KUALA LUMPUR: Penyanyi dan selebriti media sosial, Syafiq Naser, 27, mengakui, tidak pernah terdetik di hatinya untuk tergamak menukar jantina sebagaimana yang didakwa netizen.
Menurut Syafiq, tuduhan tidak berasas seperti itu tidak seharusnya timbul hanya kerana dia pernah tampil mengenakan solekan di wajah sebagai antara bahan kandungan di media sosial.
“Saya akui, memang ada hasilkan bahan kandungan dengan mengenakan solekan, tetapi itu tidak bermaksud saya nak jadi wanita. Tak pernah terlintas pun di hati nak tukar jantina, namun disebabkan video itu, ada yang anggap saya begitu.
“Tambahan pula mereka tengok saya berpewatakan lembut dan teman sekeliling juga kononnya dikatakan begitu, maka ia menguatkan lagi prasangka mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Selain itu, kata Syafiq, dia memiliki perwatakan lelaki lembut sejak di bangku sekolah dan ia bukanlah satu perkara yang dibuat-buat.
“Bagi mereka yang sudah lama mengenali, mesti tahu memang saya begini sejak dulu. Kalau saya buat video dan bahan kandungan di media sosial jadi watak-watak tertentu, itu pun cuma lakonan semata-mata.
“Itu umpama ‘alter ego’ saya. Kalau orang jumpa saya di luar, tak ada pun saya terkinja-kinja jadi perempuan. Adakala, orang yang jumpa pula rasa pelik dan tanya kenapa saya di luar lain, di media sosial lain.
“Saya tak tersinggung pun sebab faham, tak semua orang kenal. Hanya diri sendiri dan orang terdekat saja tahu saya ini bagaimana. Tak mengapalah, saya pun penat nak jawab pertanyaan atau tuduhan netizen setiap kalinya. Layankan sajalah,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengapa kebelakangan ini dia dilihat beberapa kali menghasilkan bahan kandungan berbentuk sindiran semula kepada netizen, Syafiq bagaimanapun menafikan hal itu.
Katanya, penghasilan bahan kandungan itu dirasakan menarik dan tidak ditujukan secara terus dengan niat untuk mengutuk netizen.
“Tetapi, dari satu sudut lain, mungkin orang yang menonton video itu dapat satu mesej positif di mana, kita sebagai manusia ini usahlah lekas menghukum orang lain. Jika ambil dari sudut yang baik, maka baiklah ia,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Syafiq yang sebelum ini pernah membintangi teater Maduku Terpaling Kalut terbitan Mask Team, meluahkan keterbukaannya untuk meneruskan kerjaya seni dalam bidang lakonan.
Katanya, selepas menerima banyak pujian menerusi lakonannya di pentas teater tersebut, baru kini keyakinannya muncul untuk meneroka cabang seni itu.
“Sebenarnya, banyak juga tawaran lakonan yang saya tolak sebelum ini hanya kerana rasa tak yakin diri. Tetapi, penglibatan dalam teater tersebut telah berupaya membuka mata dan keyakinan diri.
“Dulu rasa was-was sebab rasa diri tak bagus dan tak boleh berlakon. Tetapi, orang sekeliling saya banyak berikan sokongan dan respons yang saya terima berdasarkan lakonan teater itu pun positif.
“Jadi, untuk tahun 2023 nanti, saya nak teroka lagi bidang lakonan. Kalau ada penerbit yang mahukan khidmat lakonan, saya mahu cuba dan cabar diri untuk buat,” katanya.










