BAHASA Sanskrit yang berusia lebih 4,000 tahun sering dikatakan sudah pupus kerana tidak digunakan dalam komunikasi harian. Namun, sebenarnya bahasa itu masih digunakan dalam teks suci agama Hindu di seluruh dunia. Usaha mempelajari bahasa klasik itu masih segar di India, Amerika Syarikat dan Eropah. Malah, tanpa kita sedari, bahasa Sanskrit masih terus hidup dan bernyawa menerusi bahasa Melayu.
Apabila saya sebut bahasa Melayu, termasuklah Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia. Misalnya, perkataan ‘bahasa’ itu sendiri adalah istilah Sanskrit. Apa yang menarik, bhasa (Sanskrit) merujuk kepada bahasa percakapan sehari-hari sebagai lawan kepada bahasa suci seperti bahasa kitab (Veda) dan Sanskrit.
Sebelum kedatangan bahasa Arab (Islam), Portugis, Belanda dan Inggeris, sejak abad kelima lagi sudah ada pengaruh Sanskrit dan Hindu dalam budaya, tradisi, anutan dan bahasa penduduk di Kepulauan Melayu. Kata-kata seperti angka, angkasa, angsa, aniaya, anugerah, asmara dan astana juga menjadi bukti bahasa Sanskrit terus hidup dalam bahasa pertuturan seharian kita. Bagi penutur bahasa Tamil, Telugu dan Malayalam di Malaysia, tentu mereka sedar kata-kata Sanskrit banyak juga terserap ke dalam bahasa itu. Kata eka, dwi, tri, catur, panca, sat, sapta, asta, nava dan dasa bagi nombor 1 hingga 10 juga daripada Sanskrit.
Selalu juga konteks dan makna perkataan mengalami perubahan. Misalnya bagi kita, kata ‘bahaya’ merujuk situasi yang mendatangkan bencana atau kecelakaan. Dalam konsep asal, bhaya merujuk kepada ketakutan dan kengerian. Makna asal ini masih kekal dalam bahasa Tamil, Telugu dan Malayalam iaitu bhayam.
Perubahan makna juga dilihat pada kata ‘bahu.’ Kita mengaitkan dengan bahagian tubuh antara leher dan pangkal lengan. Dalam makna asal (Sanskrit), bahu merujuk kepada lengan secara keseluruhan atau bahagian antara siku dan pergelangan tangan.
Kata ‘bangsa’ pula daripada wamsa yang terinspirasi daripada rumpun seperti buluh dan pokok yang tumbuh bersama lalu merujuk kepada keluarga, ras, keturunan dan himpunan benda-benda yang serupa. Semangat dan konsep inilah yang sedang sama-sama kita cuba capai menerusi Bangsa Malaysia berbanding bangsa Melayu, Cina, India yang skopnya terhad.
Vayu merujuk kepada angin dan merupakan satu daripada lima unsur alam dalam budaya India. Empat unsur lain ialah api, angkasa, air dan tanah. Vayu juga merujuk kepada dewa angin dalam Hinduisme. Dalam penggunaan di Malaysia dan Indonesia, kata itu bertukar bentuk menjadi ‘bayu’ dan merujuk kepada angin yang bertiup lembut.
BENCANA
Kata ‘bencana’ yang kita gunakan dalam konteks malapetaka dan kecelakaan sebenarnya diambil daripada kata vancana iaitu pengkhianatan atau penipuan. Perasaan kasih, cinta, nafsu dan ghairah terhadap seseorang disebut sebagai ‘berahi’. Dalam kata Sanskrit, virahin dan viraha merujuk situasi terpisah daripada orang tercinta dan terpaksa bersendirian.
Sajak panjang Megha Duta karya Kalidas menggambarkan secara mendalam emosi berkenaan. Kata virahin (Sanskrit) menjadi wiraha (Jawa kuno), ‘birai’ (Jawa moden) dan ‘birahi’ sebelum bertukar kepada ‘berahi’ yang kita kenali.
Melalui ruangan ini sejak Julai 2020, saya cuba mengetengahkan pelbagai aspek dan topik berhubung kait dengan budaya. Sebenarnya, konsep ‘budaya’ merangkumi hampir keseluruhan hidup manusia, termasuk aspek pemikiran. Kita biasanya bercakap tentang ‘budaya benda’ iaitu hal-hal yang fizikal (seperti pakaian, makanan, bangunan) dan ‘budaya bukan benda’ iaitu hal-hal yang abstrak (seperti pemikiran, amalan, kepercayaan).
Kata asal buddhi dalam Sanskrit merujuk kepada akal, kearifan, kebijaksanaan, pengetahuan dan sebagainya yang berkait rapat dengan kemampuan otak memproses data secara rasional. Kata jamak ialah buddhaya yang sering kali dikaitkan pula dengan ‘daya dan keupayaan pemikiran.’
Maka, kita perhatikan kelahiran kata ‘budi’ dan ‘budaya’ yang sebenarnya saling berkaitan. Tambahan pula, secara logik, budi pekerti, tingkah laku dan pembawaan diri seseorang berbalik kepada cara pemikirannya.
Antologi Busana Bahasa (2019) memanfaatkan perkataan ‘busana’ yang jarang digunakan walaupun amat indah dan berseni. Kita menggunakan perkataan itu untuk merujuk pakaian yang lengkap dan amat cantik. Konotasi istilah ini sebenarnya sudah mengalami sedikit perubahan. Kata bhusana (Sanskrit) pada asalnya merujuk perhiasan. Kemudian, dalam konteks Melayu/Jawa, mula dikaitkan juga dengan dandanan, perhiasan dan pakaian.
Kebanyakan perkataan mengekalkan makna asal walaupun ejaan berubah.
Kalaupun ada perubahan makna, ia tidak lari terlalu jauh dari konteks asal. Misalnya ‘denda’ daripada danda bagi hukuman, serta ‘derma’ daripada dharma bagi pemberian ikhlas. Ejaan serta makna kata-kata seperti ‘dana’, ‘desa’, ‘dosa’ dan ‘duta’ pula kekal selepas dipinjam dan diasimilasi ke dalam bahasa tempatan.
Ada pula perkataan yang mengalami sedikit perubahan ejaan tanpa mengubah makna, maka mudah untuk kita kenal pasti persamaan yang wujud. Misalnya gembala (gopala), genta (ghanta), gerhana (grahana), guni (goni), gua (guha), harga (argha), harta (artha), istana (asthana), jiwa (jiva), kapur (karpura), kata (katha) dan kepala (kapala).
Sedikit contoh ini memadai untuk membuktikan bahasa Sanskrit sebenarnya belum mati atau pupus seperti disangka. Sebaliknya, selagi penduduk Malaysia dan Indonesia masih menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing, selagi itulah roh Sanskrit masih hidup dan bernyawa di rantau ini.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











