SEBAGAI seorang wanita dan juga isteri, saat yang paling dinanti-nantikan adalah ketika disahkan hamil.
Tidak semua orang melalui fasa kehidupan yang sama kerana sesetengah daripadanya berdepan dengan pelbagai dugaan untuk mendapatkan cahaya mata.
Perkara itu boleh dilihat menerusi perkongsian para isteri dalam media sosial yang menceritakan tentang kehidupan mereka tidak mempunyai zuriat setelah beberapa tahun berkahwin.
Ada dalam kalangan mereka turut mengalami keguguran. Namun ada juga yang mengalami keguguran bayi berulang.
Keguguran adalah isu yang perit untuk dibicarakan kerana wanita masih merasakan bahawa ini semua adalah salah mereka. Bahkan mereka juga dicemuh dan dipandang serong oleh komuniti yang beranggapan mereka gagal menjaga diri sebaik mungkin.
Walaupun kadang-kadang doktor dapat mengenal pasti sebab-sebab berlakunya keguguran lewat kehamilan, dalam kebanyakan kes, doktor tidak dapat mengenal pasti punca berlakunya keguguran, lebih-lebih lagi jika semua ujian dijalankan adalah normal belaka.
MAKNA GUGUR
Keguguran bermaksud apabila semua atau sebahagian dari kandungan terkeluar atau dikeluarkan dari rahim pada usia kandungan kurang dari 22 minggu.
Pakar Perubatan Reproduktif dan Kesuburan Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Noorashikin Maan, berkata, janin yang berusia kurang dari 22 minggu dan tidak berkembang seperti sepatutnya dan jantung yang sudah berhenti berdenyut juga dirujuk sebagai keguguran.
“Amnya, keguguran boleh berlaku pada 10 hingga 20 peratus ibu hamil dengan kebanyakan atau 80 peratus, berlaku pada trimester pertama kandungan (sebelum minggu ke 13), manakala selebihnya (20 peratus) berlaku pada kandungan kurang dari 22 minggu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dr. Noorashikin berkata, terdapat banyak sebab kenapa keguguran berlaku.
Namun penyebab paling sering iaitu 40 hingga 45 peratus adalah disebabkan masalah genetik pada embrio yang dikandung.
“Hampir 30 peratus keguguran berlaku pada minggu kelapan kandungan adalah disebabkan masalah genetik.
“Penyebab kedua adalah masalah penyakit pada ibu seperti penyakit kencing manis yang tidak terkawal, penyakit tiroid yang tidak dirawat, kelainan pada sistem reproduksi ibu seperti fibroid atau kelainan kongenital pada rahim,” ujarnya.
Bagi mengelakkan risiko keguguran, Dr. Norashikin berkata, ibu hamil perlu prihatin dengan kesihatan mereka termasuk segera berjumpa doktor secara tetap dan berkala.
“Elakkan faktor-faktor risiko yang boleh meningkatkan seseorang ibu untuk keguguran seperti merokok, pengambilan alkohol atau kafein yang berlebihan mahupun pengambilan dadah terlarang.
“Ambillah suplemen seperti asid folik secara tetap setiap hari. Ini boleh mengurangkan risiko kecacatan pada janin dan keguguran,” jelasnya.
Jika ibu mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis atau tiroid, pastikan berjumpa dengan doktor yang merawat untuk mencapai tahap kesihatan yang optimum dan terkawal sebelum hamil.
Gugur tujuh kali
Kehilangan anak yang dikandungkan tidak mudah dilupakan dan sudah tentu pengalaman tersebut menghantui ibu sampai bila-bila. Begitulah yang dialami Nashita Md. Noor yang lima kali keguguran ialah ketika berada di bumi Australia.
Nashita ketika itu berusia 22 tahun sedang belajar dan menemani suami habiskan pengajiannya.
“Dalam lima kali pengalaman tersebut cuma sekali sahaja perlu masuk ke hospital untuk prosedur cuci. Selesai prosedur suami jemput dan balik ke rumah jalan kaki. Waktu itu saya keguguran lima kali sebelum dapat anak yang pertama pada usia 27 tahun.
“Selain pengalaman tersebut, saya juga pernah cuci rahim hanya selepas sehari keguguran. Masa tu saya ke bahagian kecemasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan masa itu saya sudah berumur 40 tahun. Sebelum mendapat anak bongsu, saya keguguran dua kali,” katanya.
Pada awalnya, Nashita hampir berputus asa tetapi dia dan suami percaya rezeki zuriat mereka pasti ada.
“Pengalaman itu membuatkan saya kurang bercakap mengenai perkara ini. Saya fobia. Terima kasih kepada keluarga yang tidak putus mendoakan saya dan suami cepat dikurniakan anak,” katanya yang kini dikurniakan enam anak.
Tambah Nashita, wanita perlu menjaga kesihatan, mengamalkan gaya hidup sihat termasuk menjaga pemakanan dan melakukan pemeriksaan secara berkala.










