Lambakan konsert tak gugat rezeki artis - Utusan Malaysia

Lambakan konsert tak gugat rezeki artis

Jamal Abdillah dan Wany Hasrita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASIH segar dalam ingatan, ketika sesi temu bual bersama Utusan Malaysia sebelum ini, Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah pernah menyuarakan hasrat mengadakan sebuah konsert berskala besar.

Tetapi katanya, dia lebih selesa jika konsert itu menampilkan persembahannya secara solo, dengan alasan lebih mudah memilih konsep, menyusun lagu pilihan dan bekerja dengan kru produksi.

Namun, hajatnya kali ini berbeza. Dia teruja seandainya dapat beradu suara dengan bintang popular Indonesia, Judika. Namun, perancangan itu haruslah disusun sebaiknya. Tidak mahu ada cacat celanya.

“Saya berhajat untuk membawa Judika untuk bergabung suara dalam satu konsert. Kita semua sedia maklum, dia mempunyai suara dan vokal yang hebat. Saya rasa, gabungan kami pasti akan menghasilkan sesuatu yang berbeza.

“Tetapi, saya masih menunggu waktu sesuai. Perbincangan ke arah itu sudah ada. Saya ada berhubung dengan pihak pengurusan Judika. Kita menuju ke arah konklusi positif perbincangan itu.

“Cuma, sekarang saya terlalu sibuk dalam menjayakan 15 persembahan besar dalam masa sebulan. Kena susun betul-betul. Saya kena jaga suara dan kesihatan kerana buat konsert bukan main-main,” katanya.

Mengulas mengenai lambakan konsert artis luar negara yang dikatakan sedikit sebanyak mengganggu periuk nasi anak seni tempatan, penyanyi Azura ini punya pendapat berbeza.

Jelasnya, rezeki ditangan Allah malah lambakan konsert tidak menggugat periuk nasi mana-mana penyanyi.

“Tidak usah kita menyalahkan mana-mana pihak seandainya tiket konsert tidak terjual.

“Terpulang kepada peminat untuk membeli tiket siapa. Paling penting, suara. Nyanyian kena bagus, selari dengan populariti. Bila kita menyanyi, kena buat betul-betul. Beri kepuasan kepada pembeli tiket.

“Disebabkan itu, saya terbuka sekiranya ada pihak mahu menggandingkan saya dengan mana-mana penyanyi luar negara, terutama Judika. Ada kelebihannya. Pastinya itu sesuatu yang belum pernah saya persembahkan,” ujarnya.

ALBUM DUET WANY HASRITA
Membuka gelanggang bicara tentang kerjaya seni, legenda berusia 63 ini berhasrat menghasilkan album yang bakal membariskan 10 lagu bersama rakan duetnya, Wany Hasrita.

Setakat ini, mereka sudah merakam tiga buah lagu antaranya Belenggu Rindu, Ku Cuma dan yang terbaharu, Bakawali nyanyian asal Siti Nordiana dan Syura.

“Saya senang bekerja dengan Wany. Dia punya bakat nyanyian yang hebat dan sesuai dengan suara saya.

“Kami juga bakal melancarkan lagu rakaman semula, Bakawali. Ada yang cakap tidak sesuai saya menyanyikan lagu yang dipopularkan artis junior seperti Siti Nordiana dan Syura.

“Tetapi, ini bukan soal ego. Saya cuma mengikut perancangan syarikat pengurusan, FMC. Saya okay sahaja. Tidak timbul soal ego jatuh. Ini cuma satu projek istimewa dan saya juga suka lagu itu,” katanya.

KONSERT CANGGUNG
Bakal berkolaborasi dengan empat penyanyi lain seperti, Amelina, Khai Bahar, Amir Masdi dan Wany Hasrita menerusi Konsert Canggung, keterujaan Jamal terserlah, apatah lagi dia akan berduet dengan setiap penyanyi jemputannya.

Menggegarkan Dewan 2020, Kangar, Perlis pada 29 November depan, Jamal bakal mendendangkan 10 lagu popularnya dan lagu rakyat, duet bersama penyanyi jemputan.

“Pada mulanya, saya sebenarnya tidak tahu tentang konsert ini. Semuanya isteri saya yang uruskan. Tetapi, saya teruja apabila diberitahu akan berduet dengan artis muda seperti Khai Bahar dan Amir Masdi.

“Kami juga bakal menyanyikan lagu rakyat Perlis yang mungkin tidak ramai orang tahu. Kita akan membu­dayakan warisan negeri Perlis untuk diketengahkan dalam persembahan komersial,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×