TERIMA kasih kepada Utusan Malaysia yang sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada kami berdua melontarkan pemikiran serta pencerakinan tentang negara tercinta ini. Sejak tahun lalu bermula 30 Julai 2021 apabila tersiarnya artikel bertajuk Rakyat perlu bijak pilih terbaik, akhbar kesayangan ramai ini terus sahaja menghidangkan kita dengan penulisan yang mengandungi pemikiran-pemikiran unggul para penulis Malaysia.
Sudah tentu pemikiran ini memiliki awan-awan hikmah dirembes oleh iklim politik, masyarakat, budaya dan unsur-unsur lain saling berkaitan rapat dengan citra kehidupan kita yang menuntut usaha-usaha untuk kekal kuat, teguh dan lestari. Ibaratnya lereng-lereng gunung, cerun-cerun bukit yang perlu dijaga dipastikan keutuhannya agar tragedi tanah runtuh baru-baru ini melibatkan lebih 90 mangsa tidak akan berlaku dalam banjaran hati-hati kita rakyat Malaysia khususnya kesan kepada perpaduan, kesepaduan serta cinta tidak berbelah bahagi kepada negara.
Menelusuri liku-liku sebagai rakyat Malaysia yang sebenarnya amatlah bertuah bagi khalayak antarabangsa dan ramai yang memuji bagaimana ‘tenang’ kita berdepan pelbagai cabaran khususnya berkaitan amanah dan integriti kepimpinan barisan pentadbir negara tidak kira dalam sektor politik, awam mahupun sektor ekonomi dan perdagangan antarabangsa. Kesemua lingkungan ini sebenarnya mempunyai jajaran saling mempengaruhi antara komponen struktur mewujudkan sebuah negara bangsa yang gemilang dan disegani dunia.
Kita sebenarnya usah lagi berkira-kira mencongak-congak apa yang buruk, apa yang nista dilakukan oleh manusia dalam kalangan kita, tetapi bagaimana kita semua bertanggungjawab mewujudkan sebuah budaya negara bangsa yang terpimpin dari sebuah unit kecil keluarga hingga ke komuniti kemudian keluarga sekolah dan institusi pengajian tinggi dan melebar kepada sektor perusahaan dan kerjaya seterusnya menjadi tulang belakang kepada tegaknya Malaysia yang dikagumi oleh masyarakat dunia.
Mari sama-sama telusuri bagaimana bahasa Melayu yang kita warisi ini telah memupuk serta mengukuhkan citra perpaduan serta cinta taat setia kepada negara tercinta ini. Kerajaan perpaduan yang berjaya dibentuk ini sudah tentu menjadi suri teladan kepada hati-hati kita semua untuk melihat bagaimana acuan perpaduan globalisasi negara ini bermula dari sarang demokrasi akan mendiasporakan keamanan sedunia.
Hal ini demikian sudah tentu bermula daripada kepimpinan sejagat oleh kalangan 222 insan bijaksana yang terpilih sebagaimana telah kami sebutkan setahun lalu bahawa rakyat perlu bijak pilih yang terbaik. Jelas di sini, mesej rakyat kepada insan-insan terpilih ini agar dapat mengendalikan diri, persembahan menonjolkan kepimpinan sejati menerusi profesionalisme tutur bicara, komunikasi berkesan, mematuhi peraturan dewan dan sudah tentu prestij sarang demokrasi ini akan mengangkat darjat negara ke peringkat lebih tinggi. Maklumlah sidang dewan turut sama-sama dapat kita saksikan walau di mana kita berada!
Mari bersama-sama kita telusuri semangat cintakan negara yang diterjemahkan oleh Hakim Bao atau nama sebenarnya Bao Zheng (999M-1062M) merupakan seorang negarawan unggul pada zaman Dinasti Song Utara. Kisah keunggulan beliau dalam memimpin pentadbiran telah menginspirasikan usaha adaptasi drama bertajuk Justice Bao yang telah ditayangkan beratus-ratus episod dan sentiasa mendapat permintaan tayangan di televisyen berdekad-dekad lamanya.
Jelas kewibawaan serta prestij kepimpinan Hakim Bao dalam mengurus tadbir negaranya menyerlah sifat sejagat manusia yang sentiasa berdepan halangan untuk melaksanakan pentadbiran yang baik kepada rakyatnya. Pentadbiran negara sentiasa sahaja berhadapan halangan dan parasit golongan tertentu, manakala pentadbir seperti beliau pula adalah seorang insan yang perlu cekal dan sentiasa bijaksana menangani apa sahaja konflik mendatangi beliau dan tim pentadbirannya.
Kejujuran Bao Zheng dalam pentadbirannya serta sentiasa sahaja dapat mematahkan kelicikan anasir-anasir yang merosakkan negaranya menyebabkan beliau mendapat gelaran Bao Qingtian bermaksud Bao Si Langit Biru, iaitu seorang pentadbir yang amat bersih. Kisah Hakim Bao ini mempunyai simbolik bersifat sejagat dan tidak salah kita menghayatinya sebagaimana kisah dalam hati-hati kita semua iaitu junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai tokoh unggul pentadbir negara sejagat.
Begitu juga Alam Melayu ini, kita ada ikon-ikon era sejarah tentang urus tadbir kerajaan yang cukup cemerlang antaranya era Kesultanan Melayu Melaka sebagai penanda aras cukup signifikan bagaimana Melaka muncul sebagai empayar unggul dan pengaruhnya membuana dari pemerintahan Raja Iskandar Shah (Parameswara) (1400-1414) sehinggalah ke kemuncak kegemilangan Sultan Mahmud Shah (1488-1511). Sosok Bendahara Seri Paduka Raja Tun Perak bin Tun Perpatih Sedang atau ringkasnya Bendahara Tun Perak (1456-1498) memiliki sifat bijaksana meliputi sifat manusia berakal budi, arif, pandai, berhati-hati dan cerdik sejajar dengan maksud integriti (A.Halim Ali, 2021).
Sudah tentu barang demikianlah hasrat serta impak yang kita dambakan daripada 222 insan terpilih yang berada serta selayaknya menduduki kerusi di sarang demokrasi ini. Persidangan Dewan Rakyat 19 Disember lalu, masih ada ruang untuk berprestasi lebih bijaksana khususnya untuk arkib bahan rujukan masa depan generasi kita kepada sarang demokrasi ini. Tiadalah apalah daya kami selain berdoa dan sudahpun melaksanakan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) untuk memastikan anda semua menjalankan kewajipan serta amanah dengan sebaik-baiknya.
Syabas, Malaysia cerminan perpaduan globalisasi. Selamat menyambut tahun baharu 2023.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Felow Majlis Profesor Negara, Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa di Dewan Bahasa & Pustaka (DBP).











