Sejarah nabi sebelum dilantik Rasul - Utusan Malaysia

Sejarah nabi sebelum dilantik Rasul

rombongan pelajar Ruwaq Jawi bergambar kenangan di hadapan rumah tempat kelahiran Nabi Muhammad SAW yang kini dijadikan sebagai perpustakaan di Mekah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bersempena Rabiulawal, saya ingin mencoretkan kepada pembaca ringkasan detik-detik penting sepanjang kehidupan awal Rasulullah SAW. Ini agar para pembaca dapat mengulangkaji secara cepat berkenaan dengan fakta-fakta penting sepanjang kehidupan Rasulullah SAW.

Pada tahun 570 Masihi, ayahanda Rasulullah SAW iaitu Saidina Abdullah bin Abdul Muttalib meninggal dunia semasa baginda berusia 25 tahun. Pada tahun ini juga tentera bergajah pimpinan Abrahah al-Asyrom datang dari Yaman ke Mekah dengan tujuan merobohkan Kaabah namun mereka telah dikalahkan oleh Allah.

Tahun ini jugalah menyaksikan kelahiran agung Nabi Muhammad SAW pada Isnin bersamaan 12 Rabiulawal di Mekah di rumah ayahanda baginda.

Rumah yang begitu bermakna ini pada hari ini dijadikan sebagai perpustakaan dengan nama Maktabah Makkah.

Pada 572 Masihi, iaitu 38 tahun sebelum baginda diutus sebagai rasul, Rasulullah SAW dibawa oleh Saidatina Halimah al-Sa’diyyah keluar dari Mekah menuju perkampungan Bani Sa’d.

Semasa berada di perkampungan ini, malaikat Jibril membelah dada Nabi SAW lalu mengeluarkan jantung baginda seterusnya dibasuh. Peristiwa yang sangat ajaib ini berlaku ketika baginda berusia empat tahun.

Empat tahun kemudian, Rasulullah SAW bersama ibu baginda, Saidatina Aminah binti Wahb bermusafir dari Mekah ke Yathrib (nama lagi bagi Madinah) untuk menziarahi pusara Saidina Abdullah bin Abdul Muttalib. Ketika itu baginda berusia enam tahun.

Usai menziarahi pusara ayahanda tercinta, baginda dibawa pulang ke Mekah. Namun Allah telah mengambil ruh sang ibu yang mulia sewaktu mereka berada di al-Abwa. Maka seawal usia 6 tahun, Rasulullah SAW kehilangan ibu tercinta.

Setelah tiba di Mekah, datuk Nabi SAW iaitu Saidina Abdul Muttalib bin Hasyim mengambil tugas menjaga cucu yang dimuliakan oleh Allah SWT.

Pada tahun 578 Masihi, Abdul Muttalib pula meninggal dunia lalu salah seorang bapa saudara Rasulullah SAW yang dikenali dengan panggilan Abu Talib mengambil tugas menjaga Nabi SAW yang ketika itu berusia lapan tahun.

Tanda kenabian
Semasa berusia 12 tahun, Rasulullah SAW dibawa oleh Abu Talib menyertai kafilah perniagaan Quraisy pada musim panas ke Syam. Semasa kafilah perdagangan ini tiba di Busro iaitu di lokasi biara seorang rahib Nasrani yang bernama Buhayro, sang rahib telah mengesan tanda-tanda kenabian pada diri baginda berdasarkan maklumat-maklumat yang tercatat di dalam kitab-kitab suci yang lama.

Lalu Buhairo meminta Abu Talib agar terus membawa Rasulullah SAW pulang ke Mekah supaya golongan Yahudi di Syam tidak bertemu dengan baginda kerana dikhuatiri mereka akan membunuh Nabi SAW.

Rasulullah yang berusia 20 tahun itu menyertai peperangan al-Fijar bersama-sama bapa-bapa saudara baginda yang lain. Walaupun begitu baginda tidaklah turut sama menghunus senjata membunuh tentera musuh.

Selepas empat bulan peperangan al-Fijar, Rasulullah SAW menyertai bapa-bapa saudara baginda dalam perjanjian al-Fudhul. Perjanjian ini adalah sumpah setia golongan Quraisy untuk memberikan kemenangan kepada sesiapa sahaja yang dizalimi.

Pada tahun 595 Masihi pula, Rasulullah SAW bermusafir ke Syam untuk menjual barang dagangan milik Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Pada tahun ini juga setelah pulang dari Syam, baginda mengahwini Khadijah yang ketika itu berusia 40 tahun manakala baginda pula berusia 25 tahun.

Kira-kira lima tahun sebelum baginda diutus sebagai rasul, berlaku banjir besar di Kaabah menyebabkan bangunannya rosak. Setelah berbincang, golongan Quraisy membina semula bangunan Kaabah.

Mereka juga bersetuju untuk melantik Rasulullah SAW sebagai pemutus kepada isu perletakan al-Hajar al-Aswad di tempat asalnya di bangunan Kaabah. Rasulullah SAW ketika itu berusia 35 tahun.

Ketika Nabi SAW berusia 38 tahun, baginda telah mula beribadat secara seorang diri di Gua Hira’. Baginda juga sudah mula direzekikan mimpi-mimpi yang benar bahkan ada batu di Mekah telah memberikan salam kepada baginda dengan menyatakan bahawa baginda adalah seorang nabi.

Tahun Pertama Perutusan sebagai Rasul
Sewaktu Rasulullah SAW berusia 40 tahun, baginda menerima wahyu kali pertama ketika berada di Gua Hira’. Setelah Rasulullah SAW pulang ke rumah, Saidatina Khadijah membawa baginda bertemu Saidina Waraqah bin Nawfal iaitu sepupunya.

Setelah mendengar peristiwa penurunan wahyu yang dialami oleh Rasulullah itu, Saidina Waraqah dengan penuh yakin menyatakan bahawa baginda adalah rasul untuk umat ini.

Pada tahun ini jugalah berlaku pengislaman Saidina Abu Bakar, Saidina Ali Abu Tolib, Saidatina Khadijah binti Khuwaylid dan Saidina Zayd Harithah.

Setelah Rasulullah SAW mula menyampaikan dakwah Islam secara sembunyi-sembunyi, beberapa sahabat utama baginda memeluk Islam iaitu Saidina Uthman Affan, Saidina al-Zubair al-Awwam, Saidina Abdul Rahman Auf dan Saidina Talhah Ubaydullah.

Mereka memeluk Islam hasil dakwah yang disampaikan oleh Saidina Abu Bakr al-Siddiq. Dalam era ini jugalah puteri bongsu Rasulullah SAW iaitu Saidatina Fatimah al-Zahrah dilahirkan.

Dalam fasa zaman ini jugalah beberapa lagi sahabat utama Rasulullah SAW memeluk Islam iaitu Saidina Abu Ubaydah al-Jarroh, Saidina al-Arqam bin Abu al-Arqam, Saidina Ubaidah al-Harith, Saidina Sa’id Zayd, Saidina Ja’far Abu Talib, Saidina Khabbab al-Arott, Saidina Abdullah Mas’ud, Saidatina Fatimah al-Khattab, Saidina Mus’ab Umayr, Saidina Uthman Maz’un dan dua beradik beliau iaitu Saidina Qudamah dan Saidina Abdullah.

————————

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN