HAMPIR 10 tahun, Siti, 45 (bukan nama sebenar) menyorokkan ubat yang perlu dimakannya dalam merawat Human Immunodeficiency Virus (HIV) daripada pengetahuan anak-anaknya.
Namun rahsia dia penghidap HIV terbongkar selepas anak keduanya, Nurul yang ketika itu berusia 15 tahun, menjumpainya bungkusan berisi ubat yang pada fikirannya agak ganjil dalam almari pakaian Siti.
Tanpa pengetahuan si ibu, Nurul secara siam-diam menyemak nama ubat yang tertera di internet, mengesahkan hanya pesakit HIV yang mengambil ubat dimakan Siti.
“Saya tidak pernah berkongsikan kepada sesiapa yang saya menghidap HIV. Takut dan bimbang penerimaan ahli keluarga terutama anak-anak, rakan dan jiran.
“Tetapi hanya Nurul sahaja, yang kini berusia 20 tahun dan simpan rahsia sehingga kini. Itupun ketika dia terjumpa ubat yang saya simpan dalam almari. Dua lagi anak tidak tahu. Saya terharu, Nurul banyak beri nasihat dan sokongan kepada saya agar tidak lewat makan ubat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ibu tunggal anak tiga ini mendapat tahu dia menghidap HIV selepas didiagnos HIV pada 2015 yang dijangkiti daripada bekas suaminya. Siti bercerai sebelum disahkan menghidap virus itu.
Kemasukan ke wad pada 2015 akibat sakit dan demam tidak kebah, menjadi titik-tolak dia disahkan menghidap HIV positif.
“Bila disahkan HIV, saya sangat terkejut malah tidak pernah menyangka keadaan sakit teruk, kerap demam, batuk dan selesema serta sukar bernafas pada tahun itu rupanya petanda saya dijangkiti HIV.
“Saya rasa sangat takut dan hampir putus asa untuk hidup. Apa yang saya paling takut ialah bila mengenangkan bagaimana penerimaan anak-anak dan keluarga jika tahu saya menghidap HIV,” katanya.
Siti mengakui perasaan malu dijangkiti, melebihi segala-galanya. Namun sokongan doktor dan jururawat yang tidak henti-henti dalam memberikan semangat buat dirinya, menjadikan dia kuat.
Siti ketika ditemui di kediamannya di sebuah pulau di Sandakan, Sabah, kelihatan seperti orang normal lain, sihat dan bertenaga. Kehadiran kami ke kediaman Siti atas tajaan Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Yayasan Petronas dan Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines dengan kerjasama Persatuan Kesedaran AIDS Sabah (SAGA).
PEROLEH KEKUATAN
Selain sokongan keluarga, perkara yang menjadikan Siti kuat ialah kerana patuh dengan rawatan dan pengambilan ubat diberi oleh doktor di hospital.
“Alhamdulillan selepas tujuh tahun keadaan saya bertambah baik. Nampak sihat namun kadang-kala ada juga rasa demam.
“Dulu selalu sakit, tapi bila dapat rawatan, syukur tiada lagi rasa sakit teruk. Saya patuh makan ubat dua kali pada pukul 9 pagi dan 9 malam setiap hari seperti disarankan oleh doktor,” katanya.
Perjalanan merentasi sungai untuk ke hospital yang memakan masa kira-kira 30 minit membataskan Siti mengeluarkan duit tambang setiap kali ke hospital.
Mujurlah subsidi perjalanan yang diusahakan oleh Persatuan Kesedaran AIDS Sabah (SAGA) diberi kepadanya untuk mendapatkan rawatan di hospital.
“Kalau nak dihitung, segala belanja dan kos pengangkutan dari rumah saya ke hospital, lebih kurang RM50.
“Justeru usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama SAGA sangat membantu. Sejak saya menghidap HIV, saya diberi bantuan tambang ke hospital. Dari kampung saya perlu menaiki bot ke hospital kemudian ambil bas atau teksi pula ke sana. Saya pula tidak bekerja dan hanya mengharapkan anak-anak.
“Dengan adanya tambang disediakan ke hospital, ia meringankan beban dan tidak menyusahkan sesiapa malah tidak akan terlepas untuk mendapatkan rawatan,” katanya yang mengambil ubat sebulan satu kali di hospital manakala janji temu bersama doktor tiap lima bulan sekali.
Biarpun perlu mendapat rawatan ubat sepanjang hayat, Siti bersyukur dia dapat menjalani kehidupan seperti orang lain dan selesa merahsiakan dijangkiti virus itu daripada disisih oleh orang sekelilingnya.
Penghidap boleh berkeluarga
STIGMA masyarakat terhadap penghidap HIV yang kononnya boleh berjangkit menyebabkan ramai pesakit takut dan putus harapan untuk meneruskan hidup. Tanggapan negatif inilah yang membuatkan ramai pesakit tekad, merahsiakan selain malu untuk tampil mendapatkan rawatan.
Pakar Perunding Perubatan Keluarga di Klinik Kesihatan Sandakan, Dr. Zaiton Yahaya berkata, sekiranya jangkitan HIV dapat dibendung dan penghidap virus ini mendapat rawatan awal, mereka boleh hidup berkeluarga dan melahirkan anak.
“Walaupun masih belum ada ubat yang boleh mengubati penghidap virus HIV namun jika mereka dapat mengawal tahap kesihatan dengan mematuhi nasihat dan rawatan, ia akan menurunkan paras virus HIV ke tahap rendah. Jika mereka disiplin dalam pengambilan ubat, mereka mampu hidup normal seperti orang lain.
“Penting untuk kita ubah stigma agar tidak melabel mereka kerana tidak semua pesakit dijangkiti berpunca daripada diri sendiri sebaliknya ia dapat secara langsung daripada orang lain.
“HIV bukan sahaja disebabkan dadah dan hubungan seks rambang tetapi ia berkemungkinan mendapat virus ini melalui suami yang melanggan pelacur atau pendermaan organ atau darah dan sebagainya.
Dengan mengubah stigma, kita dapat menyokong pesakit HIV supaya mereka dapat bekerja dan menjalani kehidupan seperti orang normal dan berdikari,” katanya.
Sabah dalam senarai lima negeri tertinggi bilangan kes jangkitan HIV dan penyakit AIDS di Malaysia. Satu dalam dua kes HIV berlaku di negeri ini terdiri daripada golongan homoseksual dan heteroseksual. Data turut menunjukkan lebih 90 peratus daripada mereka adalah lelaki yang mengamalkan hubungan seks sejenis.
Trend peningkatan kes jangkitan HIV juga amat membimbangkan kerana turut membabitkan remaja lelaki berumur 13 hingga 19 tahun. Data Kementerian Kesihatan menunjukkan Sabah hanya mencatatkan sebanyak 3.6 peratus daripada 100,000 penduduk bersamaan hampir empat daripada 100,000 penduduk dijangkiti HIV/AIDS di Sabah sehingga Jun 2019.
Sehingga Disember 2020, seramai 125,878 pesakit HIV/AIDS telah berdaftar di seluruh negara untuk mendapatkan penjagaan dan rawatan.
Kemiskinan menyukarkan pesakit mendapat rawatan
RAMAI dalam kalangan pesakit HIV ingin mendapatkan rawatan di hospital namun kekangan yang dihadapi oleh mereka adalah masalah kewangan.
Halangan itu kata Dr. Zaiton, menyebabkan ramai pesakit yang ingkar dan tidak datang untuk mendapatkan rawatan terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman mempunyai masalah kewangan untuk mendapat khidmat nasihat dan rawatan.
“Saya mengenalpasti bahawa kemiskinan yang teruk menjadi batu penghalang kepada pesakit luar bandar untuk mendapatkan rawatan selain. Batasan sosioekonomi merupakan faktor utama pesakit-pesakit kronik tercicir dalam mendapatkan rawatan kerana kos tambang untuk ke hospital atau klinik kerajaan.
“Di Sabah terdapat pesakit di luar bandar seperti di Kunak, Semporna yang jaraknya beratus kilometer ke hospital manakala di Sandakan yang tinggal di pulau-pulau pula terpaksa menaiki bot untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Dr. Zaiton yang juga pengasas SAGA berkata, sejak membantu penghidap HIV dan AIDS hampir 15 tahun di Sabah dalam memberikan kesedaran dan khidmat nasihat, ramai yang berani tampil membuat pemeriksaan dan mendapatkan rawatan.
“Sejak perkhidmatan ini diperkenalkan pada 2007 di Sandakan, seramai lebih 400 pesakit telah didiagnos di klinik ini.
“Saya telah banyak memberi kesedaran tentang HIV, penyakit kronik, khidmat nasihat, menyalurkan ubat-ubatan yang sesuai serta menyediakan bantuan kewangan kepada pesakit khususnya di pantai timur Sabah. Kami mahu membina kesedaran yang lebih tinggi tentang HIV dan AIDS dalam kalangan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau menambah, untuk mengelakkan penambahan jumlah keciciran pesakit, Program Akses Kesihatan Sabah (SHAPE), yang merupakan program subsidi tambang perjalanan dan menyediakan bantuan kewangan kepada pesakit kronik di kawasan luar bandar kurang berkemampuan bagi menjalani rawatan di hospital atau klinik kerajaan di Sabah perlu diperluaskan.
Di bawah SHAPE, pesakit akan menerima subsidi tambang perjalanan sehingga RM150 setiap kali mendapatkan rawatan. Jumlah bantuan dikategorikan mengikut jarak perjalanan dari rumah ke hospital atau klinik, dengan jumlah tetap diperuntukkan untuk setiap zon. Selain mendapat manfaat daripada golongan sokongan, bengkel serta kaunseling.










