Apa yang kebiasaannya terlintas di fikiran setiap kali kita bercuti-cuti untuk dijadikan kenangan? Pastinya salah satu pilihan yang ingin dibeli adalah pelekat magnet peti sejuk atau fridge magnet.
Pelekat yang biasanya ditampal di pintu peti sejuk itu kebiasaannya akan menjadi pilihan utama pelancong kerana harganya yang tidak terlalu mahal, mudah dibawa ke negara asal selain melambangkan keunikan sesuatu tempat.
Itu juga pilihan Farah Asiken Abdullah,40, yang mengumpul pelekat itu setiap kali pergi bercuti sama ada dalam atau luar negara.
Menceritakan detik bagaimana terlintas di hatinya untuk mengumpul pelekat berkenaan, Farah Asiken berkata segala-galanya bermula pada 2010 ketika kali pertama beliau bercuti di luar negara.
“Saya masih ingat ketika melancong bersama keluarga di Singapura bersama rakan-rakan, ketika kami keluar untuk membeli belah, seorang rakan saya memborong magnet peti sejuk itu.
“Daripada situ dia menyarankan kepada saya untuk mengumpul pelekat ini sebagai kenangan.
“Bermula daripada situ saya terus serius mengumpul pelekat ini sebab kosnya tak terlalu besar, unik dan cantik apabila ia diletakkan di satu sudut khas untuk dijadikan sebagai perhiasan.
“Satu lagi semestinya sebagai kenangan tempat yang pernah saya pergi bercuti sama ada bersama keluarga atau rakan-rakan,” katanya.
100 keping dalam simpanan
Jelas Farah Asiken, setakat ini jumlah keseluruhan fridge magnet yang berada dalam koleksinya adalah sekitar 100 keping termasuk koleksi di dalam negara.
“Sasaran saya adalah untuk memastikan mempunyai fridge magnet di seluruh dunia. Nak capai matlamat itu saya kena kirim daripada kawan-kawan yang pergi ke negara yang tidak pernah saya kunjungi.
“Ada juga yang saya beli secara dalam talian di kedai-kedai yang menjual fridge magnet di luar negara yang tidak pernah saya kunjungi,” ujarnya.
Harga paling murah dimiliki ialah sekitar RM5 dan paling mahal pernah dibelinya ialah RM60. Anggaran kos keseluruhan setakat ini adalah lebih daripada RM2,000,” katanya.
Kesemua koleksi pelekat itu, Farah Asiken letakkannya di pintu peti ais.
“Dari aspek penjagaan pula saya akan membersihkan semua fridge magnet antara dua hingga tiga bulan sekali dengan mengelap semuanya supaya sentiasa kelihatan baru.
“Setakat ini belum ada koleksi pelekat yang hilang. Cuma ada yang terjatuh dari peti ais dan ia adalah koleksi paling cantik dari Belanda diberikan oleh rakan saya. Jadi saya sanggup mencantumkan semula dengan menggunakan gam.
“Sebab kejadian itu, saya membeli papan besi untuk dilekatkan di satu sudut kerana risiko untuk jatuh atau rosak tidak terlalu tinggi,” katanya.
Tambah Farah Asiken, sepanjang ingatannya, setiap kali melancong, dia akan membeli paling minimum 10 biji dan paling banyak hampir 30.
“Itu termasuklah cenderahati yang hendak diberikan kepada kawan-kawan dan keluarga.
“Untuk simpanan peribadi, sekitar tiga atau empat keping saja,” katanya.










