Gara-gara memilih untuk menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP) lapan tahun lalu, anak kelahiran Lumut, Perak itu sudah lali dengan kata makian dan cacian masyarakat hampir setiap hari.
Digelar pengkhianat bangsa, lupa daratan dan boneka kepada parti yang sinonim sebagai ‘parti Cina’ itu menjadi antara kata tohmahan yang perlu dihadam saban hari.
Malah, akui wakil rakyat itu, sehingga ke hari ini masih sahaja ada kata-kata nakal dan gangguan, khususnya daripada kaum Melayu yang tidak boleh menerima kenyataan bahawa dia memilih untuk menyertai parti yang di dominasi oleh kaum Cina.
Namun, memiliki personaliti diri yang teguh, kata makian itu sedikit pun tidak menggoyahkan apatah lagi mematahkan semangat anak keenam daripada tujuh beradik itu untuk terus berjuang dalam arena politik.
Malah, segala tohmahan dan hinaan berkenaan dijadikan sebagai kata-kata semangat untuk menjadi wakil rakyat yang menabur bakti kepada masyarakat.
“Saya terdetik menyertai DAP apabila dipelawa seorang rakan yang juga daripada parti berkenaan. Ketika itu parti berkenaan sedang membuka ruang untuk generasi muda turut serta berpolitik.
“Setelah menjalankan sedikit pembacaan dan berjumpa dengan wakil-wakil daripada parti berkenaan, saya bersetuju dengan prinsip yang dibawa oleh mereka dan menyahut peluang yang diberikan pada ketika itu,” katanya yang sebelum itu aktif menyertai aktivis dan demonstrasi jalanan.
Bercerita lanjut, wanita tinggi lampai itu berkata, di awal pembabitannya, pelbagai onak dan duri dilalui dengan statusnya sebagai seorang wanita yang masih muda.
Ketika menyandang jawatan sebagai ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPK) pada usia 27 tahun memperlihatkan masyarakat sekeliling seakan-akan mempersoalkan kebolehan dirinya dalam menjalankan tanggungjawab.
Malah, ada yang bersikap acuh tak acuh dengan pendapat dan kata-kata beliau pada ketika itu kerana merasakan mereka lebih berusia dan berpengalaman daripada dirinya.
“Menjadi ahli politik wanita yang muda tidak mudah kerana sering dipandang enteng dan dilayan acuh tak acuh kerana menganggap dianggap mentah.
“Persepsi dimainkan itu membuatkan saya perlu membina benteng diri yang kebal dan kuat untuk terus menapak dalam dunia yang telah saya pilih,” jelasnya lagi.
Ironinya, di sebalik segala pahit getir yang dilalui itu, figura yang pernah bekerjaya sebagai jururawat peribadi itu tetap optimis mahu lebih ramai wanita untuk menyertai politik.
Katanya, pembabitan wanita dalam politik memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan suasana politik baharu yang lebih harmoni.
Katanya, hal ini kerana wanita memiliki sifat empati dan simpati yang lebih besar dalam diri.
Sifat berkenaan amat penting dalam dunia politik kerana individu yang mempunyai empati dan simpati yang tinggi dalam diri akan berusaha untuk terus membangunkan polisi yang lebih baik untuk membantu golongan yang memerlukan.
“Saya percaya sehingga kini sikap patriarki masih meluas digunakan dan menganggap wanita tidak boleh menjadi pemimpin kerana sering beremosi.
“Sedihnya, persepsi ini bukan sahaja dimainkan lelaki, malah ada juga segelintir wanita yang bersetuju dengan pendapat berkenaan.
“Sedangkan, sifat empati dan simpati dalam diri wanita, membantu mereka bekerja dengan lebih baik untuk membantu rakyat. Tanpa sifat ini, ia akan membenihkan rasa keangkuhan dan sebagainya dalam diri,” katanya.
Malah, katanya, dalam jawatankuasa pusat tertinggi (CEC) parti DAP, menetapkan kuota sebanyak 30 peratus wanita bagi memastikan suara mereka didengari.
“Ini salah satu cara untuk mengangkat wanita di tempatnya. Oleh itu, saya harap lebih ramai wanita sertai politik tidak kira parti kerajaan atau pembangkang.
“Sangat penting untuk golongan ini terutamanya dalam kalangan orang muda untuk mengambil tahu berkenaan politik nasional dan semasa kerana isu politik ada di mana-mana sahaja,” jelasnya lagi.
Oleh itu, katanya, ahli politik perlu menunjukkan suri teladan yang baik supaya lebih ramai wanita berminat dan tidak takut untuk menyertai mana-mana parti politik.
‘Korbankan privasi’
Tampak gembira dan bahagia dengan jawatan yang dimiliki pada ketika ini, namun isteri kepada ahli perniagaan, Muhammad Edrin Nordin itu mengakui ‘harga’ yang dibayar juga cukup besar.
Terkenal dengan kejelitaan dan kecantikan wajah yang dimiliki, beliau sering mendapat perhatian terutamanya di media sosial.
Namun, menyedihkan, perhatian yang diberikan itu adakalanya berlebihan sehingga membuatkan beliau lebih berhati-hati untuk berkongsikan sesuatu di media sosial miliknya.
Katanya, netizen di media sosial pada ketika ini sangat garang dan sensitif sehingga semua perkara yang dimuat naik menjadi perbalahan dan tohmahan.
“Kadangkala apabila sudah bekerja sekian lama dan hendak berehat atau bercuti ke mana-mana rasa serba salah kerana takut akan ada yang beranggapan saya bersenang-lenang.
“Segala perkara dilakukan juga diperhatikan dan sering diberikan teguran walaupun sekadar bergurau sesama rakan. Tetapi, saya akui kadangkala salah saya sendiri memuatnaik hantaran yang boleh mencetuskan kekecohan,” ulasnya lagi.
Tidak hanya itu, mesej-mesej berbaur lucah dan berbentuk gangguan juga sering diterima daripada orang tidak dikenali.
Selain privasi, masa juga menjadi salah satu elemen yang sukar untuk diuruskan oleh wanita berkenaan.
Mujur, suami memahami tuntutan kerjaya dipilih oleh si isteri dan sentiasa menyokongnya dalam setiap langkah.
“Terutamanya menjelang pilihan raya umum (PRU) yang entah mungkin esok lusa, masa sangat padat sehingga tiada masa untuk melakukan aktiviti kegemaran seperti berbasikal.
“Adakalanya keluar pagi dan pulang malam, mujur suami faham. Itu pentingnya memilih teman hidup yang memahami,” ujarnya tersenyum.
KREDIT:
Pakaian: Ezuwan Ismail
Tudung: The.Ciks










