KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tiada hak untuk mengambil alih Perikatan Nasional (PN) sekiranya Pas meninggalkan gabungan itu dan membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
Setiausaha kepada Presiden Pas, Mohd. Syahir Che Sulaiman berkata, sebarang keputusan berkaitan keanggotaan Majlis Tertinggi perlu diputuskan menerusi mesyuarat gabungan berkenaan.
“Apa jua bentuk pendekatan, tindakan, langkah politiknya, nak dilantik Pengerusi, nak dilantik ahli Majlis Tertinggi, semua kena masuk dalam mesyuarat.
“Jadi bergantung pada keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi. Saya nak komen pun di luar bidang kuasa,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Bersatu bersedia mengambil alih sepenuhnya kepimpinan PN sekiranya Pas membuat keputusan meninggalkan gabungan tersebut bagi membentuk kerjasama politik dengan BN.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr. Afif Bahardin berkata, partinya tidak gentar atau bergantung semata-mata kepada Pas, memandangkan asas penubuhan PN sejak awal diterajui oleh Bersatu.
Katanya, hala tuju politik tanah air kini semakin jelas selepas BN memperlihatkan hasrat parti tersebut untuk berpakat hanya dengan Pas tanpa melibatkan parti komponen PN yang lain.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Bachok itu berkata, dakwaan Pas bakal diberikan tujuh kerusi dalam rundingan kerjasama dengan BN belum menggambarkan keputusan muktamad.
Katanya, jumlah sebenar hanya akan ditentukan selepas rundingan antara kepimpinan tertinggi kedua-dua pihak.
Ujarnya, pelbagai andaian mengenai pembahagian kerusi sebelum rundingan adalah perkara biasa kerana setiap pihak akan mengemukakan tuntutan masing-masing.
“Sebelum rundingan itu, masing-masing akan bercakap, meletakkan harga yang tinggi. Jadi apabila duduk di meja perundingan itu, kita akan lihatlah bagaimana pemimpin-pemimpin tertinggi kita menguruskan perbezaan dan pastinya akan ada kompromi sedikit sebanyak itu,” katanya.-UTUSAN











