MERAIKAN ulang tahun ke-44, baru-baru ini, pastinya penyanyi bersuara emas ini punya hasrat hatinya sendiri. Mungkin bukan untuk dikongsi secara dalam, tetapi dia cuma berbahagi cerita dan meluah rasa.
Mengungkap rasa syukur yang teramat dalam, Rossa menikmati setiap kurniaan Tuhan dengan seikhlasnya. Setiap apa yang berlaku, baik atau buruk ada hikmah tersendiri. Tidak mungkin hanya pahit datang bertamu.
“Setiap kali sambutan ulang tahun, saya mesti bekerja. Itu sudah menjadi kebiasaan. Tetapi, kali ini sangat istimewa apabila peminat seramai 30,000 orang yang hadir ke festival muzik di Lombok menyanyikan lagu sempena sambutan hari lahir saya.
“Saya rasa sangat istimewa. Apa lagi yang saya mahu hajatkan? Cuma, lebih kepada bersyukur. Pada usia baru ini, saya berharap diberi kesempatan untuk berkongsi lebih banyak karya dengan semua.
“Semoga kerjaya seni saya lebih bersinar dan lagu saya didengari di setiap pelosok dunia. Paling penting, diberi kesihatan yang baik. Selebihnya, biar hanya saya yang tahu,” jawab penyanyi Pudar ini.
Lantas soalan memutar arah ke topik pasangan hidup. Menyambut pertanyaan dengan gelak tawa, kongsi Rossa, isi doanya tetap sama saban tahun. Semoga dipertemukan dengan lelaki kiriman Tuhan.
“Kalau boleh saya mahu yang kacak! Tetapi sejujurnya, biarlah dikirimkan lelaki yang baik hati. Pintar dan mampu membawa saya serta keluarga bertemu kebahagiaan dunia akhirat. Kacak itu bonus.
“Tetapi, masih belum ada. Kita doa sama-sama,” katanya yang sudah 13 tahun hidup sendiri bersama anak kesayangan, Rizky Langit Ramadhan, 16.
ROSSA: 25 SHINING YEARS
Membuka gelanggang bicara tentang konsert Rossa 25 Shining Years yang bakal berlangsung, Rabu ini, Rossa sudah bersedia untuk beraksi di pentas Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Namun jelasnya, beberapa lagu masih dalam perbincangan berikutan ada di antara lagu pilihan tidak begitu popular di sini. Dia masih memilih beberapa lagu lain sebagai pengganti.
“Banyak lagu yang berubah. Ada lagu yang memang terkenal di Indonesia, tetapi tidak dikenali peminat Malaysia. Memang kami dalam fasa terakhir menyusun lagu yang bakal dipersembahkan nanti.
“Ada juga idea menarik yang secara tiba-tiba muncul ketika sesi perbincangan. Tetapi, rundownnya sudah selesai. Ada pakaian baharu yang bakal disarung dan pernah dipakai ketika konsert di Indonesia,” katanya.
Ditanya tentang lagu pilihan untuk dinyanyikan bersama Hael Husaini, Rossa mengunci mulut.
“Saya sudah memilih, pastinya lagu saya. Tetapi lagu apa, rahsia. Saya sudah menonton persembahan Hael di YouTube dan sedikit sebanyak tahu suara serta karakternya. Jadi, lagu itu sangat cocok dengannya,” katanya.
Penyanyi kelahiran Jawa Barat itu juga berkongsi berita gembira apabila harga tiketnya diturunkan bagi memberi peluang kepada peminat yang mungkin tidak berkemampuan mendapatkannya pada harga istimewa.
“Memang kita buat tawaran istimewa untuk beri peluang peminat membeli tiket dengan harga lebih murah. Saya harap semua orang dapat menikmati konsert ini dengan gembira dan teruja.
“Kita sudah membuka kategori baharu untuk tawaran tersebut. Beberapa kategori dengan harga lebih mahal sudah habis terjual. Saya mahu lebih ramai mampu mendapatkan tiket dan menyanyi bersama nanti,” katanya.
Jelas teruja dan tidak sabar untuk beraksi, Rossa juga menjadikan konsert itu sebagai pentas melepas rindu selepas hampir lima tahun tidak mengadakan persembahan berskala besar di sini.
“Saya sangat teruja. Perjalanan seni selama 25 tahun akhirnya dapat dicerminkan di atas pentas di Kuala Lumpur. Ketika 2017 dan 2019, saya tidak sempat mengadakan konsert di sini. Jadi, inilah peluang untuk membalas rindu.
“Kalau hendak cerita tentang kelainan, pastinya ada sesuatu yang berbeza bakal dipersembahkan. Dari segi pemilihan lagu, susunan muzik dan penampilan artis jemputan, ada kelainannya. Nantikan,” ujarnya.











