Wanita, lelaki berusia berisiko lahirkan bayi kurang sihat - Utusan Malaysia

Wanita, lelaki berusia berisiko lahirkan bayi kurang sihat

Pasangan lebih 40an, perlu merancang dengan teliti sebelum membuat keputusan mengandung atau menambah jumlah anak. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekiranya anda dan pasangan sudah berusia atau mencecah usia 40-an, anda perlu merancang dengan teliti sebelum membuat keputusan untuk mengandung dan menambah jumlah anak.

Biarpun dengan teknologi perubatan moden hari ada wanita matang mampu melahirkan bayi sihat, tetapi bayi mereka tetap berdepan risiko kesihatan berbanding wanita hamil pada usia muda.

Pakar Sakit Puan Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr. Patricia Lim Su-Lyn berkata, semakin berusia seseorang wanita atau lelaki, semakin tinggi risiko mereka mendapat anak dengan masalah genetik seperti sindrom down, risiko kecacatan, kanser kanak-kanak, masalah saraf dan keguguran.

Katanya selain sindrom down, risiko keguguran juga lebih tinggi dalam kalangan ibu berusia.

“Ibu terdedah menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

“Risiko kelahiran pramatang serta kelahiran melalui pembedahan caesarean juga bertambah.

“Bukan ibu saja tetapi bayi yang berbapakan lelaki yang sudah berusia juga boleh menyebabkan risiko keguguran dan masalah kesihatan kepada bayi seperti kanser kanak-kanak iaitu leukimia dan limfoma, masalah kecacatan bayi serta masalah perkembangan neurologi bayi,” katanya kepada Seri.

Beliau berkata, sindrom down berlaku kerana sel berisiko untuk membahagi dengan tidak teratur, seterusnya menghasilkan keadaan trisomy atau tiga kromosom pada tempat yang sepatutnya ada dua kromosom pada bahagian 21 iaitu sindrom down.

BUAT PEMERIKSAAN
Wanita 40-an dan ke atas perlu menjalani pemeriksaan perubatan sebelum mengandung seperti saringan kencing manis, darah tinggi dan masalah kesihatan yang lain.

Ini bagi memastikan masalah kesihatan yang dihidapi berada dalam keadaan terkawal.

Selain itu katanya, bakal ibu juga perlu mengamalkan cara hidup sihat serta mengambil asid folik sekurang-kurangnya lima miligram (mg) setiap hari, selama sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum mengandung.

“Apabila disahkan hamil, bakal ibu seharusnya mengikuti pemeriksaan antenatal di mana-mana hospital kerajaan atau swasta secepat mungkin, termasuklah ujian sindrom down,” katanya.

PENJAGAAN LEPAS BERSALIN
Ibu yang baru bersalin pula perlu terus menjaga kesihatan terutama sekiranya mereka mengalami penyakit darah tinggi atau kencing manis.

“Pastikan ibu mendapatkan nasihat doktor dan makan ubat yang diberikan yang bertujuan untuk mengawal penyakit tersebut.

“Selain itu, pastikan masalah anemia atau kekurangan darah juga diatasi dengan pengambilan vitamin zat besi.

“Ibu juga perlu memastikan mereka menjalani ujian saringan pap smear bagi mengesan sebarang risiko kanser ovari. Berbincang dengan doktor mengenai kaedah merancang keluarga selepas bersalin,” katanya.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia 13 Oktober 2022, menunjukkan Kadar Keseluruhan Kesuburan (TFR) wanita yang melahirkan anak dalam usia subur 40 ke bawah merosot sejak lima dekad lalu iaitu daripada 4.9 kanak-kanak pada tahun 1970 kepada 1.7 kanak-kanak pada tahun 2021.

Purata umur ibu yang melahirkan anak pertama yang hidup pada tahun 2021 meningkat pada usia 27.9 tahun daripada 27.3 tahun pada 2011.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN