Sebumbung dengan madu bukan pilihan bijak - Utusan Malaysia

Sebumbung dengan madu bukan pilihan bijak

SERUMAH dengan madu tidak perlu dinormalisasikan dalam masyarakat memandangkan ia bukan sesuatu yang digalakkan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berkongsi kasih bukan suatu perkara yang mudah untuk dilalui. Sudah tentu banyak perkara yang dikorbankan dalam menjalani kehidupan bermadu.

Apatah lagi jika tinggal sebumbung, pasti ada sahaja episod makan hati berulam jantung.

Namun, jika dilihat di media sosial pada ketika ini, tidak sedikit wanita yang berkongsi mengenai kehidupan bermadu mereka di bawah satu bumbung. Sudahkah ia dinormalisasikan?

Sedangkan perkara itu tidak digalakkan daripada sudut pandang agama memandangkan ia akan membawa lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan.

Menyokong kenyataan itu, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustazah Yuhaniz Mohd. Yusop berkata, biarpun dibolehkan dalam Islam namun sebaiknya wanita yang berkongsi suami perlu tinggal secara berasingan.

Tujuan menggalakkan suami menempatkan isteri di tempat tinggal berasingan adalah untuk menghindari cemburu dan konflik di antara para isteri.

“Memang dibolehkan (tinggal serumah) tetapi lebih baik tidak kerana manusia susah untuk berlaku adil walaupun kita berusaha ke arah itu.

“Kerana banyak perkara yang perlu dijaga terutamanya hati yang sememangnya sukar untuk kita mengawalnya. Tinggal satu rumah hanya akan menimbulkan rasa iri hati dan cemburu dalam kalangan isteri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, perasaaan iri dan cemburu itu lebih mudah berlaku jika tinggal sebumbung memandangkan pertemuan dan komunikasi berlaku hampir setiap hari di dalam bangunan yang sama.

“Diharamkan dan dilarang bagi seorang lelaki muslim yang merupakan seorang suami untuk menempatkan isteri-isterinya dalam satu bilik sebagai nafkah tempat tinggal kerana bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAW yang menyediakan rumah atau bilik yang berbeza kepada isteri-isterinya.

“Berkata Ibn Qudamah dalam al-Mughni (7/300-301):

‘Tidak boleh bagi seorang lelaki untuk mengumpulkan dua orang isterinya dalam satu (ruang) tempat tinggal yang sama melainkan dengan keredaan keduanya, sama ada ruang itu kecil atau besar, kerana akan menyebabkan mudarat ke atas kedua mereka. Mungkin akan berlaku kebencian dan cemburu, pertemuan keduanya akan membawa kepada pertelingkahan dan pergaduhan. (Begitu juga) salah seorang daripada mereka mendengar dengusan (seksual) salah seorangnya didatangi suami, atau juga melihat mereka sedang bersama,” jelas Yuhaniz bersama dalil.

Sekuat mana suami cuba berusaha untuk menjaga, pasti ada ketika suami terlepas pandang dan melayani isteri lain lebih baik sehingga menimbulkan rasa cemburu dalam hati isteri.

“Pengalaman saya mengendalikan kes-kes poligami seperti ini mendapati ia membawa lebih banyak keburukan terutamanya dalam perhubungan antara isteri.

“Bayangkanlah jika duduk asing pun boleh bergaduh (sesama madu), apatah lagi jika tinggal sebumbung dan kita sendiri boleh nampak perkara (kemesraan) itu?,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Yuhaniz turut menegaskan biarpun tiada halangan dalam Islam untuk menempatkan isteri di tempat yang sama, namun persetujuan itu haruslah datang daripada semua pihak.

Seorang lelaki dibolehkan untuk menempatkan isteri-isterinya dalam satu rumah dengan syarat setiap isteri memiliki bilik atau ruangnya sendiri serta lengkap dengan keperluannya.

Kedua, para isteri redha dan ikhlas untuk ditempatkan di dalam satu rumah, namun jika salah satunya tidak redha maka hal tersebut tidak boleh dilakukan.

Ia bermakna, jika suami mahu menempatkan isteri di tempat yang sama, maka perlu mendapatkan persetujuan daripada para isteri.

“Tiada halangan dalam Islam cuma isteri kena redha dan ikhlas. Kalau satu pihak tidak setuju, suami tidak boleh paksa sebab takut akan jadi mudarat yang lain.

“Sebaiknya, jika suami ingin mengumpulkan isteri-isteri satu rumah, mereka perlu menyediakan ruang-ruang tersendiri untuk keselesaan.

“Namun alangkah baiknya, bagi menghindari konflik dalam keluarga dianjurkan bagi seorang lelaki muslim untuk menempatkan isteri-isterinya di rumah yang berbeza,” jelasnya lagi.

Boleh ganggu psikologi isteri
MADU yang tinggal sebumbung hanya akan memberikan kesan emosi tidak sihat kepada isteri-isteri.

Ketua Seksyen Kerjaya, Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd. Redzuan Zamberi berkata, ia diakibatkan daripada cemburu melampau yang terjadi apabila sering melihat kemesraan suami bersama isteri lain.

“Wanita adalah wanita. Mereka ada emosi yang perlu dipelihara dan dijaga. Apabila tinggal bersama cemburu akan berlaku sepanjang masa sebab kita boleh nampak perhubungan suami dengan isteri yang lagi satu.

“Pelbagai situasi yang boleh mendatangkan cemburu, contohnya apabila suami bermesra dengan isteri lain atau jika suami meluangkan masa lebih lama dalam bilik isteri lain. Kalau tinggal berasingan tidak akan nampak, jadi kita tidak boleh tahu apa yang mereka lakukan,” katanya.

Kesan emosi itu juga katanya, dalam masa panjang boleh menyebabkan masalah-masalah psikologi yang lebih teruk.

Antaranya, ia akan membawa kepada satu tekanan dalam perasaan isteri akibat memendam rasa sekian lama.

Perasaan itu akhirnya akan menimbulkan rasa keresahan tanpa sedar kerana terlalu risau mengenai kemungkinan-kemungkinan yang belum terjadi.

“Boleh jadi juga keresahan itu terjadi kerana mereka mempunyai syak wasangka yang tidak perlu seperti merasakan suami lebih menyayangi isteri lain dan rasa tergugat,” jelasnya.

Malah, katanya, hadis Rasulullah SAW juga melarang suami untuk menempatkan isteri-isteri mereka di ruangan sama.

“Nabi juga melarang kumpul isteri dalam satu rumah. Sedangkan kalau dalam monogami pun suami perlu memberi tempat tinggal berasingan dan selesa kepada isteri.

“Berasingan itu bermaksud asing daripada mertua dan juga ipar duai. Apatah lagi jika poligami sudah tentu lah tidak boleh tinggal serumah,” katanya lagi.

Tambahnya, perkara itu juga tidak perlu dinormalisasikan dalam masyarakat memandangkan ia bukan sesuatu yang digalakkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN