Mampukah Bersama mengubah politik Malaysia?

Mampukah Bersama mengubah politik Malaysia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEKALAHAN Parti Bersama Malaysia (Bersama) dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka termasuk kehilangan wang deposit hampir semua calonnya menjadi petunjuk awal betapa sukarnya parti pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli itu menembusi landskap politik negara.

Walaupun membawa gagasan politik progresif dengan hasrat mengubah pendekatan politik identiti kepada politik berasaskan dasar, kompetensi dan kepentingan rakyat, Bersama masih belum berjaya menterjemahkan idealisme tersebut kepada sokongan pengundi.

Keputusan di Johor dan Melaka memperlihatkan bahawa menawarkan alternatif politik sahaja tidak memadai untuk mendapatkan kepercayaan rakyat apatah lagi apabila berhadapan parti-parti yang sudah mempunyai jentera, pengaruh dan akar umbi yang kukuh.

Lebih mencabar apabila Bersama memilih untuk bergerak secara solo tanpa bergantung kepada gabu­ngan politik sedia ada. Strategi itu mungkin memberikan kebebasan kepada parti berkenaan menentukan hala tuju dan mempertahankan prinsip perjuangannya namun realiti politik Malaysia menunjukkan kekuatan gabungan masih menjadi faktor penting dalam menentukan peluang memenangi pilihan raya.

Dengan sistem pilihan raya First-Past-The-Post (FPTP), pertandingan banyak penjuru juga berisiko menyebabkan Bersama sekadar menjadi pemecah undi khususnya dalam kawasan yang mempunyai persaingan sengit antara parti-parti utama.

Pada masa sama, hasrat Rafizi untuk mengetengahkan politik yang tidak berasaskan kaum dan agama turut berdepan cabaran tersendiri memandangkan sentimen identiti masih mempunyai pengaruh besar dalam menentukan kecenderungan pengundi Malaysia.

Bagaimanapun, terlalu awal untuk menyimpulkan Bersama tidak mempunyai masa depan hanya berdasarkan prestasi dua PRN. Parti itu berpotensi mengisi ruang dalam kalangan generasi muda, golongan profesional dan pengundi atas pagar yang mahukan pendekatan politik lebih segar, telus serta berorientasikan penyelesaian masalah.

Namun, sokongan di media sosial dan penerimaan terhadap idea baharu perlu diterjemahkan kepada kekuatan akar umbi, keahlian serta jentera pilihan raya yang berfungsi.

Justeru, PRU16 mungkin bukan medan terbaik untuk Bersama mengharapkan kemenangan besar, sebaliknya peluang membina asas dan mengukur penerimaan pengundi. PRU17 pula berpotensi menjadi ujian lebih signifikan sekiranya parti itu berjaya membina kepimpinan pelapis dan organisasi yang mampan.

Akhirnya, cabaran terbesar Rafizi bukan sekadar mempertahankan idealisme politiknya tetapi membuktikan Bersama mampu bertahan dalam sistem politik yang masih memerlukan kekuatan organisasi, kerjasama dan kepercayaan akar umbi.

Persoalannya, mampukah Bersama mengubah politik Malaysia tanpa terlebih dahulu menyesuaikan dirinya dengan realiti politik negara?

Maisarah Sheikh Rahim adalah pemangku Pengarang Berita Utusan Malaysia