Kritikan sosial Dosa Tak Terampun - Utusan Malaysia

Kritikan sosial Dosa Tak Terampun

Lakonan mantap Wan Maimunah dan Nad Zainal dalam telemovie Dosa Tak Terampun. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Banyak sebab mengapa Dosa Tak Terampun menjadi antara telemovie yang dinantikan peminat. Berdasarkan judul sahaja, kita sudah dapat menganggak corak cerita yang bakal disampaikan dan bentuk permainan emosi yang akan disajikan kepada penonton kelak.

Kekuatan telemovie ini bukan sahaja pada jalan cerita yang mengkritik sosial masyakat, malah lakonan mantap yang dipersembahkan pelakon-pelakon hebat disamping garapan sutradara tersohor, Bade Azmi.

Empat pelakon gred A bergandingan, Wan Maimunah, Ogy Ahmad Daud, Nad Zainal dan Syafie Naswip bakal menggegarkan telemovie istimewa ini.

Menurut Bade, hasrat untuk menghasilkan telemovie itu sudah lama disimpan. Tetapi, skripnya makan masa untuk disiapkan gara-gara penulis asal gementar dengan barisan pelakon yang merupakan nama-nama besar.

“Keadaan itu mengakibatkan penulis (skrip) bertukar dua kali. Sebagai pengarah, ini pertama kali saya mengalaminya.

“Saya suka idea telemovie ini, surreal. Tetapi cabarannya adalah bagaimana untuk menggarap jalan ceritanya.

“Bukan saya tertekan, ada sedikit ketakutan dalam diri saya, boleh atau tidak saya sampaikan ceritanya dengan jelas dan menarik,” katanya.

Tambah Bade, sebagai pengarah, bukan mudah untuk menggarap jalan cerita Dosa Tak Terampun kerana penceritaannya yang kompleks.

“Kebanyakan filem hari ini membawa penonton ke dunia lain dengan menggabungkan elemen-elemen seperti menggabungkan pelakon lama dan baru, dua latar masa, tempat dan banyak lagi.

“Konsep itu ada pada telemovie ini. Ogy dan Nad yang bergabung dalam dua latar masa berbeza. Saya suka, cuma saya banyak berfikir macam mana nak sampaikan.

“Bukan mudah menghasilkan telemovie ini. Sebagai pengarah, otak saya kena selalu fikirkan cara untuk mencipta babak-babak di dalamnya,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, Bade juga mengakui tempoh penggambaran yang singkat menjadi cabaran kepadanya dan kru produksi untuk menghasilkan telemovie tersebut tanpa menjejaskan kualitinya.

“Selain ceritanya luar biasa, tempoh penggambaran juga berbeza yang mana prosesnya hanya memakan masa enam hari sahaja.

“Jadi untuk memastikan penggambaran dibuat dengan teliti, saya tambah kamera, tambah baik skrip untuk fokus babak yang penting sahaja,” katanya.

Tampal batu di tapak kaki
Wan Maimunah menggalas cabaran berbeza, bagi menghidupkan watak Jamaliah, seorang ibu menanggung sengsara gara-gara anak derhaka.

“Jamaliah tidak menangis depan anak meskipun menanggung sakit akibat masalah kesihatan kronik. Dia beri segala kesenangan sehingga anaknya, adik (Nad Zainal) menjadi derhaka dan terjerumus dengan aktiviti tidak sihat.

“Karakter Jamaliah ini berat. Untuk merasai kesakitan yang dialaminya, saya menampal batu ditapak kaki supaya penonton dapat melihat bagaimana Jamaliah berjalan dalam kesakitan yang ditanggungnya.

“Saya tahu saya tidak cerdik kerana berbuat begitu. Tapi, mahu konsisten menjadi Jamaliah dan dengan cara inilah saya dapat berbuat demikian,” katanya.

Kata Wan Maimunah, telemovie tersebut sarat dengan pengajaran berharga yang boleh diteladani masyarakat masa kini yang berdepan krisis kekeluargaan.

“Cerita ini menarik, ia memberi teladan kepada kita semua. Saya banyak melihat dan mendengar banyak cerita, anak bunuh ibu gara-gara ketagihan najis dadah dan sebagainya.

“Kita tak boleh menuding jari, menyalahkan satu sama lain. Kita tahu, perkara sebegini berlaku disebabkan salah didikan, anak-anak terlalu dimanjakan, ditatang bagai minyak yang penuh,” ujarnyanya.

Watak berbeza
Keistimewaan telemovie ini adalah apabila ia dilakonkan oleh ramai pelakon hebat. Seniwati Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy Ahmad Daud antara nama besar yang bersetuju untuk menjayakan Dosa Tak Terampun.

Kata Ogy, antara sebab dia menerima tawaran berlakon telemovie berkenaan adalah kerana watak menuntut kebolehan maksimum seseorang pelakon.

“Junaidah adalah watak yang belum pernah saya lakonkan sebelum ini, banyak kajian yang saya buat tentang masalah mental. Saya tak sempat jumpa pakar sakit mental, jadi saya sendiri kena banyak membaca dan mengkaji.

“Junaidah berdepan masalah dengan anaknya, Jufri yang dilakonkan Syafie Naswip. Cara interpretasi situasi ini berbeza. Itu yang membuat kan saya bersetuju apabila ditawarkan watak ini.

“Watak ini kompleks dan emosinya berat. Saya suka kerana ia merangsang minda dan mengizinkan saya meneroka keupayaan lakonan saya. Lebih mencabar apabila watak saya tidak banyak berkata-kata, lebih banyak menggunakan bahasa tubuh,” ulasnya.

Selain watak berbeza, gandingan dengan pelakon Nad Zainal turut memberikan pengalaman baharu padanya.

“Ini pertama kali saya digandingkan dengan Nad. Wataknya di dalam drama ini adalah watak saya ketika muda. Nad membuat persiapan, itu membuat saya gembira.

“Untuk mencari persamaan itu, kami perlu cari keserasian dan banyak berbincang. Watak ini memerlukan saya dan Nad menonjolkan persamaan,” katanya.

Lakonan tidak dibuat-buat
Berilah apa watak sekalipun, pelakon hebat, Nad Zainal mampu menghidupkan dengan sebaik mungkin.

Bagaimanapun, kata Nad membawakan watak Adik dalam telemovie Dosa Tak Terampun menghadirkan cabaran lain berbanding watak antagonis yang pernah dilakonkannya sebelum ini.

“Watak-watak antagonis yang saya bawakan sebelum ini umpama latihan untuk membawakan watak adik.

“Ini pertama kali saya membawa watak anak derhaka. Saya akui kurang selesa dan risau apabila perlu berkasar dengan pelakon senior ketika berlakon demi menonjolkan sisi sebenar watak ini.

“Tetapi saya gembira, ibu (Wan Maimunah) dan semua pelakon sangat profesional, menggalakkan saya mengeluarkan emosi habis-habisan. Jadi lakonan dalam drama ini hidup, tidak dibuat-buat,” ujarnya.

Bercerita tentang Adik, Nad gembira kerana berupaya mentermahka ideanya sendiri tentang watak berkenaan.

“Watak ini berbeza. Bahasa tubuhnya, percakapan, pemakaian dan latar masanya berlainan. Anak derhaka, zaman dulu dan kini lain. Itu yang saya kena cari.

“Saya mahu watak ini kelihatan ‘busuk’. Itu cabaran paling besar, nak dapatkan busuk dan kampungnya watak ini. Mungkin penonton akan rasa rimas dan jelik tengoknya nanti. Tapi itu yang saya mahukan.

Dalam masa yang sama, dia juga cukup gembira kerana buat pertama kalinya berpeluang bekerjasama dengan Ogy dan Syafie dalam telemovie ini.

“Antara sebab saya menerima tawaran ini adalah kerana adanya Ogy Ahmad Daud dan Syafie Naswip.

“Saya tahu naskhah ini akan menjadi satu karya berkualiti apabila diberitahu mereka juga akan berlakon dalam drama ini.

“Saya belum pernah berlakon bersama mereka dan ia menjadi hasrat yang telah pun tercapai,” ceritanya.

RUJUK PENAGIH HIDUPKAN WATAK
Pelakon, Syafie Naswip merujuk individu berdepan masalah ketagihan dadah jenis syabu bagi menghidupkan watak Jufri.

“Watak saya kali ini berbeza, seorang yang menghadapi tekanan mental dan menggunakan dadah jenis syabu sebagai penyelesaian.

“Saya terima skrip dua hari sebelum penggambaran. Tidak banyak persiapan yang saya lakukan, hanya berkesempatan menghubungi orang-orang yang pernah terlibat dengan penggunaan dadah jenis syabu.

“Ini pertama kali saya lakonkan watak penagih, jadi saya dapatkan maklumat tentang simtom, kesan, implikasi persekitaran, tindakan paling jahat pernah mereka buat dan banyak lagi. Maklumat-maklumat saya kumpul dan gunakan untuk hidupkan watak ini,” kongsinya.

Kata Shafie lagi, dia menyerahkan kepada penonton untuk menilai keberkesanan watak tersebut apabila telemovie itu ditayangkan nanti.

“Saya tak berani komen tentang kelainan sebab apa sahaja watak yang diberikan saya akan berikan ikut kemampuan. Penonton yang akan menilai sama ada watak ini lain atau pun tidak.

“Tapi saya akan berpada-pada dan beri keseimbangan agar tidak nampak cuba menenggelamkan watak lain dalam drama ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN