TUMPAT: Seorang imam warga Thailand mendakwa menerima ugutan selepas dikaitkan dengan pemberian maklumat kepada pihak berkuasa mengenai aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan Kepulauan Tumpat di sini.
Dakwaan itu timbul selepas lelaki berusia 30 tahun berkenaan mendapati kereta jenis Honda City milik isterinya yang berwarna putih mengalami kerosakan berupa kesan tompokan cat hitam pada bahagian sisi kiri kenderaan terbabit.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian khianat terhadap kenderaan itu malam tadi.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, pengadu meletakkan kenderaan berkenaan di kawasan Jeti Kok Majid kira-kira pukul 7.10 malam sebelum bergerak ke Masjid Pulau Beluru.
“Selepas selesai menunaikan solat Isyak dan kembali ke lokasi kira-kira pukul 9.36 malam, pengadu mendapati terdapat kesan cat pada kenderaan berkenaan.
“Sebelum kejadian, pengadu turut menerima satu tangkap layar daripada rakannya mengandungi kenyataan berhubung dakwaan bahawa beliau telah diugut berkaitan isu pemberian maklumat kepada pihak berkuasa mengenai aktiviti penyeludupan PATI di kawasan Kepulauan Tumpat,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Mohd. Khairi memberitahu, pengadu bagaimanapun imam tersebut menafikan dakwaan berkenaan.
Katanya, polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek dan motif kejadian.
“Kita turut meneliti kemungkinan kaitan antara perbuatan khianat terhadap kenderaan itu dengan maklumat yang diterima pengadu sebelum kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di talian 09-7252482 atau hadir di balai polis berhampiran,” ujarnya.-UTUSAN











