Beberapa hari lalu tular kisah pelakon, Nad Zainal yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) akibat pendarahan paru-paru yang berpunca daripada serangan auto imun.
Orang ramai terutama peminat terkejut dengan berita menyedihkan itu kerana sebelum ini dramatis itu kelihatan sihat dan sempat pergi bercuti tanpa sebarang masalah kesihatan.
Pendarahan paru-paru jarang berlaku. Ia boleh bermula secara beransur-ansur dan berterusan untuk masa yang lama atau boleh menjadi kejadian yang mengancam nyawa secara tiba-tiba.
Pensyarah dan Pakar Perubatan Respiratori Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ummi Nadira Daut berkata, terdapat pelbagai punca menyebabkan berlaku pendarahan paru-paru dan antara punca paling biasa disebabkan gangguan auto imun.
“Gangguan auto imun berlaku apabila sistem pertahanan semulajadi badan tidak dapat membezakan antara sel anda sendiri dan sel asing. Ini menyebabkan badan tersilap menyerang sel normal termasuk organ seperti paru-paru.
“Serangan ini menyebabkan keradangan dan parut yang boleh menjejaskan fungsi paru-paru dan pernafasan. Vaskulitis sistemik atau radang salur darah dalam paru-paru menyebabkan berlaku pendarahan paru-paru,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Punca lain berlakunya pendarahan paru-paru atau pulmonari termasuk jangkitan seperti radang paru-paru, batuk kering, bronchiectasis, kecacatan paru-paru kongenital, trauma fizikal, contohnya kecederaan dalam kemalangan kereta, kelemahan pada saluran darah dan tumor paru-paru.
Lemas akibat salur pernafasan tersekat
Dr. Ummi Nadira berkata, pendarahan paru-paru yang tidak dirawat mempunyai pelbagai komplikasi atau kesan ke atas pesakit tetapi ia bergantung kepada penyebabnya.
“Dalam kes yang serius, ia boleh mendatangkan maut dan kegagalan organ badan yang lain seperti jantung dan buah pinggang. Pendarahan besar boleh menghalang saluran pernafasan, serterusnya berisiko tinggi menyebabkan pesakit menderita mati lemas.
“Selain itu, komplikasi biasa pendarahan paru-paru termasuk dehidrasi, asfiksia yang menyebabkan badan tidak cukup oksigen, shock akibat penurunan tekanan darah dan kehilangan darah yang teruk,” katanya.
Dr. Ummi Nadira menjelaskan pesakit biasanya mengalami gejala awal pendarahan paru-paru iaitu mengalami kesukaran bernafas atau sesak nafas, batuk, batuk berdarah dan demam.
Bagaimanapun, ramai pesakit mengalami kegagalan pernafasan akut atau berlaku secara tiba-tiba tanpa amaran yang kadang-kadang boleh membawa kepada kematian sekiranya lewat mendapatkan rawatan di hospital.
Cara mengesan pendarahan paru-paru
Bagi mengesan pendarahan paru-paru, pesakit biasanya akan menjalani saringan menerusi sinar X dan CT Skan dada untuk melihat bahagian paru-paru yang terjejas.
Ini membolehkan doktor mengetahui dari mana datangnya darah dan berapa banyak darah yang ada.
“Cara lain mengesan pendarahan adalah menggunakan bronkoskopi, di mana tiub kecil dan fleksibel digunakan untuk melihat bahagian dalam paru-paru. Seterusnya, ia membolehkan doktor melakukan bronchoalveolar lavage (BAL) untuk mengesahkan diagnosis, terutamanya apabila punca pendarahan saluran udara tidak dapat dipastikan.
“Selain itu ujian darah juga amat penting. Antara ujian yang rutin termasuklah adalah kiraan darah lengkap (CBC), kajian pembekuan darah dan kiraan platelet. Bagi kes yang melibatkan sistem imun, ujian serologi dilakukan untuk mencari punca penyakit,” katanya.
Tambah beliau lagi, ujian lain yang boleh dilakukan adalah menerusi analisis urin atau air kencing juga perlu dijalankan untuk mengenalpasti glomerulonefritis dan sebarang sindrom masalah buah pinggang pulmonari.
Peluang untuk sembuh
Peluang untuk sembuh adalah tinggi sekiranya gejala awal dapat dikesan sebelum komplikasi teruk berlaku.
Dr. Ummi Nadira berkata, untuk itu, sebaiknya rawatan dimulakan sebelum berlaku kegagalan pernafasan atau masalah membabitkan buah pinggang. Namun begitu, pesakit berisiko maut akibat kegagalan pernafasan yang berkaitan dengan pendarahan.
“Kadar kematian yang dicatatkan di hospital akibat pendarahan dalam paru-paru adalah antara 20 hingga 100 peratus. Sekiranya penyakit ini disebabkan penyakit imun, ia boleh berulang,” katanya.
Katanya lagi, sebelum rawatan pendarahan dalam paru-paru yang berpunca daripada penyakit auto imun dijalankan, doktor perlu merawat punca ia berlaku dan mengawal penyakit berkenaan.
Ubat penindasan imun atau immunospresif seperti kortikosteroid dan mungkin juga cyclophosphamide digunakan untuk merawat penyakit auto imun seperti vasculitis, masalah kelainan tisu (connective tissue disorders) dan sindrom Goodpasture.
Selain itu, Rituximab telah digunakan untuk merawat vaskulitis yang berkaitan dengan Auto antibodi Sitoplasma Anti-Neutrofilik (ANCA), pendarahan alveolar yang berkaitan dengan sistemik lupus erythematosus (SLE), sindrom Goodpasture dan sindrom antibodi antiphospholipid.
Kaedah rawatan yang lain termasuk pertukaran plasma yang boleh digunakan untuk merawat sindrom Goodpasture.
Langkah pengurusan lain yang mungkin digunapakai adalah termasuk oksigen tambahan, bronkodilator, pembetulan sebarang pembekuan darah atau koagulopati dan intubasi dengan strategi perlindungan seperti sindrom gangguan pernafasan akut (ARDS) dan pengudaraan mekanikal.
Merokok tingkat kemerosotan paru-paru
Faktor risiko biasa yang menyebabkan batuk berdarah adalah merokok, penyakit pulmonari obstruktif kronik dan ubat antikoagulan atau ubat cair darah.
Dr. Ummi Nadira berkata, tabiat merokok boleh menyebabkan penyakit paru-paru seterusnya boleh merosakkan saluran udara dan kantung udara kecil (alveoli) yang terdapat dalam paru-paru yang juga menjadi punca utama kemerosotan paru-paru.
“Sebaiknya anda harus menahan diri daripada merokok atau menyedut sebarang bahan kimia ke dalam paru-paru anda. Jika boleh, jauhi asap rokok. Cara lain adalah ketika bekerja, pastikan postur tubuh berada dalam keadaan selesa bagi membantu memastikan paru-paru anda sihat,” katanya.
Kekal terhidrat dan minum air yang banyak air melainkan anda mempunyai keadaan perubatan asas yang mengehadkan penggunaan cecair. Penghidratan yang betul memastikan lapisan mukosa dalam paru-paru anda nipis.
Pastikan anda mendapat tidur yang cukup kerana kurang tidur boleh menjejaskan kesihatan anda. Bercakap dengan doktor anda jika mengalami gangguan tidur, terutamanya apnea tidur obstruktif.
“Menjaga kebersihan isi rumah turut membantu kesihatan paru-paru. Kadar kejadian jangkitan kulat dan radang paru-paru boleh berlaku di rumah yang tidak diselenggara dengan betul. Selain itu, pengumpulan debunga, bulu haiwan peliharaan, habuk dan acuan boleh menyumbang kepada keadaan ini,” katanya.









