Tautkan kembali retak politik - Utusan Malaysia

Tautkan kembali retak politik

JIKA umat Islam Malaysia berterusan ‘panas’ dalam perbezaan politik, dikhuatiri keharuman dan kekuatan Islam yang sekian lama melekat pada mereka akan hilang. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Mengundi sudah, memilih pun sudah! Adat bertanding ada menang dan kalah. Yang kalah perlu berlapang dada, yang menang singsing lengan, bekerja untuk kesejahteraan rakyat.”

Usahkan parti yang bertanding, Nabi SAW sendiri amat terbuka menerima kekalahan unta baginda yang bernama al-‘Adhba’ dalam sebuah perlumbaan dengan seorang Arab Badwi. Kekalahan itu meresahkan para sahabat seolah-olah menang kalah si unta menentukan benar atau salahnya agama bawaan Baginda.

Apa jawapan Baginda? Baginda bersabda yang bermaksud: Menjadi hak (kehendak) Allah, tiada sesuatu yang naik tinggi (selalu menang) melainkan adakalanya Allah akan merendahkannya (menjadikan ia kalah). (Sahih al-Bukhari, 2660).

Yang menang, segera pikul tanggungjawab negara yang berat kerana ia menjadi tanggungan bahagia atau duka di akhirat. Tambahan pula diramal pada 2023 ekonomi dunia semakin mencabar. Ayuh ikuti kisah tangisan ini:

Fatimah (isteri kepada) Umar bin Abdul Aziz menceritakan: “Suatu hari aku bertemu dengan Umar dalam tempat solatnya sedang air mata Umar membasahi janggutnya. Aku (Fatimah) bertanya: “Wahai Amirul Mu’minin ada sesuatukah yang berlaku?” Beliau menjawab: “Wahai Fatimah aku bertanggung jawab terhadap umat Muhammad SAW baik yang berkulit hitam atau berkulit merah.

“Lalu aku terfikir tentang nasib orang fakir yang kelaparan, orang sakit yang kehilangan, orang yang tidak berpakaian lagi susah, orang yang dizalimi lagi ditindas, orang asing yang tertawan, orang tua, orang yang ada anak ramai serta harta yang sedikit dan seumpamanya di segenap penjuru bumi dan hujung negeri.

“Maka aku sedar bahawa Tuhanku pasti menyoalku tentang mereka kelak pada hari kiamat, lalu aku sangat takut jika aku tidak mempunyai hujah (mempertahankan diriku), maka (itulah yang menyebabkan) aku menangis”. (Tarikh al-Khulafa’ oleh Imam al-Suyuti).

Yang kalah perlu hormati keputusan rakyat. Ketahuilah, cinta tak boleh dipaksa, namun budi dan keikhlasan mampu mengubah benci menjadi cinta.

Yang lebih penting pasca PRU15 adalah meneruskan hidup dalam tautan hubungan mesra sesama Muslim.

Perpecahan kerana perbezaan fahaman politik perlu diurus dengan bijaksana kerana ia boleh mengundang api perpecahan yang lebih marak. Kemarakan api perpecahan pernah dipadamkan oleh Nabi SAW ketika Baginda dan Muhajirin berhijrah ke Madinah.

Sentimen perkauman penduduk Yathrib sudah lama memakan korban penduduknya. Ia dapat disaksikan mengikut sejarah perang Bu’ath yang berlaku sebelum peristiwa hijrah.

Kabilah Aus dan Khazraj kehilangan ramai tokoh berwibawa sehingga memaksa mereka bernaung di bawah kepemimpinan Abdullah bin Ubay yang diharap akan menjadi pemimpin baharu mereka.

Bagi memadamkan api marak dek permusuhan lama itu, Baginda SAW membawa beberapa inisiatif:

1) Menyatukan kabilah Aus dan Khazraj. Setelah disatukan mereka diberi jenama baharu iaitu Ansar (Golongan pembantu) bagi menghilangkan rasa fanatik terhadap kabilah masing-masing. Penyatuan tersebut disuntik dengan semangat persaudaraan Islam merentasi kabilah dan bangsa.
Kejayaan langkah ini diabadikan al-Quran yang bermaksud: Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (al-Anfal 8:63).

2) Mempersaudara orang Mekah yang menjadi pendatang ke Madinah dengan penduduk asal Madinah. Kekuatan persaudaraan pada peringkat awal ini amat istimewa sehingga pihak disatukan berhak memiliki harta pusaka dalam bahagian 1/6. Setelah golongan Muhajirin mampu berdikari, hukum tersebut dihapuskan dan hanya hubungan darah serta persemendaan berhak memiliki harta pusaka. (al-Ahzab: 6)

3) Menanam semangat persaudaraan Islam, mengatasi hubungan darah (al-Hujurat 49:10). Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Perumpamaan orang beriman dalam cinta, kasing sayang dan lemah lembut sesama mereka seperti satu jasad. Apabila satu anggota berasa sakit, seluruh anggota badan turut berasa sakit sehingga menyebabkan ia berjaga malam dan demam. (Sahih Muslim, 4685).

Setelah kerajaan baharu dibentuk, orang Islam Malaysia perlu kembali mengatur saf untuk terus kekal bersatu di bawah payung Islam. Ini perjuangan utama semua umat Islam Malaysia walau apa pun warna bendera mereka. (al-Anbiya’: 92)

Golongan bersatu di bawah panji Islam dipuji Nabi SAW, sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud: Sesungguhnya dari kalangan hamba Allah ada sekumpulan manusia (yang istimewa) tetapi mereka bukanlah para nabi atau orang yang mati syahid. Pun begitu mereka dicemburui oleh para nabi dan orang yang mati syahid pada hari kiamat kelak kerana kedudukan mereka yang sangat istimewa di sisi Allah. Para sadddhabat bertanya: Siapakah mereka itu Wahai Rasulullah?

Baginda menjawab: Mereka adalah orang yang berkasih sayang dengan semangat dari (agama) Allah dan bukannya kerana hubungan keluarga antara mereka, tidak juga kerana kepentingan harta yang disogok sesama mereka.

Demi Allah! Wajah mereka benar-benar bersinar dan mereka berada dalam (lingkungan) cahaya. Mereka tidak takut ketika manusia sedang takut dan mereka juga tidak sedih ketika manusia bersedih. (Sunan Abu Dawud, 3060).

Jika umat Islam Malaysia berterusan ‘panas’ dalam perpecahan dek perbezaan politik, dikhuatiri keharuman nama dan kekuatan Islam akan hilang.

Firman Allah bermaksud: Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu saling berbantah, jika tidak nescaya kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar (al-Anfal: 46)

Cantik dan tegas cara Allah membimbing umat Islam agar bersatu dalam ayat ini. Allah menyebut tindakan pecah belah bakal mendedahkan umat Islam kepada lemah semangat dan hilang kekuatan.

Kita bertanggungjawab membawa Islam lebih jauh di Malaysia, simpanlah seketika perselisihan politik dalam peti besi masing-masing. Simpan kuncinya di tempat yang sukar dicapai kerana tindakan sepanjang masa bergendang dan menari dengan sentimen politik boleh menambah retak perpaduan yang sudah sekian lama dijalin. Tautkan keretakan itu kerana ia dicintai Allah dan Rasulullah SAW.

——–
Penulis adalah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa UIAM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN