Pergerakan betul bantu redakan sakit sendi - Utusan Malaysia

Pergerakan betul bantu redakan sakit sendi

Menggerakkan dan melatih sendi yang terjejas boleh meningkatkan kekuatan tangan serta meningkatkan mobiliti jari dan ibu jari. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aktiviti seharian seperti berdiri atau membongkok kedengaran mudah, namun ia boleh mengundang kesakitan yang serius bagi penghidap penyakit artritis. Umumnya, artritis lebih kerap terjadi kepada orang yang lebih berusia. Namun golongan muda lingkungan 20-an juga berisiko mengalami artritis dan gejala dialami bertambah buruk apabila usia meningkat.

Artritis kekal sebagai penyebab utama kesakitan dan ketidakupayaan di seluruh dunia. Ia merangkumi lebih daripada 100 jenis artritis dan penyakit berkaitan.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit mendedahkan, lebih daripada satu pertiga orang dewasa menghidap artritis melaporkan bahawa penyakit tersebut mengakibatkan aktiviti masa lapang dan pekerjaan mereka terbatas manakala 25 peratus daripadanya mengakui ia menyebabkan kesakitan yang teruk.

Ada dua jenis penyakit artritis iaitu degeneratif dan radang. Kedua-dua jenis ini menyebabkan kesakitan yang sangat teruk jika tidak dirawat.

Artritis Degeneratif

Terjadi disebabkan sendi yang haus dan lusuh. Ia biasanya tidak simetri kerana ia hanya menjejaskan sendi tertentu pada satu bahagian badan. Apabila seseorang menggunakan sendi secara berlebihan, misalnya lutut atau bahu, mereka cenderung mendapat artritis degeneratif yang akan menjejaskan pergerakan mereka.
Artritis degeneratif lebih tertumpu pada sendi dan menunjukkan gejala seperti sakit, kekakuan sendi, bengkak dan kemerahan. Simptom kesakitannya adalah mekanikal, di mana rasa sakit akan bertambah teruk sekiranya berlaku pergerakan dan akan beransur lega apabila berehat. Kesakitan semasa melakukan aktiviti, menyebabkan pesakit mengalami kesukaran dalam melaksanakan tugas harian.

Keradangan Artritis (IA)

Merupakan kumpulan penyakit sendi dengan radang sendi sebagai ciri utama. Ciri-ciri radang sendi termasuklah rasa sakit semasa rehat, kekakuan sendi pada awal pagi, bengkak sendi yang adakalanya menyebabkan kemerahan pada kulit. Ia boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor, misalnya kecederaan akut, jangkitan, atau disebabkan sistem imun terlalu aktif yang menyerang sendi (juga dikenali sebagai penyakit autoimun). Dalam kebanyakan kes artritis yang berkait dengan sistem imun, tindak balas imun semula jadi tidak tahu bagaimana membezakan dirinya daripada bahan asing, sekali gus menyebabkan keradangan berterusan dan seterusnya mengakibatkan kerosakan sendi kekal.
Keradangan artritis boleh menjejaskan pelbagai sendi secara serentak dan simetri. Gejala sistemik seperti keletihan adalah perkara biasa.

Rawatan:

Prinsip rawatan memerlukan pengurusan sesuai melibatkan:
Mengenal pasti diagnosis yang betul

Menghalang keradangan (kerana keradangan yang berpanjangan boleh menyebabkan kerosakan struktur)

Mengawal kesakitan dan gejalanya

Memelihara fungsi sendi dan mengekalkan kualiti hidup

Sesetengah keadaan hanya memerlukan langkah mudah seperti senaman dan fisioterapi, manakala sebahagiannya pula mungkin memerlukan kes pembedahan. Kebiasaannya rawatan terapi perubatan diberikan bagi merawat pelbagai jenis radang artritis. Oleh itu, pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada perunding kesihatan.

Berikut adalah beberapa langkah umum bagi menangani pelbagai bidang artritis degeneratif:

Pengurusan:

*Berat badan berlebihan atau obesiti memberikan beban tambahan dan tekanan pada sendi. Mulakan program senaman seperti berjalan kaki atau melakukan senam robik. Lakukan aktiviti berimpak rendah bagi mengurangkan ketegangan pada sendi.

Menggerakkan dan melatih sendi yang terjejas boleh meningkatkan kekuatan tangan serta meningkatkan mobiliti jari dan ibu jari.

Kunci kepada setiap senaman adalah untuk mengelakkan terlalu banyak tekanan pada kawasan yang terjejas.

Sebagai alternatif, anda boleh berunding dengan ahli terapi tangan untuk menetapkan senaman yang paling sesuai untuk tangan anda.

*Pemakanan yang sihat mengurangkan keradangan dan tekanan pada sendi. Penambahan minyak ikan yang kaya dengan asid lemak omega-3 dan vitamin D3 mampu mengurangkan sakit arthritis dan bengkak sendi.

Jika senaman atau perubahan gaya hidup tidak lagi berkesan, doktor mungkin akan mengesyorkan pembedahan. Pilihan pembedahan termasuk pelapisan semula pinggul dan penggantian pinggul.

Artikel ini sumbangan Pakar Perunding Rheumatologi, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Cheah Chee Ken sempena Hari Artritis Sedunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN