TIUPAN saksofon Jaffar Abd Rahman atau lebih dikenali sebagai Jari yang muncul mengiringi model memperagakan busana berasaskan tekstil tradisional seperti tenun, batik dan songket memukau kehadiran kira-kira 1,000 penonton.
Program amal The Cloth Concert anjuran Persatuan Veteran RTM (PVRTM) di Putrajaya, baru-baru ini, benar-benar bermakna buat bekas petugas stesen penyiaran kerajaan itu.
Majlis diserikan dengan acara peragaan fesyen daripada nama terkenal seperti Datuk Tom Abang Saufi, Salikin Sidek, Rizman Ruzaini, Calvin Thoo dan Zang Toi.
Selain 21 pereka fesyen memperagakan koleksi masing-masing, majlis gilang-gemilang diserikan dengan persembahan lapan artis popular seperti Anuar Zain, Ning Baizura, Stacy, Datin Alyah, Noryn Aziz, Azlina Aziz dan MimiFly.
Kehadiran Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman yang mencemar duli ke konsert amal tersebut tambah lebih bermakna kerana baginda merupakan Penaung Diraja PVRTM.
Ketika bertitah, baginda berharap dana yang dikumpul menerusi tabung itu dapat digunakan dan diagihkan sebaiknya secara telus, adil serta saksama demi meringankan beban ahli PVRTM yang sangat memerlukan.
JAGA KEBAJIKAN
PVRTM yang ditubuhkan sejak dua dekad lalu masih berpegang teguh dengan visinya menjaga kebajikan ahli.
Presidennya, Zohara Gany Bathusha berkata, persatuan itu akan terus berusaha melaksanakan program yang dapat mengumpul dana bagi mengisi tabung kebajikan untuk meringankan beban ahli.
Untuk itu, jelasnya, pihaknya akan melancarkan skim insurans kesihatan untuk ahli yang ditimpa sakit atau kemalangan serta memerlukan kos rawatan tinggi.
“Perbincangan awal sudah dilakukan dengan sebuah agensi insurans. Jika segalanya dipersetujui, rancangan itu mungkin dapat direalisasikan pada awal tahun hadapan.
“Kita sedar ramai ahli PVRTM tiada pencen atau kemudahan insurans. Situasi ini akan menyukarkan mereka mendapatkan rawatan di hospital kerana perubatan sangat tinggi.
“Jika mereka mempunyai anak-anak yang berada, mungkin mudah. Namun, jika anak-anak bekerja biasa sudah tentu keadaan jadi lebih rumit,” katanya.
Difahamkan, majlis yang menggabungkan elemen muzik dan fesyen itu hanya akan mengumumkan jumlah kutipan terkumpul berdasarkan jualan meja selepas proses audit selesai dijalankan.
Program berlangsung hampir tiga jam dihoskan oleh bekas penyampai Radio 4 RTM, Datuk Yasmin Yusoff, manakala rakaman konsert tersebut akan disiarkan di RTM, bulan depan.
PVRTM yang didaftarkan pada 1996 mempunyai lebih 1,200 ahli daripada semua bidang termasuk penerbitan, teknikal dan perkhidmatan sokongan.











