Bilik gelap kembali 'terang' - Utusan Malaysia

Bilik gelap kembali ‘terang’

Tenaga pengajar fotografi seni halus yang menghidupkan kembali bilik gelap di kampus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Arus fotografi kamera digital berkembang pesat semenjak tahun 1990-an, serba sedikit membuatkan kita semakin lupa zaman kegemilangan kamera tradisional. Namun, tidak dinafikan, masih ramai lagi peminat serta pengamal fotografi analog di Malaysia.

Golongan ini selalunya terdiri dari veteran fotografi, tidak kurang juga anak muda yang mewarisi minat ibu bapa mereka, mahupun yang punyai keinginan sendiri mengambil gambar menggunakan kamera filem.

Bilik gelap adalah perkara asing yang jarang didengar oleh generasi muda. Jika ditanya tentang bilik gelap, ramai tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan di dalamnya dan mengapakah ianya dipanggil bilik gelap atau Dark Room.

Merasakan keperluan generasi muda mengetahui dan mengalami cara lama memproses filem dan mencetak gambar, tenaga pengajar bidang seni fotografi, mengambil inisiatif menghidupkan kembali bilik gelap yang sudah hampir 20 tahun tidak digunakan.

Kali pertama membukanya, kami menyelongkar kembali keperluan untuk memproses serta bahan mentah yang sedia ada. Ternyata kesemua bahan mentah yang ada telah tamat tarikh luputnya.

Kami mengambil keputusan bereksperimentasi dengan bahan yang ada serta menerima setiap hasil yang akan diperolehi. Hasrat kami adalah untuk memproses filem yang telah kami gunakan ketika street photography sekitar Kuala Lumpur minggu lalu.

Langkah pertama diambil adalah mengatur ruangan bilik gelap serta bahan utama yang diperlukan. Nota-nota lama dibawa keluar semula untuk mendapatkan rumusan formula bancuhan kimia.

Kali ini kami hanya akan berkongsi tentang proses develop atau cuci filem terlebih dahulu. Ada dua bahan utama yang diperlukan iaitu, Developer Kodak Professional D 76 dan Kodak fixer.

Setiap bahan mentah perlu disukat suhu, isipadu dan masa yang tepat bagi mengelakkan kerosakan pada filem. Keputusan dari bahan mentah telah luput juga mungkin berbeza hasilnya. Aspek keselamatan juga kami utamakan dengan memastikan sarung tangan serta apron digunakan sepanjang proses ini bagi mengelakkan bahan kimia terkena di kulit serta anggota yang lain.
Setelah semua bahan siap dibancuh, filem dikeluarkan dari cartridge dan dimasukkan ke dalam tangki filem.

Ketika proses ini dijalankan, keadaan bilik haruslah gelap keseluruhannya kerana dikhuatiri filem akan terdedah kepada cahaya. Setelah selesai dalam durasi 3-5 minit, lampu keselamatan dibuka. Developer dimasukkan ke dalam tangki filem disusuli proses stop bath, campuran fixer dan running water.

Keseluruhan proses mengambil masa kira-kira 30 minit.

Setelah masa ditetapkan berlalu, tibalah debaran melihat hasilnya. Gulungan filem dikeluarkan perlahan-lahan dari tangki filem.

Melihatkan sahaja hasil warna filem berubah seperti yang dikehendaki, kami bersorak kegembiraan.

Ternyata usaha ini tidak sia-sia dan tetap membawa hasil yang diinginkan. Dapat juga kami simpulkan bahawa bahan mentah yang telah luput, masih boleh digunakan.

Sepanjang berada dalam bilik gelap, teringat zaman kegemilangan fotografi konvensional ketika zaman belajar sekitar 90an. Bau fixer ini menjadi kenangan manis memproses filem bersama rakan sekelas dahulu.

Memori indah bersama rakan sekerja diabadikan di platform media sosial untuk tatapan pelajar dan umum. Moga usaha ini menjadi permulaan baharu menghidupkan kembali tradisi fotografi analog serta memberi ilmu dan manfaat amnya kepada masyarakat luar dan khususnya kepada pelajar seni fotografi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×