Tya Ariffin tinggalkan keluarga demi cinta

Tya Ariffin tinggalkan keluarga demi cinta

TYA ARIFFIN
Tya bersama keluarga besar Asyraf di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENINGGALKAN keluarga dan kerjaya seni di Indonesia merupakan pengorbanan terbesar buat dirinya. Tya Ariffin, 28, bergelut antara cintakan keluarga, kerjaya seni dan masa depan bersama suami, Asyraf Khalid.

Mengakui, keputusan berkahwin muda, iaitu pada 21 tahun, menuntut pengorbanan besar lebih-lebih lagi waktu itu kerjaya seninya di Indonesia sedang berkembang.

“Saya pernah bertanyakan kepada Asyraf mengenai hala tuju hidup saya, kerana tidak mahu menjadi seorang isteri yang hanya menunggu kepulangan suami di rumah.

“Sedangkan saya sangat aktif ketika hidup solo. Saya tidak biasa duduk diam. Saya percaya hidup ini perlu diteroka. Pasti ada sesuatu yang boleh dimanfaatkan,” katanya katanya kepada Seri.

Kehadiran Arif boleh saya anggap satu hadiah dan isyarat yang cukup berharga,” katanya katanya kepada Seri.

Bagaimanapun, Tya tidak pernah menyesal dengan keputusan tersebut, malah kehadiran putera sulung, Arif Jiwa Asyraf mengubah kehidupannya.

Tya memilih Asyraf berikutan kesungguhan dan keikhlasan ditunjukkan, membuka pintu hatinya untuk menjadikan lelaki itu sebagai suami.

“Saya lihat Asyraf jujur dalam perhubungan. Dari awal perkenalan lagi, dia berterus-terang segala-galanya mengenai diri dan kehidupannya. Malah, dia juga memaklumkan, jika kami berkahwin nanti, saya akan tinggal serumah dengan keluarga mentua,” kata jelitawan berasal dari Palembang, Indonesia ini.

Selepas mendirikan rumah tangga, Asyraf menguruskan segala dokumennya termasuk perihal kerakyatan. Memandangkan dia perlu meninggalkan tanah air dan mengikut suami, segala urusan termasuk prosedur ditetapkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan perlu dilakukan untuk mengelakkan masalah kemudian hari.

Sudah hampir tujuh tahun berhijrah ke Malaysia, Tya mengakui pada awal perkahwinan dia perlu menyesuaikan diri dengan budaya Malaysia. Pun begitu, dia bersyukur kerana adat dan bahasa di sini tidak banyak beza dengan negara kelahirannya.

“Memang ada sedikit perbezaan khususnya cara masak makanan. Mujurlah suami dan anak-anak menggemari makanan Barat, jadi saya banyak belajar dan masakan makanan kegemaran mereka,” katanya.
Sesibuk mana pun dengan wanita dengan kerjaya, Tya tetap mengutamakan keluarga.

Seawal jam lapan pagi dia akan memulakan urusan perniagaan dan cuba menyelesaikannya lebih awal.

Pada sebelah malam, Tya akan menumpukan urusan keluarga.

Empayar jamu tradisional
Tya yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan penjagaan kecantikan dan kesihatan mula minum jamu sejak usia enam tahun lagi.

Katanya sejak kecil beliau melihat sendiri ramuan jamu itu dicampur, ditumbuk, dikisar dan dikupas melalui cara tradisional.

“Sekarang, saya buat jamu dalam bentuk cecair pekat yang memudahkan dengan harga mampu dimiliki terutama untuk generasi sekarang yang lebih gemar cara menyenangkan.

“Kebiasaan dan selalunya ada stigma yang melihat jamu itu hanya untuk dijamah orang tua sahaja. Tak kurang juga yang melihat jamu hanya amalan bagi wanita selepas bersalin.

“Sedangkan khasiat semula jadinya bagus untuk semua wanita. Jika kita sendiri sebagai golongan wanita yang tidak menghargai semua itu, siapa lagi yang akan melakukannya,” katanya.

Pengamal jamu tegar ini melihat potensi jamu ini wajar dikomersialkan apatah lagi ia hasil resipi turun temurun keluarganya.

Beliau tidak mahu khasiat jamu itu dibiarkan begitu sahaja sebaliknya ingin berkongsi dengan seluruh wanita yang percaya betapa peri pentingnya amalan makan jamu.

Bertitik tolak daripada itulah beliau menghasilkan minuman jamu yang diberi nama Mutyara Beauty.

Jamu ini dicipta seiring dengan arus pemodenan khusus buat wanita yang sibuk bekerja dan memilih jalan mudah untuk kekal bertenaga serta cantik.

Pun begitu, Tya mengakui kejayaan membina jenama jamu sendiri tidak pernah datang bergolek, sebaliknya terhasil daripada pelbagai pengorbanan dan cabaran dilaluinya.

“Saya bukanlah datang daripada keluarga senang, jadi apa sahaja yang saya lakukan sering diniatkan atas nama keluarga untuk membantu mereka memperbaiki kehidupan,“ katanya.

Justeru, dia mahu membantu golongan wanita untuk memiliki sumber pendapatan. Baik suri rumah, ibu tunggal, dibuang kerja, atau wanita berkerjaya lain yang perlu pendapatan sampingan.

“Sasaran saya pada tahun hadapan adalah dapat membantu lebih 100,000 rakyat khususnya wanita berniaga dari rumah. Selain berjaya dalam perniagaan, wanita akan dapat menguruskan rumah tangga dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun kata Tya, dia bersyukur kerana suami sering memberikan semangat dan motivasi serta menyokong segala tindak-tanduknya.

“Menjadi usahawan juga sebenarnya membuatkan saya kembali jumpa tujuan hidup. Kalau dulu, saya berlakon demi mencari wang untuk ibu bapa saya dan sejak berkahwin, saya tertanya apa lagi tujuan hidup perlu dikejar.

“Tujuan utama saya menjadi usahawan adalah untuk membina perniagaan jangka masa panjang. Misi utama saya adalah untuk membantu orang ramai mengecap impian bersama dan berjaya dalam perniagaan secara percuma,” katanya.

Dari Malaysia ke Indonesia
Dalam pada itu, selepas menumpukan perniagaan di Malaysia, Tya turut berhasrat meluaskan perniagaannya di Indonesia.

Sebelum ini, beliau tidak dapat ke Indonesia selama tiga tahun sama ada melawat keluarga atau berniaga kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

Selepas melalui fasa PKP, beliau merancang pulang ke negara kelahirannya bagi mengembangkan lagi perniagaan diusahakan di sana.

Tya berkata, keputusan dibuat bukan saja untuk masa depan perniagaan tapi juga mahu membantu membina kehidupan masyarakat di sana.

“Jika mahu berjaya dalam apa juga bidang termasuk perniagaan, kadang ada perkara kita perlu berkorban. Doakan semoga perancangan saya melalui perniagaan jamu Mutyara di Indonesia berjalan lancar.

“Insya-Allah, perancangan ini kita akan mulakan awal tahun depan.

“Memandangkan saya pun ada keluarga di sini, jadi buat sementara waktu akan ulang alik dahulu. Inilah pengorbanan yang perlu saya dan suami lakukan,” katanya.

Menjadikan Pengasas Ali Baba iaitu Jack Ma sebagai inspirasi perniagaan, Tya menanam satu semangat bahawa tiada satu impian pun yang mustahil.

“Pengasas Herbalife iaitu Mark Hughes dan Pengasas Apple iaitu Steve Jobs turut menjadi rujukan saya. Walaupun selepas kematian mereka, jenama tersebut mampu bertahan dan masih terkenal di seluruh negara hingga ke hari ini.

“Itulah pembakar inspirasi dan saya berharap Mutyara, mampu berkembang sekukuh itu,” katanya.

Morning Walk pengikat kasih
Bukan mudah bagi seorang wanita yang sudah bergelar isteri dan ibu membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya.

Kata Tya, biasanya beliau akan membuat perancangan sehari awal terlebih dahulu.

Saya akan masak sarapan pagi untuk anak-anak dan suami dulu walaupun hanya menu ringkas. Kemudian terus ke pejabat dan bawa Arif bersama. Kebetulan tempat kerja dekat dengan rumah jadi senang untuk saya ulang alik. Waktu makan tengahari pula saya akan pastikan dapat makan dengan Arif,” ujarnya.

Bercerita tentang masa bersama suami tercinta pula, katanya mereka berdua memilih pendekatan morning walk setiap hari untuk lebih menghargai satu sama lain.

“Lepas solat Subuh dan anak-anak masih tidur, kami bangun dan buat morning walk dalam 30 hingga 40 minit. Inilah masa saya dengan Asyraf tanpa anak-anak dan bebas daripada telefon.

“Disebabkan kami kerja di bawah satu bumbung, kami tak mahu urusan pejabat dan rumah dicampur adukkan. Jadi, kami cuba elakkan untuk tidak terlalu cakap tentang bisnes dan lebih banyak berkongsi luahan perasaan supaya masing-masing boleh memperbaiki diri serta bersemangat kejar impian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya