Saingan FFM32 lebih sengit - Utusan Malaysia

Saingan FFM32 lebih sengit

Md. Nasir Ibrahim pada sidang akhbar FFM32. Acara berprestij ini bakal berlangsung di Encore, Melaka pada 2 Disember ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEBARAN Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) kian terasa. Bertemakan ‘Filem Kita, Citra Kita’, ia menyaksikan persaingan lebih sengit menerusi karya tercalon, selain membariskan nama besar yang terus ampuh menghasilkan produk mengangkat martabat industri perfileman tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata, ia berdasarkan kepada jumlah penyertaan dan kualiti filem yang terpilih dalam pencalonan tahun ini.

“Baik atau tidak sesebuah naskhah itu bersifat subjektif. Tetapi apa yang boleh dikatakan, filem terpilih untuk bertanding lebih baik dan berkualiti berbanding FFM31.

“Tahun ini, kita berpeluang melihat dan membuat penilaian daripada pelbagai aspek seperti jumlah tontonan, kutipan tiket dan ulasan atau sambutan terhadap sesebuah karya hingga melayakkannya tercalon dalam FFM32,” katanya.

Penganjuran FFM32 juga istimewa kerana turut memberi fokus kepada artis veteran yang banyak mencurahkan bakti dan sumbangan dalam memajukan industri perfileman.

Disebabkan itu, FFM32 turut memperkenalkan Anugerah Seniman dan Seniwati Sepanjang Zaman, sebagai antara tiga kategori baharu untuk menghangatkan lagi kemuncak festival tersebut.

“Kami percaya, ramai bersetuju artis veteran juga wajar dihargai ketika hayat mereka masih ada. Sumbangan mereka perlu dhargai pada acara anugerah berprestij seperti FFM.

“Selain anugerah, malam kemuncak FFM32 juga akan menyaksikan segmen persembahan daripada artis-artis veteran ini,” kata Nasir.

Ditanya mengenai hadiah untuk kategori Anugerah Seniman dan Seniwati Sepanjang Zaman, Nasir berkata, pemenang akan menerima sebuah trofi, wang tunai RM15,000 serta pakej menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah.

Juri tidak bias
Bagi mengelakkan insiden rumah sudah siap, pahat masih berbunyi, Finas tidak bercadang mendedahkan barisan panel juri yang membuat penilaian untuk setiap kategori yang dipertandingkan.

“Juri terpilih adalah yang terbaik berdasarkan latar belakang dan pengalaman mereka dalam bidang seni. Paling utama, tidak bias dan penilaian mereka juga adil.

“Begitu juga penilaian untuk Anugerah Seniman dan Seniwati Sepanjang Zaman. Pemilihan pemenang ditentukan berdasarkan kriteria yang jelas seperti kekuatan watak, selain keupayaan lebih dari satu bidang misalnya, berlakon, menerbit, mengarah dan sebagainya.

“Pengalaman dan pencapaian diraih sepanjang kerjaya mereka juga memberi nilai tambah. Secara asasnya, kami memastikan tiada unsur pilih kasih dan penilaian yang adil untuk setiap kategori,” kata Nasir.

FFM32 berlangsung di di Encore, Melaka pada 2 Disember ini, menyaksikan filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah arahan Datuk Zahim Albakri Ikmal mendominasi dengan 14 daripada 26 pencalonan.

Filem menampilkan Allahyarham Jit Murat sebagai penulis skrip itu dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik yang mempertaruhkan bintang veteran, Datuk Rahim Razali; Pelakon Wanita Terbaik (Bernie Chauly); Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Juliana Ibrahim) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Datuk Rahim Albakri).

Zahim turut bersaing bagi kategori Pengarah Harapan, manakala Bernie dan Joelah Charles berentap bagi kategori Pelakon Wanita Harapan.

Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah turut tercalon dalam kategori Rekaan Busana Terbaik; Penataan Seni Terbaik; Skor Muzik Asal Terbaik; Lagu Tema Terbaik; Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa meraih 13 pencalonan menerusi kategori Cerita Asal Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Filem Juang yang mengangkat apresiasi dan penghormatan kepada petugas barisan hadapan lakonan Janna Nick, Izzue Islam, Zul Ariffin dan Sangeeta Krishnasamy pula meraih 10 pencalonan.
FFM32 dijangka dihadiri lebih 1,400 jemputan termasuk 250 calon serta 21 artis veteran tempatan dan Singapura.

Ia dikendalikan Awal Ashaari dan Che Puan Sarimah Ibrahim. Barisan artis seperti Datuk Zainal Abidin, Siti Nordiana, Azlan & The Typewriters, Ernie Zakri, Marsha dan Hazama pula akan mengisi slot persembahan.

Manakala antara penyampai trofi adalah Maya Karin, Namron, Faizal Hussein, Zul Ariffin, Ummi Nazeera, Hairul Azreen, Adrian Teh dan Ashraf Muslim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN