KEGHAIRAHAN sesetengah stesen televisyen mengutamakan pempengaruh yang mempunyai jumlah pengikut besar di media sosial membentangkan jalan pintas kepada kelompok tersebut menembusi industri hiburan.
Meskipun bakat belum terbukti, ‘lesen besar’ yang mereka peroleh itu mencetuskan ketidakpuasan hati segelintir pelakon yang terpaksa menempuh laluan berliku untuk menggapai cita-cita membawa watak utama.
Bukan dengki, jauh sekali mempertikai rezeki mereka. Namun, memadaikah hanya berbekalkan jumlah pengikut media sosial yang mencecah ratusan ribu lalu mereka diberi peluang itu?
Bagaimana pula dengan bakat dan kemampuan mereka ketika beraksi di depan kamera? Apakah mereka mampu memberikan penghayatan seperti yang dituntut dalam skrip?
Bagi pengarah, Badaruddin Azmi atau Bade, dia tidak pernah bersetuju mengambil mana-mana pempengaruh media sosial yang belum terbukti kemampuan untuk membawa watak utama.
Bade berpendapat, tidak semua mereka mempunyai bakat dan kredibiliti untuk menjadi pelakon, malah pemilihan kelompok tersebut hanya menambahkan masalah serta mengganggu proses penggambaran.
“Tidak semua influencer berbakat dan mempunyai asas dalam bidang lakonan. Disebabkan itu, saya kurang bersetuju jika ada dalam kalangan mereka yang terus ditawarkan sebagai pelakon.
“Saya pernah bekerja dengan influencer yang langsung tidak boleh berlakon. Tidak adil untuk salahkan mereka sepenuhnya kerana ia adalah permintaan penerbit dan stesen televisyen.
“Saya tiada masalah jika mereka berbakat seperti Sharifah Rose. Tetapi, majoriti (influencer) memang tidak boleh berlakon,” kata pengarah yang memberikan sentuhannya untuk drama terbaru, Dosa Tak Terampun itu.
Bade turut mencadangan agar penerbit atau stesen TV menilai pelakon yang mereka pilih untuk satu-satu projek drama dan filem serta tidak ‘main ambil’ influencer hanya kerana mereka ada pengikut media sosial yang ramai.
“Saya faham ada sesetengah pempengaruh bercita-cita nak jadi pelakon, namun mereka perlu ada ilmu. Jangan jadikan dunia lakonan sebagai bidan terjun kerana ia melibatkan komitmen dan kesungguhan.
“Saya bangkang kalau ada utamakan populariti dan bakat asah kemudian sebab mentaliti sebegitulah yang boleh merosakkan industri,” tegasnya.
Kos rendah halang buat filem epik
“Kita belum mampu,”.
Itu pendapat Bade tentang kemampuan penggiat seni tempatan menghasilkan filem epik.
Katanya, banyak faktor yang membawa kepada perkara tersebut, antaranya kos pembikinan filem di negara ini yang hakikatnya, lebih rendah berbanding negara lain.
“Dana RM8 juta sekalipun tidak cukup menghasilkan setting yang besar kerana ia memerlukan pasukan produksi yang ramai. Itu belum dikira bayaran untuk pelakon lagi.
“Dulu, bawah RM5 juta cukup, tidak sekarang tidak sebab menghasilkan sebuah filem memerlukan ketelitian daripada pelbagai sudut,” katanya.
Mengenai Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Bade mengakui, filem itu berjaya menarik penonton kembali ke pawagam selepas aktiviti seni terhenti seketika kerana pandemik.
Bagaimanapun produksi tersebut belum mencapai standard filem epik sebenar.
“Saya tidak kagum dengan filem itu, meskipun ada yang menganggap ia menjadi penanda aras kepada filem tempatan lain sebab kita sudah boleh jangka bagaimana acuan Syamsul Yusof menggarap filem itu,” katanya.









