Kenali rumah sahabat Nabi SAW yang paling istimewa - Utusan Malaysia

Kenali rumah sahabat Nabi SAW yang paling istimewa

UNTA Rasulullah SAW berhenti di lokasi Masjid Nabawi dibina pada hari ini di bahagian hadapan yang ketika itu adalah kebun kurma milik keturunan al-Najjar bin Malik bin al-Khozroj.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rumah Saidina Abu Ayyub al-Ansori menjadi sangat istimewa kerana semasa Nabi SAW tiba di perkampungan Bani al-Najjar, baginda tinggal sementara di rumah Saidina Abu Ayyub sehinggalah rumah baginda siap dibina berhampiran Masjid al-Nabawi ketika itu.

Dalam peristiwa hijrah, golongan al-Ansar amat teruja dengan kedatangan Rasulullah SAW ke bumi Madinah atau nama lamanya Yathrib sehingga masing-masing berebut mempelawa baginda SAW menginap di rumah mereka.

Sehingga ada yang memegang tali kekang unta Rasulullah SAW supaya ia berhenti di depan rumah mereka. Nabi SAW bersabda kepada mereka: Biarkanlah ia kerana sesungguhnya ia adalah (unta) yang diperintahkan (untuk berhenti berjalan di tempat yang diinginkan oleh Allah).

Akhirnya unta Rasulullah SAW berhenti di lokasi Masjid Nabawi pada hari ini di bahagian hadapan yang ketika itu adalah kebun kurma milik keturunan al-Najjar bin Malik bin al-Khozroj.

Al-Imam al-Tabrani di dalam al-Mu‘jam al-Awsat (hadis ke-3544) meriwayatkan, lokasi unta Nabi SAW berhenti adalah lokasi mimbar baginda SAW hari ini.

Setelah unta itu berhenti di kawasan mimbar pada hari ini, maka rumah yang paling hampir dengan kawasan kebun kurma itu adalah rumah Saidina Abu Ayyub al-Ansori.

Beliau tanpa berlengah-lengah, mempelawa Nabi SAW tinggal di rumah beliau sebelum rumah baginda dibina. Menurut al-Imam Ibnu Kathir dalam kitab al-Bidayah Wa al-Nihayah; al-Waqidiyy menyatakan Nabi SAW tinggal di rumah Saidina Abu Ayyub selama tujuh bulan.

Namun ada pandangan lain menyatakan kurang daripada sebulan.

Pada awalnya, Nabi SAW tinggal di tingkat bawah rumah dua tingkat Saidina Abu Ayyub manakala beliau dan isteri iaitu Saidatina Ummu Ayyub tinggal di tingkat atas.

Nabi SAW berbuat demikian bagi memudahkan sahabat menemui baginda. Walau bagaimanapun Saidina Abu Ayyub tidak selesa berada di tingkat atas kerana ini akan menyebabkan kaki mereka berada di atas kepala mulia Rasulullah SAW.

Setelah dipujuk Saidina Abu Ayyub, Nabi SAW bersetuju tinggal di tingkat atas dan Saidina Abu Ayyub di tingkat bawah.

Al-Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan daripada Abu Ruhm al-Sama‘iyy bahawa sesungguhnya (Saidina) Abu Ayyub menceritakan kepada beliau bahawa sesungguhnya: Nabi SAW telah turun di rumah kami yang paling bawah. Suatu ketika saya berada di dalam bilik (di tingkat atas) lalu air tertumpah di dalam bilik.

Lantas saya dan Ummu Ayyub bangun dengan (membawa) satu lembaran kain milik kami untuk mencari (di manakah tempat yang terkena) air (agar kami dapat mengelapnya dengan segera) kerana risau air akan sampai kepada Nabi SAW.

Maka saya pun turun kepada Baginda SAW (di tingkat bawah) dalam keadaan amat risau lalu saya berkata: “Wahai Rasulullah. Sesungguhnya tidaklah patut kami berada di atas anda. Silalah pindah ke bilik (tingkat atas)”.

Maka barang Nabi SAW pun dipindahkan (ke tingkat atas). Barang baginda hanya sedikit. Maka saya berkata: “Wahai Rasulullah. Anda satu ketika dahulu telah mengirimkan kepada saya makanan (yang berbaki setelah anda makan) lalu saya akan melihat. Maka apabila saya telah melihat kesan jari-jari anda, nescaya saya telah meletakkan tangan saya di situ. (Saya terus melakukan perkara demikian) sehinggalah (saat) makanan ini yang anda telah mengirimkannya kepada anda, maka saya pun telah melihat padanya lalu saya tidak pula melihat padanya sebarang kesan jari-jari anda”.

Lantas Rasulullah SAW bersabda: Benar. Sesungguhnya di dalamnya ada bawang lalu saya tidak gemar memakannya disebabkan satu malaikat yang akan mendatangi saya. Adapun kamu semua, maka makanlah ia.

Saidina Harithah Bin Al-Nu’man
Rumah Saidina Harithah bin al-Nu‘man juga adalah rumah yang ada kaitan rapat dengan Nabi SAW dan ahli keluarga baginda. Ini kerana Saidina Harithah memiliki banyak rumah lalu, jika ahli keluarga Nabi SAW yang tidak ada rumah, beliau mempersilakan ahli keluarga baginda tinggal di rumah miliknya dan beliau berpindah ke rumah lain.

Kemurahan hati Saidina Harithah berpindah-randah dari satu rumah ke satu rumah menyebabkan Rasulullah SAW malu kepada beliau. Namun beliau tetap mahu memuliakan Nabi SAW dan ahli keluarga baginda.

Antara rumah milik Saidina Harithah adalah yang betul-betul di belakang rumah Saidina Abu Ayyub jika seseorang membelakangi arah kiblat.

Menurut Hislo (Historical Locations), rumah Saidina Harithah di belakang rumah Saidina Abu Ayyub, pernah menjadi rumah persinggahan sementara bagi Saidatina Sofiyyah binti Huyayy setelah dikahwini oleh Nabi SAW pada tahun ketujuh hijrah setelah selesai peperangan Khaibar.

Apabila Saidatina Sofiyyah dibawa ke Madinah, Saidina Harithah keluar dari rumah beliau itu untuk Saidatina Sofiyyah tinggal di situ. Apabila rumah Saidatina Sofiyyah siap dibina, beliau keluar dari rumah Saidina Harithah ini.

Al-Imam Muhammad bin Sa‘d bin Mani‘ al-Zuhriyy meriwayatkan daripada Abu Ja‘afar, beliau berkata: Apabila Nabi SAW tiba di Madinah, baginda menginap di (rumah Saidina) Abu Ayyub selama setahun atau seumpamanya.

Maka apabila (Saidina) Ali mengahwini Saidatina Fatimah, baginda bersabda kepada (Saidina) Ali: “Carilah sebuah rumah”. Lalu (Saidina) Ali pun mencari sebuah rumah dan beliau memperolehinya tetapi rumah tersebut agak jauh daripada (rumah) Nabi SAW.

Maka (Saidatina) Fatimah berpindah ke rumah itu. Maka Nabi SAW datang kepada Fatimah lalu baginda bersabda: Sesungguhnya saya ingin memindahkan anda ke (rumah lain yang hampir dengan rumah) saya.

Lalu (Saidatina) Fatimah berkata kepada Rasulullah SAW: “Maka (kalau begitu), anda bercakaplah dengan (Saidina) Harithah agar beliau berpindah untuk saya (tinggal pula di rumah beliau)”.

Lalu Baginda SAW bersabda: Sesungguhnya Harithah bin al-Nu‘man benar-benar telah berpindah-randah untuk kita (tinggal pula di rumah-rumah beliau) sehingga saya benar-benar telah malu kepada beliau.

Lalu (ucapan) itu sampai ke (pengetahuan Saidina) Harithah lantas beliau pun berpindah (dari rumah beliau). Beliau datang kepada Nabi SAW lalu berkata:

“Ini adalah rumah saya dalam keadaan ia adalah rumah-rumah keturunan al-Najjar yang paling hampir dengan (berbanding rumah-rumah keturunan al-Najjar yang lain).

“Sesungguhnya saya dan harta saya hanyalah milik Allah dan Rasul-Nya. Demi Allah wahai Rasulullah. Harta yang anda ambil daripada saya adalah lebih saya sukai daripada harta yang anda tinggalkan (untuk saya)”.

Nabi SAW bersabda: Anda telah benar (pada ucapan dan tindakan anda). Allah telah memberkati ke atas anda.

Lalu Rasulullah SAW pun memindahkan (Saidatina) Fatimah ke rumah (Saidina) Harithah.

————-

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN