‘Impian arwah tercapai’ - Utusan Malaysia

‘Impian arwah tercapai’

Nora menerima skrol Diploma bagi pihak anaknya, Allahyarham Muhammad Syakir Alif Johan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHADIRAN penyanyi, Datuk Nora Ariffin mewakili anaknya, Allahyarham Muhammad Syakir Alif Johan ke Majlis Konvensyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke 95 minggu lalu mendapat liputan meluas di media sosial.

Bukan mudah bagi seorang ibu menyusun langkah ke majlis yang meraikan kejayaan seorang anak yang sudah tiada. Nora tabah kerana mampu berbuat demikian.

Meskipun sukar, penyanyi lagu Dipersimpangan Dilema ini merasakan tiada gunanya kesedihan berpanjangan. Katanya, kehadirannya ke majlis tersebut, selain mewakili arwah Alif, turut meraikan kejayaan yang diimpikan Allahyarham.

“Kalau arwah masih ada, pastinya dialah orang yang paling gembira. Pada hari pertama mendaftar di UiTM dahulu, dia berpesan agar saya hadir pada hari graduasinya dengan membawa jambangan bunga. Selain itu, arwah juga menceritakan hasratnya untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

“Apa yang diperkatakan arwah itu bermain di fikiran saya sebaik menerima panggilan pihak UiTM yang menjemput saya hadir ke Istiadat Konvokesyen universiti tersebut baru-baru ini.

“Sebagai ibu, memang saya sedih tetapi gembira sebab impiannya untuk menamatkan pengajian pada peringkat diploma terlaksana. Saya sangat bersyukur,” katanya.

Nora melahirkan rasa syukur kerana ramai yang prihatin dan mendoakan arwah.

“Apa yang menyentuh hati saya apabila ada pensyarah yang datang kepada saya menceritakan kebaikan arwah.

“Rakan seangkatan arwah di UiTM juga merasakan semangat Alif ada bersama mereka kerana ketika tempoh pengajian, mereka lalui susah senang bersama.

“Alhamdulillah, sebagai ibu, bila dengar kebaikan anak kita, lebih-lebih lagi dari pensyarah-pensyarahnya, kita rasa terharu. Orang bercakap tentang kebaikannya meskipun dia sudah tiada,” ujarnya. Alif meninggal 15 Disember 2019 kerana faktor genetik.

Reda dan tenang
Nora mengakui, dahulu dia jatuh terduduk, ketika kehilangan arwah Johan. Kemudian hilang semangat, selepas diuji dengan pemergian arwah Alif.

Namun pengalaman mematangkan dirinya.

“Saya lalui banyak proses. Mungkin dahulu, penerimaan saya terhadap pemergian bekas suami dan anak, berbeza. Saya akui, ada tempoh saya perlu merujuk pakar psikiatri untuk pulihkan semangat.

“Arwah Johan adalah ketua keluarga yang juga pengurus saya. Jadi selepas dia meninggal dunia, saya ambil alih peranan itu.

“Memang tempoh itu berat untuk saya jalani. Tetapi arwah Alif sangat rapat dengan saya dan banyak membantu. Bila Alif pula meninggal dunia, saya rasa sebelah lagi tangan saya hilang,” katanya.
Beliau memaklumkan dirinya juga perlu mengisi kekosongan anak-anaknya, yang juga diuji dengan pemergian orang yang sama.

“Anak-anak saya yang lain sangat rapat dengan Alif kerana arwah memang sayangkan adik-adiknya. Selepas Aliff pergi, saya perlu beri lebih perhatian kepada mereka untuk isi kekosongan yang mereka rasakan.

“Begitupun, apa yang saya lalui ini sebenarnya mendekatkan lagi saya kepada Tuhan. Belajar banyak perkara yang membuka mata dan hati akan reda dengan suratan Ilahi.

“Setiap hari saya tanam kekuatan kepada anak-anak agar mereka dapat menerima ketiadaan orang tersayang dengan reda dan kuat,” jelasnya.

Bersyukur dengan aturan Allah
Atas kehendakNYA Nora berkahwin lagi dengan seorang pensyarah universiti tempatan, Dr. Rushdi Ramli tahun lepas.

Empunya nama sebenar Norafizah Ariffin menyifatkan perkahwinannya kali ini sebagai rahmat Allah selepas bertubi-tubi diuji dengan kehilangan orang tersayang.

“Aturan Allah itu cantik. Selepas ketiadaan arwah Johan dan Alif, dia hadirkan suami saya sekarang yang menjadi tulang belakang dan sistem sokongan untuk saya.

“Memang kehidupan tidak sama dengan yang dahulu, tetapi kena berlapang dada dengan ketentuan Allah,” katanya.

Kata Nora, meskipun kembali berumah tangga, bahagia anak-anak tetap menjadi keutamaan.

Dia bersyukur kerana dihadirkan suami yang memahami dan mampu membahagiakan seisi keluarga.

“Kita tidak akan mampu puaskan hati semua orang. Peranan saya sekarang bukan mudah kerana saya kena pastikan anak-anak dan suami hidup sebagai sebuah keluarga. Keutamaan saya tetap kepada anak-anak meskipun saya sudah bersuami lain. Anak-anak juga kena faham bahawa suami adalah syurga seorang isteri. Jadi dalam keadaan ini, persefahaman adalah segala-galanya.

“Saya bersyukur, Allah hantarkan sahabat baik arwah Johan, sebagai insan yang bukan sahaja menyayangi saya, malah anak-anak saya. Selepas Allah ambil dua orang tersayang, dia hadirkan seorang yang memahami dan saya dan anak-anak,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN