Jauhi pemimpin ‘mi segera’ - Utusan Malaysia

Jauhi pemimpin ‘mi segera’

Pilihan raya menuntut warganegara Malaysia menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada 19 November ini. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan pemimpin kamu. (al-Nisa’:59). Ayat ini jelas menyatakan bahawa wajib ke atas kita mentaati Allah, Rasul dan pemimpin.

Pemimpin yang taat dan bertakwa, wajib ditaati perintahnya demi kesejahteraan negara dan masyarakat. Pemimpin bertakwa menyedari hakikat bahawa dia mempunyai tanggungjawab memastikan negara ditadbir dan diperintah dengan baik.

Pemerintahan yang baik bukan sekadar bergantung kepada kumpulan pemimpin sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Negara, malah turut bergantung kepada sistem pentadbiran kerajaan yang ada, kementerian dan agensi kerajaan yang mendokong sistem pemerintahan negara.

Setengah ulama mentafsirkan perkataan pemimpin dalam ayat ini ialah ahli ilm wal fiqh, mereka yang mempunyai keilmuan dan kepakaran. Maka sya­rat pemimpin tidak lain tidak bukan mempunyai kemantapan ilmu pengetahuan.

Pilihan raya menuntut warganegara Malaysia menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada 19 November ini.

Apakah ciri-ciri pemimpin yang dikehendaki dalam Islam? Bagaimana Islam mengajar kita memilih pemimpin?
1. Calon yang mempunyai kejujuran dan integriti.
Pemimpin yang baik bukan sekadar menabur umpan janji ketika berkempen dan melupakan janjinya sesudah dipilih rakyat.

2. Pilihlah pemimpin yang mempunyai integriti dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku dan sikap mementingkan diri dan kroni. Dalam Islam, integriti mempunyai kaitan rapat dengan as sidq. Al Jurjani menyebutkan as sidq atau kebenaran itu adalah permulaan dan keikhlasan itu adalah cabang kebenaran.

3. Pemimpin yang benar, jujur dan ikhlas dapat membantu membangunkan negara dan masyarakat. Bukan semata-mata untuk kepentingan peribadi.
Seorang pemimpin yang baik tidak cukup sekadar jujur, malah haruslah mempunyai kecerdasan akal yang tinggi.
Masalah negara dan masyarakat di era millenium menuntut pemimpin negara agar bertindak pantas dan efisien, melakukan kajian dalam tindak tanduk sebagai pemimpin dan memberikan penyelesaian yang terkini sesuai dengan peredaran zaman.
Ramai pemimpin yang gagal membaca situasi semasa dan hanya berpada dengan solusi zaman silam yang tidak lagi relevan.

4. Pemimpin harus bijak menangani dan melayani kehendak rakyat yang pelbagai.
Bijak membezakan antara tuntutan rakyat yang sebenarnya dengan tuntutan rakyat yang mengada-ngada.
Kita tidak mahu duit rakyat dibazirkan bagi menjayakan idea yang tidak masuk akal atau perancangan separuh masa, yang sekadar mahu melepaskan batuk di tangga.
5. Pemimpin bijak dan pantas memberi solusi menyeluruh, yang menjimatkan kos, tenaga dan masa tetapi memberi impak yang tinggi. Sudah tiba masanya kita memilih pemimpin bijak yang tidak menyelesaikan masalah secara stereotaip.

6. Pemimpin juga harus mempunyai kematangan bersosial dan kestabilan emosi. Pemimpin harus bijak melayani rakyat dan memahami ‘bahasa rakyat’.
Ciri inilah yang disebutkan di dalam surah Yasin, yang mana pemimpin yang baik itu datang dari kalangan kaumnya yang memahami adat dan cara hidup kaumnya.
Pemimpin yang stabil emosi mudah memahami kehendak rakyat dan tidak bersikap pantas menghukum dan mengenepikan kehendak rakyat yang tidak selari dengan jiwanya.
Ini bukan bermakna pemimpin memenuhi semua kehendak rakyat semata-mata kerana populariti tetapi harus membezakan kehendak rakyat yang daruri atau sebaliknya.
Malang jika ada pemimpin ‘mi segera’ yang gemar memberi penyelesaian solusi pantas kepada masyarakat semata-mata mengejar populariti namun impak projek tidak ke mana.

7. Pemimpin yang bijak juga harus mempunyai wawasan dan perspektif yang luas, mampu mengandaikan sebarang kebarangkalian pada masa akan datang.
Ini adalah antara contoh yang ditunjukkan oleh Baginda SAW dalam Perjanjian Hudaibiah dan kepimpinan baginda dalam menentukan strategi peperangan.

8. Pemimpin juga haruslah bijak mengemudi dan memberi motivasi kepada rakyat marhaen dan menjaga hubungan manusiawi.
Setiap manusia dilahirkan dengan kekuatan yang berbeza. Atas sebab itu, pemimpin harus bijak meladeni rakyat yang mempunyai perbezaan dari segi keintelektualan, latar belakang sosioekonomi dan lainnya.

9. Pemimpin tidak boleh bersikap eksklusif yang berada hanya bersama golongan bangsawan dan barisan pemerintah yang tidak ‘turun’ menjejaki rakyat bawahan.
Kegagalan memahami latar belakang rakyat biasa akan menyebabkan jurang komunikasi menjauh malah menimbulkan syak wasangka antara pemimpin dan rakyat.
Antara ciri-ciri pemimpin yang baik ialah sabar dan berani mengambil risiko.
Jika kita menelusuri sirah Nabi Yusuf a.s dan bapanya, Nabi Yaakub a.s, yang mempunyai kesabaran yang tinggi berhadapan dengan tribulasi dan ujian selama bertahun-tahun.
Begitulah juga Rasulullah SAW gigih, sabar dan berani mengambil risiko berdakwah secara tersembunyi dan secara terang-terangan.
Setiap langkah sebagai pemimpin menyelesaikan masalah mempunyai risiko dan halangan tersendiri.

10. Pemimpin harus sabar, teliti dan tidak tergesa-gesa menentukan tindakan terutama yang menggunakan aset dan kewangan negara.
Negara mengalami ujian Covid-19 selama beberapa tahun menuntut kesabaran yang tinggi dalam kalangan pemimpin negara. Sebabnya, wabak ini memberi risiko dan mudarat sangat besar kepada nyawa, harta dan semua kepentingan rakyat dan negara.

Tuntasnya, sebagai pengundi rakyat Malaysia, mengundi bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Malah mengundi pemimpin yang tepat adalah pembuka jalan untuk menentukan masa depan negara yang lebih bersih dan gemilang.

Pemimpin yang bersih, adil dan berintegriti sama sekali tidak melanggar perintah Allah dan ini bertepatan dengan maksud hadis Nabi SAW: Aku adalah hamba dan utusan-Nya dan sekali-kali aku tidak akan menyalahi perintah-Nya.

—————

Penulis merupakan JK Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN