INI bertunangkah atau majlis kahwin? Selalu juga kita tertanya-tanya apabila melihat kawan-kawan di media sosial memuat naik gambar pertunangan anak. Siap ada pelamin. Pasangan lelaki pun ada duduk bersama di atas pelamin.
Sekarang ini majlis bertunang dah jadi macam majlis perkahwinan. Naik pelamin. Ada kek bertingkat-tingkat. Kenduri pasang berkhemah-khemah. Kalau hendak dihitung secara kasar berpuluh ribu ringgit juga duit dihabiskan untuk pertunangan sahaja.
Dan bila tiba majlis pernikahan pula apatah lagi. Tentulah lebih meriah. Mesti mahu adakan majlis lebih besar berbanding pertunangan. Banyak tambahan makanan, bilangan tetamu dan ada band undangan.
Bukan setakat itu, keluarga terdekat pun diberi persalinan pakaian sedondon, yang bukan murah-murah kainnya dan baju ditempah, yang ditaja khas oleh pengantin atau keluarga pengantin. Hendak jadi ‘wedding of the year’ lah katakan.
Yang bergaji besar atau keluarga berkemampuan tidak mengapalah walaupun bersederhana itulah yang lebih baik. Tetapi kalau pasangan yang baru berkahwin ini masih lagi terkial-kial mengatur susun duduk kewangan, tentu akan timbul masalah dalam tempoh beberapa tahun melayari alam rumah tangga kelak.
Mana tidaknya, bila sudah terjebak dengan majlis perkahwinan yang kosnya mengalahkan sambutan ‘hari kebangsaan peringkat daerah’, segala kosnya tentulah kebanyakannya pengantin yang tanggung selain bantuan ibu bapa.
Yang lebih teruk, pasangan suami isteri ini masing-masing membuat pinjaman bank untuk majlis perkahwinan dan mengambil masa lama untuk langsaikan hutang sehingga sudah beranak pinak.
Bila duit tak cukup hendak bayar ansuran rumah, kenderaan, penjaga anak dan bil-bil lain, tentu memeningkan kepala pasangan yang masih hijau dalam perkahwinan ini dan timbullah pertengkaran.
Semua orang pun tahu, selain curang, masalah kewangan adalah faktor utama menyumbang kepada kes perceraian di mana-mana negara pun. Iyalah, setahun dua mungkin boleh bermanis muka dalam mengharungi bersama bebanan hutang, tetapi lama kelamaan ia akan menimbulkan ketegangan dan perkahwinan boleh menjadi hambar dengan pertengkaran.
Seharusnya ibu bapa memainkan peranan penting apabila hendak menikahkan anak. Ini kerana mereka sudah melalui asam garam perkahwinan itu terlebih dahulu dan tahu bahawa hal-hal kewangan adalah sangat penting untuk dijaga bagi keharmonian rumah tangga.
Jangan kerana mahu menunjuk-nunjuk kepada sanak saudara atau kawan-kawan dengan majlis perkahwinan yang ala artis terkenal, yang menanggung ‘sakit’ bebanan hutang itu adalah anak-anak yang mengikut saja apa yang diatur oleh ibu bapa.
Atau, jangan mengikut saja kata anak-anak yang mahukan majlis yang besar tetapi tidak mampu untuk mengadakan wang untuk majlis itu.
Memanglah menjadi raja sehari itu momen paling indah dan akan jadi kenang-kenangan seumur hidup tetapi hutang piutang bukan ditanggung sehari, ia boleh menjejaskan rasa kasih sayang dan mengikis rasa hormat dalam kehidupan rumah tangga selama pasangan itu bersama.
———
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
“Ini semua mak bapak kau punya salah. Waktu aku kahwin dahulu dengan kau, mak bapak kau minta wang sampai lima ribu. Aku tidak ada wang. Aku pinjam banggali. Sekarang sampai sudah tiga anak, hutang banggali pun belum habis bayar…”
Itu antara dialog filem legenda, Bujang Lapok yang masih segar di ingatan setiap penonton hingga ke hari ini.
Dialog itu menceritakan tentang pertelingkahan antara suami dan isteri yang hidup dalam serba kekurangan akibat masih menanggung hutang yang dibuat pada awal perkahwinan.
Tentu sahaja situasi itu menggambarkan kehidupan masyarakat sebenar, bahkan ia masih sahaja berlaku di zaman serba moden ini.
Masih ramai yang memilih untuk berhutang semata-mata demi merasai kemewahan dan kegemilangan ketika menjadi raja sehari dan kemudiannya memberikan kesan negatif kepada perhubungan kerana tertekan dengan keadaan kewangan.
Buktinya, satu kajian di luar negara mendedahkan pasangan pengantin yang mengadakan majlis kahwin besar-besaran dengan membelanjakan puluhan ribu pound berkemungkinan besar akan bercerai.
Hasil kajian dilakukan badan pemikir Marriage Foundation terhadap 2,000 orang di Britain itu turut mendapati kira-kira 10 peratus perkahwinan yang menelan kos perbelanjaan melebihi 20,000 pound (RM113,590) berakhir dalam tempoh tiga tahun.
Kaunselor Keluarga, Zumasni Rajikin berkata, permulaan perkahwinan tidak seharusnya menjadi permulaan untuk berhutang semata-mata demi majlis yang gilang-gemilang.
Tegasnya, setiap pasangan pengantin perlu tahu tahap kemampuan diri-diri agar tidak melampaui batas sehingga menyeksa diri pada masa akan datang.
“Permulaan perkahwinan itu tidak begitu penting berbanding selepas perkahwinan. Kita sebenarnya perlu fokus kepada alam perkahwinan. Itu yang lebih penting.
“Sebab awal perkahwinan memang semuanya indah. Lebih baik bersederhana dalam majlis supaya tidak terjadinya kerugian yang besar dalam kehidupan perkahwinan kelak,” katanya kepada Seri.
Zumasni turut menyarankan agar setiap pasangan menilai kehendak selaras dengan kemampuan masing-masing.
Hal ini kerana katanya, dalam agama sendiri memberi saranan agar sentiasa bersederhana dalam setiap perkara yang dilakukan.
“Begitu juga dengan perkahwinan. Yang wajib adalah pernikahan. Bukan tidak boleh buat majlis, ikutlah kemampuan masing-masing. Tiada masalah hendak buat besar-besaran asalkan mampu dan tidak sampai berhutang.
“Lebih baik sebenarnya cukuplah untuk meraikan dan uar-uarkan berita pernikahan bersama keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan. Tidak perlu berlebihan dan membazir,” katanya lagi.
Hutang bukan pilihan utama
Sementara itu, Ketua Kluster Mikroekonomi, Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mustazar Mansur berkata, perbelanjaan haruslah seiring dengan pendapatan.
Oleh itu, jelasnya, tindakan untuk berhutang semata-mata untuk majlis perkahwinan bukan sesuatu yang bijak melainkan sekiranya benar-benar terdesak dan memerlukan untuk melakukan acara yang wajib.
“Bagi orang muda sebaiknya jangan melakukan pinjaman penuh hanya untuk majlis perkahwinan. Kena fikir kos untuk hidup bersama pasangan selepas berkahwin.
“Perlu juga fikir selepas berkahwin sudah tentu mahu membeli rumah dan pengangkutan untuk ke tempat kerja dan sebagainya. Kalau sudah buat pinjaman peribadi sudah tentu akan menjejaskan sedikit untuk pinjaman keperluan perancangan keluarga seterusnya,” kongsinya.
Berkongsikan pandangan peribadinya, Dr. Mustaza berkata, usaha menyimpan atau menabung simpanan untuk mengadakan majlis adalah lebih manis dan bermakna.
Usaha yang sukar itu akan membuatkan pasangan lebih menghargai detik-detik mengikat ikatan perkahwinan berbanding dengan hanya mengambil langkah mudah membuat pinjaman bank.
“Saya bimbang sekiranya anak muda ketika ini rasa mudah sangat berkahwin dengan hanya meminjam, jadi mereka juga sewenang-wenangnya hendak bercerai kemudian hari jika berlaku sedikit perselisihan faham.
“Sebaliknya, jika permulaan perkahwinan itu diusahakan dengan kudrat sendiri, sudah tentu setiap pasangan akan lebih menghargai. Jadikan pinjaman sebagai alternatif terakhir,” jelasnya.
Selain itu, katanya, dalam keadaan ekonomi yang agak mencabar pada ketika ini dan dijangka terus merosot pada tahun depan, lebih baik sekiranya pasangan pengantin mendahulukan perkara-perkara yang penting sahaja.
“Kalau kita tengok zaman dahulu, kebanyakan pengantin memikirkan mengenai busana, jamuan makan dan tempat mengadakan majlis sahaja tetapi sekarang ramai anak muda yang lebih memberi tumpuan untuk sesi fotografi dan sebagainya.
“Bukan tidak boleh, tetapi lihat perkara-perkara penting dahulu supaya perbelanjaan perkahwinan itu tidak terlalu membebankan,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, pasangan juga perlu bijak merancang kewangan keluarga sejak dari awal perkahwinan supaya jumlah perbelanjaan tidak melebihi pendapatan.
Antara yang perlu diambilkira adalah tempat tinggal, pengangkutan, perbelanjaan makanan dan liputan internet yang merupakan satu keperluan pada masa kini.










