SIDANG Kemuncak ASEAN ke-40 dan Sidang Berkaitan Ke-41 yang diadakan di Phnom Penh, bulan ini terus mempertaruhkan polarisasi sedia ada yang menggugat kerelevanan dan impak ASEAN sebagai sebuah organisasi rantau dalam menjamin kestabilan dan keselamatan rantau ini. Dalam sejarah ASEAN selama 55 tahun, alunan teguh terhadap prinsip musyawarah serta konsep berkecuali dan tidak berpihak menjadi simbol dan nadi kebanggaan ASEAN dalam menelusuri pentas geopolitik global yang terus mencengkam kegusaran rantau.
Namun, dalam harapan kebergantungan kepada sistem unik ASEAN ini yang dikenali sebagai ASEAN Way, implikasi dan realiti semasa yang kian mencetus polemik mendalam terhadap tindak balas ahli ASEAN tidak dapat ditangani dengan pendekatan konvensional yang terus menjadi sandaran dan pertaruhan kalangan elit ASEAN untuk menangkis tempias dan ancaman luar yang terus menggugat keselamatan dan kestabilan rantau.
Ditubuhkan dalam kemuncak era Perang Dingin yang menuntut keperluan negara rantau untuk memperkukuh jalinan dan benteng kerjasama dalam membendung penularan ancaman komunisme, ASEAN berpegang teguh kepada konsep berkecuali dalam usaha untuk tidak menjadi mangsa kepada percaturan geopolitik kuasa luar. Namun, pegangan ini terus menghadapi cabaran baharu dalam pelbagai dimensi di mana perubahan pentas keselamatan rantau pada masa kini yang didominasi kebangkitan China dan percubaan Barat diketuai Amerika Syarikat (AS) untuk mengekang kemaraan Beijing, terus menguji kelestarian dan peranan prinsip berkecuali ASEAN.
Walaupun berharap untuk kekal sebagai rantau neutral dan tidak mengundang risiko konflik, kepatuhan total terhadap prinsip ini menyaksikan impak dan kerelevanan ASEAN sebagai organisasi serantau terus merudum, di mana kuasa luar melihatnya sebagai institusi yang gagal untuk mencipta jalinan cegah rintang yang efektif serta lemah dalam menyelesaikan kemelut dalaman termasuk isu Myanmar.
Dengan Washington, ASEAN cuba untuk mendesak mendapatkan sumbangan dan sokongan mendalam keterbukaan pasaran dan ekonomi AS, serta cuba untuk mendapatkan jaminan saluran kewangan dan pembangunan infrastruktur yang dinikmati sekarang dengan saluran kapital tinggi China melalui Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). Namun, ASEAN kekal gusar dengan usaha Washington untuk mempertingkat aktiviti ketenteraan dan percubaan mengekang Beijing melalui pakatan AUKUS (AS, United Kingdom dan Australia).
POLISI
Ketiadaan strategi dan polisi jelas dan efektif dalam menangani potensi ancaman dan impak krisis Laut China Selatan serta Taiwan akan menyebabkan ASEAN terus tumpul dalam berdepan desakan dan ancaman kuasa luar disebabkan kebergantungan dalam hampir semua parameter termasuk sokongan pertahanan dan tahap sosioekonomi rantau yang dicorak dan ditakrifkan oleh China dan AS. Kegusaran rantau akan terus digunakan sebagai faktor pemangkin kepada Barat untuk memperdalam ikatan dengan negara strategik terutama dalam dimensi kritikal termasuk pertahanan, digital, rantaian bekalan, sumber dan daya tahan bidang semikonduktor, sumber tenaga asli dan baharu, keselamatan makanan dan tenaga serta sektor kritikal lain.
ASEAN cuba untuk kekal berkecuali, namun pada masa sama terdesak untuk mendapatkan pulangan daripada sandaran kuasa luar. Polarisasi terutama kewujudan blok berlainan seperti Kemboja dan Laos yang berada di bawah orbit Beijing dan blok yang menerima sokongan Washington, terus menghambat keberkesanan kesepaduan polisi yang bebas sepenuhnya daripada pengaruh luar walau sebanyak usaha cuba diketengahkan untuk kekal dengan pendirian berkecuali ASEAN.
Kelemahan dan pertikaian dalaman juga akan memakan diri, di mana hubungan sesama anggota diwarnai kegusaran antara satu sama lain dalam percaturan jangka masa panjang kepentingan geopolitik dan pengaruh dan juga keperluan mempertahankan kepentingan nasional masing-masing. Persaingan untuk pengaruh rantau dan dalam ASEAN sendiri juga menjadi faktor selain reaksi dan polisi strategik berbeza yang cuba ditonjolkan oleh negara anggota terutamanya melibatkan percaturan dan orientasi hubungan dasar luar dengan kuasa luar termasuk Beijing dan Washington.
Perlumbaan senjata dalam kalangan negara anggota juga kian meningkat dalam usaha dan pertaruhan masing-masing untuk menghadapi ancaman kuasa luar dan ancaman dalaman dalam kalangan negara jiran. Sekiranya ASEAN terus memeluk pendekatan konvensional, ia tidak berkapasiti untuk memberikan cegah rintang dan kuasa rundingan efektif kepada kuasa luar. ASEAN hanya akan dilihat sebagai platform diplomasi yang tidak dapat memberikan pulangan diinginkan oleh Beijing dan Washington dalam percaturan strategik mereka. Kedua-dua AS dan China akan terus mengorak langkah untuk memperdalam persaingan pengaruh, cengkaman ekonomi serta percaturan strategi keselamatan dan ketenteraan di rantau Asia Tenggara secara bilateral tanpa kelibat ASEAN.
Prinsip konvensional yang jumud dalam kapasiti dan ketersediaan menghadapi perubahan ketara geopolitik rantau dan global bakal menyaksikan peranan dan pengaruhnya akan terus merudum, dan impak usahanya untuk menonjolkan diri sebagai sebuah entiti keseimbangan dan stabiliti rantau melalui kaedah penyelesaian konflik secara dialog dan diplomasi akan terus terjejas. Hakikat persaingan sengit Beijing-Washington akan terus menjadi tonggak utama percaturan geopolitik rantau, dan ia perlu menjadi tunjang pertama kepada ASEAN untuk mencetus orientasi dan pendekatan baharu untuk menangani impak krisis yang bakal tercetus.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pendaftar di Universiti Malaya.











