Bencana alam: Hilang mizan boleh hilang nyawa - Utusan Malaysia

Bencana alam: Hilang mizan boleh hilang nyawa

AGENSI kerajaan perlu menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha mengukuhkan aspek pencegahan dan pemantauan isu alam sekitar. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hidup di dunia perlu menepati mizan atau neraca keseim­bangannya. Neraca tersebut Allah dedahkan kadar dan ukurannya melalui berbagai bidang ilmu. Tugasan kita sebagai manusia, mengikut neraca keseimbangan dunia agar selamat dan sejahtera.

Benar! Hidup di dunia perlu ada sistem dan sukatan yang betul dalam semua perkara. Lihat jasad sendiri! Allah bina jasad kita dengan sukatan mineral, gula, garam, rehat, makan, minum dan segalanya dengan betul. Jika keseimbangan jasad kita terganggu dek kandungan gula, garam dan tidur yang terkurang atau terlebih, pasti kesihatan jasad akan terganggu.

Allah selaku Pencipta menegaskan prinsip ini dalam firman-Nya bermaksud: Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Dia mencipta keseimbangan (neraca keadilan), Supaya kamu tidak merosakkan keseimbangan itu; Dan tegakkan keseimbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi keseimbangan itu (al-Rahman:7-9).

Prinsip sama terpakai dalam pentadbiran serta pengurusan alam sekitar. Jika manusia rakus menggondol atau menyondol alam sekitar tanpa sukatan yang betul, ia akan sakit serta ‘memuntahkan batuknya’ melalui bencana alam.

Firman Allah bermaksud: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat) (al-Rum: 41)

Kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jumaat lepas mengejutkan semua pihak.

Tambah parah apabila laporan menyatakan lokasi perkhemahan tersebut tidak punyai lesen untuk beroperasi sebagai tapak perkhemahan. Seolah-olah Malaysia sudah menjadi negara koboi yang tidak memerlukan undang-undang serta peraturan sebagai pengekang Tindakan manusia rakus.

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) turut menyenaraikan lokasi tragedi sebagai kawasan bahaya kerana kecuramannya melebihi paras 45 darjah. JMG sebelum ini turut mengenal pasti 254 lokasi cerun lain yang berisiko berlakunya tanah runtuh.

Dengan bahasa lebih mudah, terdapat banyak lagi kawasan lain yang berisiko menjadi kubur sebelum kubur rasmi kepada sesiapa sahaja. Secara tidak langsung, fenomena ini seakan mengesahkan ‘tembakan persepsi’ sesetengah pihak tentang lemahnya aspek penguatkuasaan dan pemantauan cerun di Malaysia.

Sebagai Muslim beriman, kita akur takdir Allah yang sudah menentukan sejak azali lokasi tragedi sebagai kubur semua mangsa, namun saya percaya takdir itu mungkin boleh berubah jika pencegahan dan pemantauan dilakukan secara lebih menyeluruh.

Ini kerana kita mampu berusaha mengelak satu takdir buruk dengan takdir baik apabila langkah berjaga-jaga diambil.

Ini yang disebut Saidina Umar kepada Abu Ubaydah al-Jarrah ketika beliau membuat keputusan untuk tidak masuk ke Syam yang dilanda wabak bermaksud: Apa pandanganmu jika kamu miliki seekor unta, lalu ia turun ke sebuah lembah yang ada dua bahagian, satu bahagian subur manakala bahagian lain pula tandus. Jika kamu bawa untamu meragut pada bahagian lembah yang subur, maka bukankah itu bererti kamu membawanya meragut berdasarkan ketentuan Allah? Sebaliknya, jika kamu membawanya ke bahagian yang tandus, maka bukankah itu bererti kamu juga membawanya meragut menurut ketentuan Allah?” (Sahih al-Bukhari, 5228 & Sahih Muslim, 4114).

TINDAKAN TEGAS
Apa pun, kita ucapkan takziah kepada semua mangsa tragedi dan berharap agar kerajaan bertindak dengan lebih tegas dalam pencegahan dan pemantauan.

Berbalik kepada perbincangan tentang mizan, sudah sampai masanya pihak kerajaan selaku pemegang amanah rakyat mengambil langkah lebih serius dan agresif menangani isu ini.

Susun kembali aspek pentadbiran dan penguatkuasaan undang-undang. Utamakan hak dan keselamatan rakyat berbanding kehendak sesetengah pihak yang suka menyondol undang-undang tanpa fikir.

Penguatkuasaan penting bagi menjamin kesejahteraan hidup semua pihak, tambahan pula pihak yang melanggar undang-undang akan sentiasa mencuri peluang menceroboh dan melanggar undang-undang demi kepentingan mereka.

Jika proses penguatkuasaan tidak dijalankan secara kerap, satu Malaysia boleh runtuh dibaham dan diterkam makhluk perosak yang rakus ini.

Firman Allah bermaksud: Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar, tamak dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam (al-Baqarah: 251).

Selain menguatkuasakan pemantauan yang lebih berkesan, agensi kerajaan perlu menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat awam untuk mengukuhkan aspek pencegahan dan pemantauan.

Ini kerana mereka mungkin tidak mampu memantau secara kerap dan menyeluruh dek batasan masa serta kekurangan kakitangan.

Peranan dan sokongan pihak lain sangat diperlukan. Sebarang aduan NGO atau masyarakat awam perlu dilayan segera dan diberi perhatian serius dalam jangka masa pendek.

Perangai suka bertangguh dalam menyiasat aduan dengan berbagai kerenah birokrasi perlu dikurangkan kerana ia mampu melewatkan proses pencegahan. Jangan sudah kecurian baru nak mengunci pintu!
Semua pihak yang menumpang teduh bumi Malaysia perlu sedar bahawa bumi ini tidak diberi percuma, ia datang dengan tanggungjawab dan amanah berat.

Ia sesuai pesanan Nabi SAW bermaksud: Kehidupan di dunia ini manis (sedap) dan hijau (indah), sedangkan Allah menjadikan kalian sebagai pentadbir padanya lalu Dia akan memrhatikan bagaimana tingkah laku kalian (sama ada baik atau buruk untuk diberikan balasan setimpal) (Sahih Muslim, 4925).

Kekalkan keseimbangan bumi dengan langkah yang sewajarnya sesuai dengan ilmu penjagaan alam yang dikurniakan Allah kepada kita.

Kegagalan mengekalkan mizan atau neraca keseimbangan alam termasuk diri kita sendiri bakal mengundang bahaya pelbagai penyakit dan bencana alam.

Hilangnya mizan bukan kehilangan biasa tetapi ia mampu mengundang hilangnya nyawa sebagaimana yang terjadi dalam tragedi terbaru itu.

——–
Penulis ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN