaman porgram ini, saya lihat pelawak, Saiful Apek sangat handal dalam tulisan jawi, selain Bell Ngasri dan Man Raja Lawak,” katanya.

Mengenai pemilihan peserta, Mawi berkata, tidak semestinya individu yang mahir tulisan jawi sahaja dipilih menyertai program ini.

“Ada juga yang tidak begitu menguasai tulisan jawi, tetapi mereka berani sahut cabaran menyertai program ini. Belum tentu yang mahir tulisan jawi akan menang dalam setiap cabaran kerana ada di antara mereka yang mendapat markah rendah.

“Apa yang penting, kita mahu tulisan jawi kembali popular dalam kalangan masyarakat dengan adanya program ini,” katanya.

PLATFORM SANTAI
Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Oasis, Nadirah Karim berharap, program itu mampu menjadi platform memartabatkan tulisan jawi menerusi cara lebih santai.

“Kami berharap penonton mampu menerokai kehebatan tulisan jawi dan menjadikan program ini sebagai jalan mendidik anak-anak muda menguasainya semula dalam kehidupan harian mereka,” katanya.

Mawi Jawi merupakan program terbitan MWE Sdn. Bhd. yang disiarkan di saluran Astro Oasis pada setiap Khamis, pukul 7.30 malam, bermula 15 Disember lalu.

Rancangan berkonsepkan permainan santai itu melibatkan barisan selebriti, pempengaruh serta pendakwah selebriti menguji peserta menerusi permainan yang menggunakan tulisan jawi sebagai medium perantara.

Program ini dihoskan oleh Mawi dan Anas Tahir serta menampilkan selebriti seperti gandingan pelakon suami isteri, Amar Baharin dan Amyra Rosli, Fara Fauzana, Yatt Hamzah, Anita Baharom dan pendakwah selebriti, PU Amin.

Menampilkan tiga tetamu jemputan setiap minggu yang diwakili oleh selebriti dan personaliti terkenal mengikut persamaan karier masing-masing sebagai peserta.

Dalam program ini, setiap peserta akan diuji ilmu pengetahuan tentang tulisan jawi menerusi teka silang kata, cari perkataan tersembunyi dan penulisan ayat.

Peserta yang mendapat jumlah markah tertinggi pada akhir program nanti akan memenangi percutian percuma untuk menunaikan umrah.

Bagi memastikan tulisan jawi yang digunakan adalah tepat sepanjang bersiaran, pihak produksi turut mendapatkan kepakaran guru jawi dari Sekolah Rendah Agama Taman Medan, Petaling Jaya, Kamal Abdul Rahman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN