Kes culik sudah jadi satu trend? - Utusan Malaysia

Kes culik sudah jadi satu trend?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
SATU persatu timbul kes jenayah pemerdagangan manusia dan penculikan sehingga mendatangkan kebimbangan terutama kepada golongan ibu bapa.
Ini sekaligus memberi implikasi terhadap aspek sosial di negara ini di samping mencetuskan huru-hara dan mencemar reputasi kerajaan serta agensi penguatkuasaan.
Paling membimbangkan seandainya hebahan cerita turut bercampur bersama-sama berita palsu menerusi pelbagai saluran.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah bekas Ketua Polis Negara, TAN SRI MUSA HASSAN bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu, jurufoto, WAN REDZA WAN SHARMADI.

PEMERDAGANGAN MANUSIA

MINGGUAN MALAYSIA: Adakah semakin serius kes berkaitan penculikan dan pemerdagangan manusia membabitkan rakyat di negara ini selepas tular video Tan Sri menasihati orang ramai baru-baru ini?
MUSA: Baru-baru ini saya telah didatangi sekumpulan keluarga mangsa yang menyatakan bahawa anak mereka semua ditipu dan kini berada di Kemboja dan Laos. Segala-galanya bermula apabila mereka dihubungi seseorang untuk tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan yang biasanya ditawarkan sehingga mencecah AS$2,000 sebulan.
Kemudian apabila terdengar tawaran menarik, mangsa telah pergi dan di sinilah mereka diarahkan untuk menjadi scammer. Sekiranya enggan mereka akan dipukul atau didera.
Ada yang cuba melarikan diri dan berjaya. Tetapi masalahnya penjenayah turut menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang berjaya menangkap mangsa sindiket pemerdagangan orang ini.
Sudah tentu saya mewakili Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dengan kerjasama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) sedaya upaya membantu termasuk menghantar memorandum ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) selain ke Kementerian Luar.
Kita mahu kerajaan bawa mereka pulang segera dan dalam masa sama tidak mahu ada lagi mangsa lain pada masa akan datang.
Nasib baik Kemboja turut memberi bantuan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewujudkan pasukan petugas khas sehingga berjaya membawa balik kira-kira 100 orang dari sana.
Cuma masalahnya sekarang Laos dan Myanmar tidak memberi kerjasama yang baik. Apabila kita hantar memorandum pun hanya disuruh letak dalam peti surat.
Jadi kita desak kerajaan supaya perkara ini dibawa ke peringkat tertinggi ASEAN dan beri tekanan untuk pastikan pemerdagangan manusia tidak berlaku di negara yang telah dikenalpasti.
Alhamdulilah kami telah bantu 10 orang di Laos dan mereka dapat melarikan diri selepas menebuk terowong. Apabila dapat keluar daripada tempat persembunyian, rakyat di sana bantu.
Saya juga telah berhubung dengan polis, beri maklumat bagi menjalankan siasatan. Ada mangsa sebelum ke sana telah dihubungi orang di sini. Jadi, kami percaya ada rangkaian sindiket di Malaysia.

Dalam video itu Tan Sri ada menyebut nama negara seperti Thailand. Sekiranya ada kes tertentu merupakan berita palsu, adakah ia boleh mengganggu gugat hubungan dua negara?
Saya rasa tidak. Kita sebaliknya perlu gunakan jalinan kerjasama dan bantuan Thailand. Kita ada hubungan rapat dan polis di sana baik dengan kita.
Sebab itu semasa saya memegang jawatan Ketua Polis Negara (KPN), ada unit untuk polis ASEAN di Bukit Aman. Kita perlu saling bantu-membantu untuk mengenal pasti pesalah.
Sebab perkara ini diceritakan sendiri oleh mangsa. Ada yang dibawa ke negara lain dan Thailand sebagai transit. Apabila sampai di sana, mangsa dicucuk sehingga tidak sedarkan diri dan dibawa ke sempadan Myanmar untuk dijual kepada sindiket.
Maka sebab itulah saya melihat ini perkara penting untuk kita bertindak secara proaktif melindungi rakyat kita terutama bagi mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.
Malah saya fikir setiap rakyat kita yang mahu ke negara tertentu dengan pasport baharu dan pertama kali ke luar negara perlu disoal ketika berada di lapangan terbang lagi.
Lebih-lebih lagi sekarang ini banyak pula orang kita mahu ke sana. Penguat kuasa kita perlu sentiasa peka.
Sebabnya, kalau sudah jadi mangsa susah kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh mengambil tindakan disebabkan faktor perundangan di negara terbabit. Undang-undang berbeza.
Polis Antarabangsa (Interpol) pun perlu minta bantuan polis di sesebuah negara. Saya turut difahamkan tentera juga terlibat dan turut berkawal di kawasan berkenaan.

Berdasarkan pengalaman Tan Sri berhubung dengan mangsa yang telah diselamatkan, berapa jumlah mereka yang masih berada di sana?
Mengikut laporan daripada mangsa yang diselamatkan ramai. Ada Melayu, India dan Cina. Jumlah mencecah ratusan orang.

Apakah tindakan seterusnya sekiranya tiada tindak balas daripada negara terlibat selepas memorandum dihantar?
Kita tidak teragak-agak untuk meminta bantuan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN). Sebab ini jenayah pemerdagangan manusia sehingga ke peringkat antarabangsa dan boleh memberi kesan kepada reputasi negara.

Tular berkenaan beberapa kes penculikan kanak-kanak sebelum ini termasuk terbaru kes di Rawang, Selangor. Adakah masalah ini serius?
Pada saya, apabila sekolah-sekolah di Kelantan sudah keluarkan amaran berjaga-jaga, itu tanda ia berlaku dan ini satu trend yang merisaukan lebih-lebih lagi melibatkan rakyat Malaysia.
PDRM dan kerajaan khususnya perlu selalu mengemaskini sega­la perkembangan dan berita kepada rakyat setiap masa. Agensi penguatkuasaan seperti PDRM juga perlu lebih tegas.

Tan Sri ada menyebut rangkaian dan pembabitan pihak dari Malaysia. Apakah modus operandi dan adakah mereka berselindung di sebalik entiti atau perniagaan tertentu?
Saya rasa banyak iklan pekerjaan di luar negara yang disiarkan di akhbar atau media sosial. Iklan-iklan ini merupakan job scam. Jadi polis kena siasat siapa yang keluarkan iklan ini.
Sebab itulah juga bagi mereka yang mencari pekerjaan perlu berhati-hati dengan tawaran gaji lumayan. Ingat keselamatan diri dahulu.
Selain itu, saya lihat banyak orang asing yang masuk ke negara ini dan kita tidak tahu latar belakang mereka.

Jadi adakah job scam ini juga berpunca daripada kehadiran rakyat asing yang terlalu ramai?
Berkemungkinan. Saya dapat maklumat daripada mangsa bahawa orang yang terlibat dengan job scam ini dari China.
Tidak mustahil mereka juga dike­hendaki di sana dan kemudian lari masuk ke negara ini serta tipu rakyat China yang berada di negara-negara lain. Mereka juga boleh tipu sesiapa sahaja.
Rakyat Malaysia jadi pilihan sebab orang kita boleh cakap pelbagai bahasa kerana kita terdiri daripada pelbagai kaum.

Bagaimana pula di pihak kerajaan. Adakah masih terdapat kelemahan di peringkat penguatkuasaan dan hebahan maklumat?
Saya rasakan agensi penguatkuasaan dan kerajaan perlu proaktif bukannya reaktif. Jangan sudah berlaku baru beritahu.
Sekiranya kerajaan sudah ada maklumat maka perlulah dimaklumkan kepada orang ramai. Dan semua aspek maklumat ini bergantung dengan kerja-kerja risikan. Kalau polis dulu-dulu, kita sudah ada pelbagai maklumat dan terus sekat mereka. PDRM ada kemahiran yang bagus dalam risikan. Jika tidak, mana mungkin komunis boleh dihapuskan. Tapi sekarang apa tindakan seterusnya?
Semua perlu mainkan peranan. CyberSecurity Malaysia perlu bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan. Begitu juga kalau ada perkongsian maklumat, kita ada peluang hendak siasat.

KANAK-KANAK DICULIK
SUKAR DITEMUI
Bagaimana Tan Sri melihat kes penculikan yang sehingga kini masih menemui jalan buntu dan tidak dapat diselesaikan termasuk kes Tin Song Sheng?
Kes siasatan membabitkan jenayah tidak pernah ditutup. Malah ia boleh dibuka sekiranya ada petunjuk.
Kita perlu sentiasa berjaga-jaga dengan persekitaran. Bagi saya ada banyak faktor penculikan kanak-kanak dan ada yang jadi mangsa seksual termasuk lelaki.
Tetapi sama ada mereka betul-betul diculik untuk mendapatkan organ atau apa juga tujuan, itu saya tidak pasti.
Baru-baru ini ada dilaporkan di media wanita Pakistan cuba menculik seorang kanak-kanak. Apabila berlaku sahaja kes seumpama ini, terus tahan dan siasat.
Kita tidak boleh terus cakap “ia mungkin berlaku di negara luar jadi polis tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat”. Kalau terus kata begitu susahlah.

BERTANDING PRU15

Tular sebelum ini menunjukkan Tan Sri menghadiri satu majlis politik dan berpakaian mengikut warna tema parti tersebut. Adakah Tan Sri akan menyertai mana-mana parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti ?
Saya tiada musuh dengan sesiapa dan sehingga kini saya tidak terlibat dengan mana-mana parti politik.
Sebenarnya, kalau kita hendak masuk politik susah untuk kita betulkan sesuatu. Kita perlu sokongan ramai kalau mahukan perubahan. Kalau jadi ahli politik dan kita sahaja bersuara orang lain diam, susah juga.
Walau apapun, kalau ada tawaran saya akan tolak. Cuma seandainya ada satu kumpulan tertentu yang mempelawa menyertainya dengan asas perjuangan kukuh, saya akan masuk dan membentuk satu suara yang lantang. Lagipun semua parti politik ini semuanya sama sahaja.
Sebelum dapat kuasa cakap dan janji macam-macam. Tapi apabila dapat kuasa, lain pula jadinya. Manusia nak tahu sama ada mempunyai integriti atau tidak tunggu apabila dia dapat kuasa.

DISIPLIN PDRM DI BAWAH KPN
Bagaimana Tan Sri melihat pegawai dan anggota polis yang kini menimbulkan persepsi negatif serta dilihat kurang berdisiplin?
Pertama, kita perlu kuatkan disiplin kita, makna dalam pasukan. Dulu sewaktu saya KPN segala hal berkaitan disiplin dan tatatertib di bawah tanggungjawab saya.
Sekarang sudah dibawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), ada pengarahnya. KPN dulu kena pantau semua ini termasuk disiplin anggota.
Tapi sekarang? Pengarah yang pantau dan kemudian dibentangkan kepada KPN. Saya masih ingat lagi saya bersama timbalan berkongsi tugas. Dia buat pengurusan manakala saya bahagian operasi dan semuanya dalam pengetahuan saya. Kita pantau bagaimana satu-satu operasi itu dijalankan.
Malah saya bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) ( kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk kenal pasti siapa yang terlibat dengan rasuah manakala Ketua Polis Negeri pula akan bersama dengan BPR di negeri-negeri.
Selain itu, apabila ada anggota yang terlibat dengan masalah rasuah, kita akan hantar dia pergi latihan semula di pusat-pusat latihan kemudian barulah ditukar. – MINGGUAN MALAYSIA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×