Resipi mengundi orang muda - Utusan Malaysia

Resipi mengundi orang muda

GOLONGAN muda disaran tidak lepaskan peluang mengundi dalam PRU15 dengan memilih calon-calon yang amanah, berintegriti dan mampu memberi perkhidmatan terbaik. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Buntu juga sebenarnya nak pilih siapa dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini. Apa tidaknya ini kali pertama saya akan mengundi dan menentukan masa hadapan pentadbiran negara bagi lima tahun mendatang. Walid perlu bimbing saya dan Asma!”

Itu jawapan ringkas anak sulung saya, Ahmad Mujtaba yang akan bersama adiknya Asma Sofiah serta jutaan rakyat Malaysia yang lain menentukan kepimpinan negara pada 19 November 2022 nanti.

Orang muda banyak untung. Badan masih kuat, peluang masih banyak terbuka. Mereka seumpama pucuk muda yang berterusan menerjah untuk naik menjulang ke atas yang akhirnya akan memayungi Malaysia pada masa hadapan.

Dengan kata lain, mereka adalah baka baharu Malaysia yang akan terus membawa negara maju ke hadapan.

Islam memandang tinggi orang muda. Bahkan kebanyakan para sahabat Nabi SAW yang berjuang mengangkat kegemilangan Islam bersama Baginda rata-ratanya orang muda dalam lingkungan usia belasan tahun sehingga dewasa.

Dalam al-Quran, Allah puji anak muda yang cerdik dan kritis menilai. Nama Nabi Ibrahim a.s dijulang tinggi kerana Baginda tidak membuta tuli menganut berbagai agama sesat kaumnya.

Ketika kaumnya rencam menyembah bintang, bulan, matahari dan berhala (al-An’am:74-82), Baginda sudah mampu berfikir dengan logik betapa semua sembahan kaumnya tidak layak dianggap Tuhan.

Sama juga cerdiknya tujuh pemuda gua yang kritis mengkritik kaumnya yang menyembah berhala kaku:

Ia sebagaimana dalam firman Allah yang bermaksud: (Mereka berkata pula sesama sendiri): Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang yang berdusta terhadap Allah. (al-Kahfi:15).

Oleh itu, anak muda kita perlu diberi panduan ringkas padat dalam pemilihan yang bakal mereka buat kelak agar mereka tidak tersilap memilih “penyamun bertiket demokrasi” yang akan menghisap darah rakyat untuk lima tahun akan datang.

Cukup! Darah kami sudah lama disedut “pontianak politik” bertopengkan pemimpin dambaan rakyat.

Justeru, sebagai seorang ayah dan juga rakyat biasa yang lebih lama mengenal sistem demokrasi Malaysia saya terpanggil meletakkan empat resipi pemilihan pemimpin untuk mereka:

Lihat dasar perjuangan sesebuah parti kerana ia sudah seakan menjadi rukun senyap demokrasi di Malaysia. Parti seumpama sebuah jemaah tersusun yang dilengkapi barisan pimpinan yang berjuang atas dasar yang dipersetujui bersama.

Agak sukar seorang calon bergerak sendiri tanpa dokongan parti. Oleh itu, para pengundi muda perlu melihat kepada dasar atau prinsip perjuangan parti yang bertanding.

Pun begitu, kadangkala pemilihan parti juga perlu dilihat pada tahap integriti para pemandu utamanya. Jika pemandunya kelihatan terlalu narsistik memperjuangkan agenda peribadi, parti itu perlu dihindari kerana biasanya pemandu utama punyai kata putus bertahap veto yang boleh mengorbankan prinsip asas partinya.

Awasi diri daripada menaiki bas parti yang dipandu pemandu sebegini. Silap haribulan, jika parti ini mentadbir negara rakyat boleh terjunam jatuh ke dalam berbagai gaung bahaya kerana sifat narsistik dan ego pemimpinnya.

Lihat sejarah atau rekod parti yang pernah mentadbir. Benar! Tiada sistem atau pemerintah yang sempurna. Pun begitu jika kerosakan yang ditinggalkan parti tersebut sudah berubah menjadi barah parah, maka parti tersebut perlu direhatkan agar ia tidak lagi menjangkitkan Malaysia dengan berbagai barah lain.
Allah mengarahkan kita belajar dan menganalisis sejarah demi mengelak buta mata hati dan minda. Juga demi untuk mencapai kejayaan masa hadapan (al-Hajj: 46)

Lihat kemampuan dan integriti calon bertanding. Ia seiring firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja ialah orang yang kuat (mampu) lagi amanah. (al-Qasas: 26).

Kemampuan mentadbir dan sifat amanah adalah kembar wajib dalam perebutan jawatan. Jika satu daripadanya pincang, keseluruhan pentadbiran boleh runtuh.

Tambahan pula dalam keadaan indeks rasuah Malaysia yang sangat parah pada ketika ini, pemimpin yang punyai rekod rasuah atau pemimpin yang selalu minum semeja dan tidur sebantal dengan kaki rasuah wajib dihindari semua pengundi terutamanya para pengundi muda. Hal ini kerana pemilihan baka rasuah akan meluaskan lagi mudarat dalam negara.

Selain itu, elemen amanah juga perlu dilihat berdasarkan rekod calon yang bertanding. Jika yang masuk bertanding pernah terlibat melompat parti setelah memenangi kerusi yang diidam maka awas!
Itu tanda calon munafik yang perlu dihindari kerana ciri utama munafik sebagaimana sabda Nabi SAW adalah mengkhianati amanah yang diberi.

Hayati sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tanda orang munafik ada tiga; apabila berbicara dia menipu, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia khianati. (Sahih al-Bukhari, 32).
Kepada calon yang suka melompat mengkhianati kepercayaan rakyat, saya saran anda hayati amaran keras Allah dalam ayat ini (al-Nahl: 90-96).

Lihat manifesto yang ditawarkan pihak bertanding. Pastikan ia sesuatu yang mampu dicapai atau mampu dilaksana, bukan yang mampu dikhayal.

Mengundi adalah satu usaha untuk menentukan negara ditadbir oleh orang yang berkemampuan dan bertanggungjawab. Jika sesebuah negara ditadbir urus secara betul berlandaskan Islam dengan panduan al-Quran dan al-sunnah, pastinya rahmat Allah akan melimpahi negara tersebut.

Untuk itu, sangat penting para pentadbirnya dipilih dalam kalangan orang yang takutkan Allah.

Duhai anak muda! Turun mengundi boleh membuahkan pahala jika perubahan ke arah kebaikan berlaku hasil undian anda.

Jadikan pengalaman mengundi kali pertama ini sebagai pencetus semangat untuk sama-sama membangunkan Malaysia dengan pelantikan pemimpin yang betul.

Duhai anak muda! Anda adalah harapan baharu Malaysia.

Pilihan anda dalam PRU15 akan menentukan kemajuan rohani dan fizikal Malaysia untuk lima tahun ke hadapan.

Tunjuk kuasa anda, buat analisis mendalam terhadap pilihan siapa dan apa yang akan diundi. Seterusnya bacalah Bismillah! Insya-Allah, Allah akan bimbing anda.

—————-
Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN