Jangan ambil mudah urat berselirat - Utusan Malaysia

Jangan ambil mudah urat berselirat

VARICOSE VEIN yang teruk boleh menyebabkan ketidakselesaan, rasa sakit dan pendarahan atau ulser.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekali pandang memang sangat mengerikan apabila kaki berselirat dengan urat-urat biru dan hijau yang timbul dan bersimpul umpama wayar yang boleh putus bila-bila masa saja.

Tengok pun tahu, mereka yang mengalaminya pasti menanggung sakit apatah lagi bagi wanita hamil.

Pakar Bedah Am, Hepatobiliari-Pankreas dan Trauma, Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr. Affirul Chairil Ariffin, berkata keadaan ini dikenali sebagai varicose veins atau vena darah tersumbat.

Dianggarkan 20 sehingga 40 peratus berlaku ketika hamil, malah mereka turut berdepan risiko dua hingga tiga kali ganda menghidap.

“Bagaimanapun bakal ibu tidak perlu risau kerana ia tidak membahayakan ibu dan bayi di dalam kandungan. Namun, varicose vein yang teruk boleh menyebabkan ketidakselesaan, rasa sakit dan pendarahan atau ulser sekiranya berlaku,” katanya.

Varicose vein berlaku apabila salur darah vena membesar dan berbelit-belit (engorged and turtous) di bahagian kaki akibat tekanan yang tinggi di dalam salur darah vena dan aliran darah berpatah balik.

Dr. Affirul Chairil berkata, tekanan tinggi dari dalam bahagian perut terutama rahim dan tarikan graviti berterusan menyebabkan berlaku kerosakan dan kelemahan injap satu arah di dalam salur vena.

“Tekanan mengakibatkan aliran darah ke atas tidak lancar dan menyebabkan darah terkumpul di bahagian bawah kaki. Keadaan ini menyebabkan rasa tidak selesa kepada penghidap dan boleh menyebabkan kaki menjadi bengkak dan sakit apabila berjalan.

“Kalau dibiarkan tanpa rawatan, ia akan menyebabkan rasa sakit dan kegatalan. Ia juga boleh menyebabkan pendarahan yang banyak dan menjurus kepada pembentukan ulser. Dalam kes yang lebih teruk, ulser ini akan dijangkiti dan memerlukan rawatan yang lebih agresif,” katanya.

PEMAKANAN & KETURUNAN

Gaya pemakanan kurang baik juga boleh menganggu kelancaran aliran saluran darah seperti makanan berminyak yang boleh meningkatkan risiko darah beku.

Sementara itu, daging yang diproses mengandungi sodium yang tinggi boleh menyebabkan darah menjadi pekat.

Manakala susu dan keju yang dimakan berlebihan berisiko menyebabkan sembelit seterusnya menjadikan vena membengkak.

Walaupun tiada bukti kukuh membuktikan kaitan varicose vein berpunca daripada keturunan tetapi kemungkinan menghidap varicose vein boleh meningkat sehingga 30 sehingga 40 peratus dalam kalangan pesakit yang mempunyai ahli keluargaa menghidap penyakit yang sama.

Data juga menunjukkan tiada bukti kukuh mengaitkan komplikasi varicose vein dengan penyakit lain tetapi ia boleh memburukkan lagi keadaan pesakit jantung.

Risiko jangkitan kuman, ulser dan sakit boleh mempengaruhi tindakbalas pesakit jantung terhadap rawatan malah ia boleh menjurus kepada tekanan kepada jantung secara tidak langsung.

“Sebaiknya varicose vein dirawat kerana ia dikhuatiri boleh menyebabkan kepada pembentukan darah beku di dalam saluran vena lain seperti penyakit deep vein thrombosis dan darah beku di paru-paru.

“Dalam majoriti kes ibu hamil, varicose vein akan berkurang dan hilang tanpa sebarang rawatan dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas bersalin. Bagaimanapun, ada segelintir pesakit akan mempunyai varicose vein kekal dan memerlukan rawatan selanjutnya,” katanya.

RAWATAN

Walaupun boleh hilang dengan sendiri tetapi rawatan masih diperlukan, namun bergantung kepada tahap dialami termasuk samada komplikasi telah berlaku atau sebaliknya.

“Pada tahap awal, stoking tekanan khas boleh digunakan untuk memastikan varicose vein tidak mengembang dan makin teruk. Selain itu, sejenis cecair khas boleh digunakan di klinik pakar untuk membeku dan mengecutkan vena yang timbul ini. Sekiranya tidak berjaya, rawatan pembedahn akan diperlukan untuk mengeluarkan vena yang telah rosak injapnya (vein ligation and avulsion).

“Rawatan ini dilakukan secara bius penuh dan di dalam dewan pembedahan. Bagaimanapun, varicose vein boleh berulang sekiranya risiko terbabit dihindari atau dikawal. Risiko terjadi semula varicose vein secara statistiknya adalah sehingga 60 peratus jika tidak dikawal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN