KETIKA pembentukan kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengambil masa untuk diselesaikan, Perak adalah sebaliknya apabila proses penubuhan kerajaan negeri berjalan dengan lancar apabila Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama memimpin negeri.
Kerjasama itu mencatat sejarah besar dalam politik tanah air, kerana meskipun ia adalah kerjasama BN dan PH, namun ia lebih dilihat sebagai kerjasama di antara UMNO dan DAP.
Sejarah tercatat di bumi Perak, apabila dua parti berteraskan kaum, BN dan DAP yang tidak pernah bekerjasama sejak ditubuhkan akhirnya kini bersama dalam kerajaan negeri.
Ketika parti lain termasuk Pas pernah menjalin kerjasama dengan DAP, pasca PRU15 menyaksikan gabungan dua parti yang sekian lama bermusuhan akhirnya bergabung.
Komposisi gabungan PH dan BN yang dibentuk kerajaan negeri Perak terdiri daripada sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) BN manakala PH mempunyai 24 ADUN.
Pembentukan kerajaan negeri yang baharu selepas PRU15 berjalan lancar dan pantas tanpa sebarang isu, sesuatu yang tidak dijangka ketika negeri lain dan peringkat Persekutuan sukar menyaksikan pembentukan kerajaan.
Dua hari selepas selesai hari mengundi, ADUN Kota Tampan yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerima perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk dilantik sebagai menteri besar dan beliau mengangkat sumpah jawatan pada hari sama. Sehari kemudian, 10 ADUN mengangkat sumpah sebagai exco iaitu tiga ADUN BN daripada UMNO, tujuh lagi wakil parti dalam PH, empat daripadanya ADUN DAP dan tiga ADUN PKR.
Sehari kemudian, Saarani mempengerusikan mesyuarat exco pertama selain mengumumkan portfolio exco yang dilantik.
Kerajaan negeri mudah dibentuk kerana hanya ada gabungan BN, PH dan Perikatan Nasional (PN), tidak seperti di Pusat yang mempunyai banyak parti.
“Jadi dengan mudah kita buat keputusan dan kita teruskan apa yang kita buat. Sebab itu kita sudah mula, selepas saya mengangkat sumpah Menteri Besar dan exco angkat sumpah, hari ini kita terus dengan mesyuarat exco pertama dan selepas ini sidang DUN, kita ‘move on’, jalan terus,” katanya Saarani di Ipoh, baru-baru ini.
Namun, penubuhan kerajaan BN dan PH di Perak mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat dan apa yang jelas, ramai bimbang kerana terdapat DAP dalam kerajaan pimpinan Saarani.
Orang Melayu khususnya bimbang dalam beberapa perkara seperti kepentingan Melayu dan Islam serta isu hak milik tanah 999 tahun yang pernah dituntut oleh DAP.
Dalam hal ini, Saarani menenangkan keadaan dengan menyatakan keyakinan kerajaan negeri yang dibentuk merupakan satu gabungan yang bagus dan sedia menjunjung amanah sebagai pemimpin negeri.
“Tapi dalam masa sama kita meminimumkan kepentingan politik masing-masing sebab pilihan raya sudah selesai. Kita merayu supaya tidak ada kenyataan-kenyataan yang berbaur perkauman atau yang boleh mengguris perasaan rakyat.
“Kita minta semua perkara dibawa dalam perbincangan dan kita setuju ini bukan kerajaan PH, bukan kerajaan campuran ia hanya kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan, satu jenama sahaja,” katanya.
Apa yang menggembirakan beliau ialah semua exco sedia menyatakan betapa mereka bersatu hati, akan mengurangkan segala ketegangan dan meminumumkan segara perbezaan selain meletakkan perbezaan di luar sebaliknya mencari titik pertemuan untuk membangunan negeri.
“Saya gembira kerana mesyuarat pertama exco kerajaan baharu bermula dengan baik dan kita telah melepasi fasa pertama kerana saya ada sedikit pengalaman.
“Kita memulakannya dengan bersama-sama berikrar untuk kita mengetepikan segala kepentingan diri, dan hanya fokus kepada kepentingan rakyat Perak sahaja, semua exco setuju,” katanya.
Dalam keadaan kerajaan negeri yang sudah mula bekerja, keraguan dan kebimbangan terhadap gabungan BN-PH yang ada DAP di dalamnya perlu segera diatasi.
Dalam hal ini Saarani dilihat mampu melakukannya kerana semasa menjadi menteri besar di bawah kerajaan negeri sebelum ini jelas sekali berjaya mengawal pembangkang malah kerajaan yang beliau terajui selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kalah dalam undi percaya terhadap beliau, disokong oleh ADUN pembangkang.
Selepas Saarani menerajui kerajaan negeri ketika itu, tiada lagi kedengaran apa jua yang ditimbulkan pembangkang, tidak banyak serangan dan kritikan oleh pembangkang terhadap beliau.
Malah, sesi sidang DUN Perak yang dikenali sentiasa panas sejak sekian lama, tiba-tiba bertukar suasana menjadi aman tanpa ada isu besar yang berlaku, demikian kebijaksanaan Saarani.
Kerajaan negeri Perak boleh disifatkan sebagai ‘lapangan ujian’ kepada kerjasama BN-PH sama ada mampu mentadbir dengan baik atau sebaliknya.
Berikan masa kepada dua parti itu untuk membuktikan kemampuan mereka dan biar rakyat menilainya.-UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perak.










