Dekorasi kediaman bertemakan warna gelap mungkin jarang menjadi pilihan kebanyakan pemilik kerana ia dikatakan akan menjadikan ruangan kelihatan lebih kecil dan sempit.
Namun, bagi pemilik instagram rumah.gelap, Fatin Athirah Anuar, warna gelap sebenarnya tidak begitu mempengaruhi saiz ruangan sekiranya disertai susun atur perabut dan permainan warna yang sesuai.
Jelas wanita berusia 32 tahun itu, warna hitam sememangnya menjadi kegemarannya dan suami, Mohd. Helmi Hamdan,32 membuatkan mereka berani bereksperimentasi dengan warna gelap itu pada kediaman mereka yang berkeluasan 810 kaki persegi.
“Tidak dinafikan jika kebanyakan penggunaan perabot atau perkakas hitam, menjadikan ruangan sedia ada nampak lebih sempit dan padat.
“Oleh itu, memandangkan ruang rumah kami juga terhad, kami menggunakan warna hitam pada perabot dan hiasan tertentu sahaja seperti sofa, meja makan, langsir dan kabinet dapur,” katanya.
Tambahnya, pemilihan warna dinding turut memainkan peranan penting dalam memastikan keseimbangan warna dan keluasan ruang.
Warna putih dipilih untuk menghiasi keseluruhan dinding bagi mengurangkan efek padat, manakala kebanyakan perabot digunakan juga tidak mempunyai rekaan terlalu sarat.
“Itu salah satu tips yang kami aplikasikan dalam dekorasi rumah ini supaya warna gelap itu dapat diseimbangkan dengan baik.
“Saya dan suami juga menyelitkan sedikit warna lain dalam dekorasi seperti warna hijau pada pokok dan warna kelabu pada sesetengah tempat,” jelasnya lagi.
Minimumkan perabot
Bagi mendapatkan ruangan yang selesa, Fatin turut mengambilkira penggunaan perabot yang penting sahaja bagi meminimumkan kepadatan terutamanya di bahagian ruang tamu.
Hanya perabot praktikal untuk kegunaan harian yang diletakkan di dalam ruangan supaya ruang dapat dijimatkan dengan lebih baik.
Ia turut membuatkan ruangan tampak lebih kemas dan bersih.
Namun, sedikit kekurangan apabila menggunakan perabot berwarna gelap adalah habuk yang senang kelihatan pada permukaan.
“Itu salah satu kelemahan yang boleh saya kongsikan. Berbanding perabot berwarna cerah, perabot berwarna gelap akan mudah nampak habuk. Ia perlu di lap sentiasa.
“Setakat ini itu sahajalah kelemahan dekorasi tema gelap yang saya nampak. Kalau hendak kata panas dan ada banyak nyamuk sebab suasana rumah yang gelap itu tidaklah, saya rasa okay saja,” jelasnya.









