Alat bantu OKU penglihatan berlari - Utusan Malaysia

Alat bantu OKU penglihatan berlari

Wan Muadzam (belakang) membantu pelajar OKU menggunakan alat bantu berlari, CABALLUS RAFVI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Percaya kekurangan bukan penghalang, menjadi titik tolak kepada Guru Pendidikan Khas, Wan Muadzam Wan Abidin untuk membangunkan inovasi alat bantu berlari untuk kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan.

Pendidik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Klang itu berkata, inovasi yang dijenamakan sebagai CABALLUS RAfVI itu merupakan salah satu alat yang dikategorikan sebagai alat teknologi sokongan untuk pelari golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan terhad.

“Alat itu berfungsi sebagai alat sokongan khusus untuk OKU penglihatan berlari atau jogging. Secara umumnya alat ini memerlukan OKU dan seorang pembantu pelari (Running Guider) sebagai mengarah navigasi dan mobiliti.

“Melalui alat ini pelari OKU akan dibantu dalam navigasi, mobiliti terarah dan penstabil dengan kebebasan kelajuan berdasarkan kemampuan pelari OKU tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Wan Muadzam merupakan salah seorang daripada 10 finalis pertandingan Malaysia Teacher Prize.

Pertandingan yang julung kali diadakan di negara ini itu bertujuan untuk memberi pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa mereka dalam usaha mendidik anak-anak muda di negara ini yang dianjurkan oleh PEMIMPIN GSL dengan sokongan YTL Foundation.

GALAK BERSUKAN
Berkongsi idea awal mengenai alat ciptaanya itu, Wan Muadzam berkata, segala-galanya bermula berdasarkan daripada pengalamannya sendiri sebagai seorang guru pendidikan khas.

“Setiap kali latihan olahraga, guru perlu berlari bersama murid dan jika ada tiga orang murid, maka guru perlu melakukan tiga kali pusingan larian.

“Kaedah konvensional lain pula memerlukan murid OKU penglihatan memegang tali atau bahu. Ini adalah satu kesukaran bagi guru untuk melaksanakan secara bersama dan lebih berkesan,” kongsinya.

Oleh itu, jelasnya, dari situ timbul keperluan untuk membangunkan satu alat sokongan yang membantu dan memudahkan latihan untuk anak-anak istimewa.

Selain itu, katanya, dia juga terpanggil untuk mencari peluang sebaik mungkin bagi melibatkan anak istimewa dalam bidang sukan seperti murid normal yang lain.

“Sebagai seorang jurulatih, salah satu tugas kita adalah menjadi seorang yang sentiasa memberi peluang kepada murid untuk berimpian.

“Salah seorang atlet ketika itu, menyampaikan impiannya untuk terlibat dalam larian ria (Fun Run) dan agak sukar untuk golongan buta berlari bersama guider dengan selamat yang akan dikerumuni ramai peserta lain. Oleh itu, alat yang dapat memberi kestabilan sangat diperlukan.

“Di situlah alat sokongan ini mulakan dicipta dengan konsep, memudahkan dalam latihan, selamat dalam menyertai aktiviti yang disertai ramai orang dan memberi peluang OKU terlibat secara khusus dalam semua program,” katanya.

CABALLUS RafVI MELALUI DUA EDISI CIPTAAN
Edisi pertama bermula pada penghujung 2019 manakala versi kedua mula disiapkan pada Februari 2020.

Ia telah pun digunakan secara aktif pada awal tahun 2020 sebelum wabak Covid-19 melanda negara.

Mengulas lanjut, Wan Muadzam berkata, alat bantu itu dicipta dengan mengambil konsep kuda melalui gabungan rekaan troli dan kereta sorong bayi serta begitu mudah digunakan bagi setiap kategori.

Alat berkenaan juga direka dengan saiz besar yang boleh memuatkan dua murid dalam satu-satu masa.

Melalui alat itu golongan sasaran dapat berlari dengan navigasi yang betul, stabiliti yang baik dan dapat bermobiliti dengan betul.

Golongan sasaran turut dapat berlari dengan yakin dengan adanya teman larian celik.

“Dalam Pendidikan Jasmani, terdapat beberapa standard pembelajaran memerlukan murid OKU penglihatan untuk berlari serta melakukan aktiviti bermobiliti.

“Alat seperti ini memberi mereka peluang dan pengalaman yang boleh menarik minat mereka untuk bersukan,” ujarnya lagi.

Alat itu juga boleh membantu guru dalam mencapai standard pembelajaran dengan baik dan mengaplikasikan pembelajaran merentas kurikulum serta membolehkan murid OKU penglihatan terlibat secara langsung seperti murid arus perdana yang lain.

Fleksibiliti alat itu turut membolehkan ia berfungsi bukan sahaja kepada golongan OKU penglihatan, malah ia juga boleh digunakan oleh murid yang mempunyai masalah fizikal seperti kaki tidak sama rata atau kudung.

Terkini, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk menambah baik inovasi yang dibangunkan untuk meningkatkan bilangan murid berkeperluan khas dalam bidang sukan.

Harapan beliau untuk melihat lebih ramai OKU penglihatan terutamanya dalam kalangan murid di sekolah rendah, mendapat pendedahan dalam latihan larian dan dapat menyertai sukan larian berdasarkan minat masing-masing.

“Saya mencadangkan agar ada pihak yang sudi menyumbang dana dalam mencipta alat ini supaya ia mampu dikomersialkan secara percuma pada masa akan datang.

“Cara membina dan menggunakan akan disertakan dan terus boleh digunakan oleh murid atau golongan OKU penglihatan. Pendedahan pengajaran turut perlu diberi kepada semua sekolah yang terlibat,” cadangnya.

Inovasi itu turut menerima beberapa pengiktirafan antaranya Anugerah Tokoh Hari Penglihatan Sedunia 2021 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Anugerah Kreatif di sambutan Hari OKU Kebangsaan 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN